Halaman

22 Januari 2009

Orang soleh dengan sepatu


Kisahnya, ada dua orang soleh dan terhormat pergi ke masjid bersama-sama. Yang pertama membuka sepatunya, lalu meletakkannya baik-baik di luar pintu masjid. Yang kedua membuka sepatunya, menangkupkan di kedua-dua muka sepatunya, kemudian membawa sepatunya itu masuk ke dalam masjid.
Sekelompok orang soleh lain, sedang duduk berhampiran pintu masjid. Kedengaran pembicaraan tentang kedua-dua orang soleh yang baru masuk ke masjid tadi; yang mana di antara kedua-duanya yang benar.
"Jika orang masuk masjid berkaki ayam, bukankah sebaiknya ditinggalkan saja sepatunya di luar?" tanya seorang di antara mereka.
Seorang yang lain menyambung, "Tetapi tidakkah kita harus mempertimbang bahawa orang yang membawa sepatunya ke dalam masjid itu selalu ingat akan dirinya?"
Ketika dua orang soleh itu selesai solat, mereka ditanyakan secara terpisah tentang masalah itu oleh kedua-dua kelompok yang tadi berbeza pendapat.
Orang pertama menjawab, "Saya meninggalkan sepatu di luar masjid atas alasan biasa. Jika seandainya ada orang yang ingin mencurinya, ia akan berusaha untuk menahan dirinya agar tidak melakukan tindakan haram itu, dengan demikian iapun telah mendapatkan kebaikan untuk dirinya sendiri."
Para pendengar jawapannya sangat terkesan oleh ucapan orang yang soleh itu, yang menganggap harta miliknya tidak begitu berharga, sehingga diserahkan begitu sahaja kepada nasib yang mungkin menimpanya.
Pada saat yang sama, orang soleh kedua berkata, "Saya membawa sepatu saya ke dalam masjid kerana apabila saya tinggalkan di luar, mungkin akan menimbulkan rangsangan orang untuk mencurinya. Sesiapapun yang tak dapat menahan dorongan mencuri itu tentunya melibatkan aku dalam dosanya."
Para pendengar hujahnya juga sangat terkesan oleh kenyataan yang baik itu dan memuji kedalaman akal fikirannya.
Namun, ada orang lain, yang juga bijaksana, yang berada di antara kerumunan orang-orang itu, berteriak, "Sementara kalian berdua dan para pengikutmu terbuai dalam perasaan kecilmu, saling bicara tentang hal-hal yang diandaikan, ada hal-hal yang sungguh-sungguh nyata baru sahaja terjadi."
"Apa dia yang berlaku?" tanya kerumunan orang-orang itu.
"Tiada seorangpun yang tergoda oleh sepatu itu. Tiada juga orang yang tak tergoda oleh sepatu itu. Si pendosa yang diandaikan itu tidak pernah lewat. Namun, seorang yang sama sekali lain daripada kalian telah memasuki masjid, seorang yang tidak memiliki sepatu - yang tidak memikirkan akan meninggalkannya di luar pintu atau membawanya ke dalam. Tiada seorangpun yang memperhatikan perilakunya itu. Dia juga tidak menyedari akibat yang ditimbulkannya terhadap orang-orang yang melihatnya atau yang tidak melihatnya. Namun, kerana ketulusannya yang mendalam, doa-doanya di dalam masjid hari ini secara langsung membantu meringankan orang-orang yang mungkin sungguh-sungguh mahu mencuri atau tidak jadi mencuri atau memperbaiki diri sendiri kerana kesedaran menghadapi godaan. Apakah belum juga kalian ketahui bahawa sekadar perilaku yang sepenuhnya disedari, betapa berhargapun dalam pengertiannya sendiri, merupakan hal yang tak bererti, apabila diketahui bahawa sesungguhnya ada orang-orang yang sungguh-sungguh, BIJAKSANA?"

Catatan:
Sahabat; kita hanya memerhatikan kebaikan yang kita lakukan yang boleh memberi kesan di sudut pandangan orang lain. Namun, semua itu hilang ertinya tanpa ketulusan dan keikhlasan hati yang hakiki.
Ketahuilah, ada insan lain yang melakukan sesuatu kebaikan tanpa memikirkan sama ada orang memandang apapun terhadapnya. Insan itu melakukannya dengan niat yang tulus ikhlas. Tetapi, kerananya banyak kebaikan melimpahi orang lain yang merasa seolah-olah kebaikan dirinya menyebabkan ia mendapat itu dan ini.
Sahabat; sedarkah kita? Jika dosa-dosa kita menjadi ukuran, setitis air hujan pun tidak akan menimpa bumi. Tetapi hujan turun jua kerana limpahan rahmat Tuhan kepada makhluk-makhluknya yang lain yang melata di muka bumi ini. Mungkin hujan itu turun kerana ada sekumpulan semut yang sedang kehausan. Atau ada rumput semalu yang sedang layu kekeringan. Dan bukan kerana kita... Fikirkanlah...!!!
Semoga kita menjadi manusia yang punya erti......! Berbakti menuju alam abadi....!

Tiada ulasan: