Halaman

17 Januari 2009

Antara Keinginan & Syari’at.......


Masyarakat sekarang semacam sudah biasa dan lali dengan budaya 'couple'. Apa tidaknya, kalau diperhatikan dengan mata kasar sahaja, budaya berpasangan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram ini sudah diterima sebagai satu cara hidup khususnya di kalangan para remaja. Sesetengah ibu bapa pula dengan rela dan suka... membenarkan anak-anaknya ber 'couple'. Itu sebagai tanda ‘supporting’. Jika tidak beri, terasa ketinggalan zaman pula. Pergaulan bebas yang sinonim dengan budaya 'couple' ini tidak dianggap bahaya seperti bahayanya dadah, arak malah rokok.

Cara hidup ‘belangkas’, berjalan bersama, makan bersama dan lain-lain secara ‘bersama’ antara lelaki dan wanita yang belum bernikah ini sudah tidak dirasakan sebagai satu kesalahan lagi. Bukan sahaja dalam realiti kehidupan, malah apa yang terpampang di dalam media massa (sama ada cetak atau elektronik) pun menggambarkan betapa leluasanya budaya hidup sebegini. Gaya hidup berpasangan ini diperagakan secara meluas dalam iklan-iklan. Malah, filem, drama dan dokumentari sekalipun memaparkan budaya ini tanpa merasakan budaya itu sebenarnya sesuatu yang amat salah dari prinsip agama.

Soalnya...... bolehkah hanya dengan sesuatu yang telah dianggap ‘biasa’ maka ia juga wajar dianggap betul dan benar?!

Bagaimanakah pandangan Islam? Apakah pergaulan antara lelaki dan wanita (belum bernikah ini) dibolehkan? Jika boleh, apakah batas-batasnya? Sampai setakat manakah pergaulan yang tidak termasuk dalam kategori haram? Ini adalah persoalan yang menarik, justeru Islam dengan konsep ‘kesederhanaan’nya tentu ada garis panduan yang jelas untuk dijadikan rujukan.

"Memang Islam itu mudah, tetapi bukan untuk dipermudah-mudahkan!"

Perlu diakui bahawa keinginan berpasangan adalah fitrah semulajadi manusia. Allah telah menentukan begitu. Lelaki pasangannya wanita dan begitulah sebaliknya. Keinginan itu tidak ada salahnya. Jika salah, masa ‘kan Tuhan kurniakan keinginan itu. Cuma, apa yang perlu difahami ialah Allah tidak sekadar memberikan keinginan, tetapi Dia juga menyediakan peraturan-peraturan bagaimana hendak menyalurkan keinginan tersebut.

Maksudnya, keinginan dan peraturan yang Allah kurniakan itu mesti dilaksanakan seiringan. Kalau hanya berasaskan keinginan semata-mata, tanpa adanya peraturan, maka apa istimewanya manusia berbanding haiwan? Yang jantan inginkan betina, betina inginkan jantan.... tetapi haiwan tidak ada peraturan. Keinginan dilampiaskan secara bebas tanpa batas. Hukum halal-haram, dosa-pahala, ma’aruf dan mungkar tidak ada dalam kamus hidup binatang, selaras dengan tarafnya yang lebih rendah daripada manusia.

Sebaliknya, lain keadaannya bagi manusia. Kita lebih mulia daripada binatang, atas status hamba Allah dan khalifah-Nya di muka bumi. Allah telah kurniakan akal, perasaan, panduan (al-Quran dan as-Sunnah) untuk kita jadikan pedoman dan pertimbangan. Justeru, keinginan lelaki kepada wanita dan juga sebaliknya, perlulah disalurkan mengikut panduan-panduan daripada Tuhan sejajar dengan taraf manusia yang lebih tinggi berbanding makhluk lain.

Secara mudah, sekiranya manusia ingin ber'couple', tidak mengapa.... silakan. Tetapi hendaklah mengikut peraturan Allah. Insya-Allah, pasti tidak mendatangkan masalah. Namun, kalau peraturan Allah dilanggar, maka tunggulah padahnya. Sebagai contoh, selagi belum bernikah, kita diharamkan melakukan sesuatu yang diharamkan kecuali bagi pasangan yang telah berkahwin (faham ‘kan?). Kawal-lah diri. Jagalah batas-batas itu. Tetapi sekiranya sudah tidak sanggup menahan diri, maka bernikahlah secara sah!!!

Peraturan daripada Allah, hakikatnya bukan untuk menyekat tetapi untuk mengawal. Apa bezanya menyekat denngan mengawal? Secara perbandingan, cuba kita lihat tanda-tanda di jalan raya. Ada lampu isyarat, ada tanda had laju, ada tanda peringatan selekoh berbahaya dan sebagainya. Adakah kita merasakan tanda-tanda itu sebagai satu sekatan kepada perjalanan menuju destinasi kita? Tentu tidak, itu bukan sekatan, tetapi adalah kawalan untuk menyelamatkan kita. Hanya manusia yang tidak siuman sahaja yang merasakan tanda-tanda di sepanjang jalan raya itu sebagai satu sekatan. Malah kita menerimanya sebagai sesuatu yang cukup membantu agar kita sampai ke mana-mana destinasi dengan selamat.

Begitulah, umpamanya kawalan kepada keinginan lelaki terhadap wanita dan sebaliknya, yang menyebabkan berlakunya budaya 'couple' ini. Sekiranya peraturan Allah dilanggar (kononnya itu dianggap satu sekatan) maka tunggulah akibat buruknya.

Perbuatan melanggar peraturan itu tidak sesekali menyusahkan Allah, tetapi yang susah nanti, manusia itu juga.... (khususnya kepada pasangan yang terlibat). Sudah sering berlaku perkara-perkara yang tidak diingini mengiringi perbuatan bergaul bebas tanpa batas ini seperti zina, rogol, AIDS, hamil tanpa nikah, bunuh... dan sebagainya lagi.

"Jadi, ikutlah peraturan Allah. Yakinlah bahawa peraturan itu untuk memudahkan, bukan untuk menyukarkan."

Malangnya, oleh kerana 'couple' ini sudah jadi budaya; yang tidak ber'couple' kadang-kadang terasa janggal. “Semua orang sudah ada pasangan, aku macam mana?”, keluh hati sesetengah mereka. Silap-silap jadi ‘andalusia’ (anak dara lanjut usia) dan bujang lapok.

"Ingin ditegaskan di sini, sekalipun majoriti telah melakukan sesuatu perkara, itu tidak bererti yang perkara itu baik!"

Bahkan dalam hadis ada dinyatakan, bahawa Islam bermula dalam keadaan ‘dagang’ (gharib) dan akan berakhir dalam keadaan ‘dagang’ juga..... Maksudnya, sering berlaku kalau kita menegakkan kebenaran, kita dilihat janggal, pelik atau aneh. Tidak hairanlah, (khusus pada akhir zaman) mereka yang menegakkan kebenaran sudah menjadi golongan yang minoriti dalam masyarakat.
Golongan minoriti ini dirasakan pelik kerana mengikut peraturan Tuhan. Itulah maksudnya...., macam ‘dagang’ di perantauan.

Al-Quran juga turut menegaskan:

"Sangat sedikit di kalangan hamba-Ku yang bersyukur." (Saba’ 34:13)

Tegasnya, orang yang taat ini memang akan selalu menjadi kumpulan minoriti dan yang melakukan maksiat akan menjadi kumpulan majoriti.
Firman Allah lagi:

"Dan jika kamu mengikut sebahagian besar manusia (majoriti) di atas muka bumi ini nescaya kamu akan disesatkan dari jalan Allah." (al-An’aam 6:116)

Namun, orang yang beriman sentiasa yakin dengan pembelaan Allah. Khususnya bagi mereka yang meninggalkan budaya 'couple' ini atas dasar mematuhi perintah Allah, mereka seharusnya tidak berasa bimbang, kalau-kalau tidak dapat jodoh. Bimbang jadi andalusia. Bimbang jadi bujang terlajak. Jika kita benar-benar mengikut peraturan Allah, mampu mengawal diri walaupun ada keinginan yang membuak-buak... Allah pasti tidak akan mensia-siakan kepatuhan itu. Sebab menerusi al-Quran, Allah telah menegaskan:

"Wat-thoiyyibatu lit-thoiyyibina wat-thoiyyibuna lit-thoiyyibat..."
"Perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik." (an-Nur 24:26)

Pengalaman menunjukkan betapa pasangan suami-isteri yang menjaga pergaulan mereka sebelum berkahwin, selalunya lebih bahagia, lebih kekal dan mendapat keberkatan dalam rumah tangga berbanding mereka yang mengabaikannya. Usia perkahwinan sampai ke anak cucu. Kalau adapun yang bercerai, sangat sedikit bilangannya. Tetapi bagi yang tidak menjaga pergaulannya sebelum berkahwin, bukan setakat tak sampai ke anak cucu... kengkadang tu sebelum menjejaki gerbang perkahwinan pun sudah putus cinta, frust dan kecewa.

Bagaimana pula keadaannya bagi pasangan yang sudah terlanjur ber'couple'? Apakah perlu memutuskannya serta-merta atau meneruskannya sahaja? Jika diputuskan, alahai.... takut-takut nanti ada pula yang merana. Sebaliknya, jika ingin diteruskan, bagaimanakah pula caranya?

Yakinlah dengan janji Allah melalui lidah kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.:

"Jika seorang hamba Allah menahan keinginannya dari sesuatu yang haram (kerana Allah) maka Allah akan memberikan sesuatu yang diingininya itu mengikut jalan yang halal." (al-Hadis)

Yang penting tanyalah hati kita, untuk apa kita ber 'couple'? Jika niatnya benar-benar suci, yakni untuk berkahwin, maka peliharalah niat suci itu baik-baik. Jangan dicemari dengan perbuatan yang kotor dan jijik. Tetapi sekiranya niat kita hanya untuk suka-suka, seronok-seronok, maka HENTIKANLAH. Takut syaitan pula yang mencelah. Apatah lagi bagi pasangan yang sering berdua-duaan di tempat sunyi. Ingat selalu pesan Rasulullah s.a.w., tidak berdua-duaan seorang lelaki dan seorang wanita di tempat yang sunyi melainkan syaitanlah makhluk ketiganya.

Bagi 'couple' yang benar-benar serius, ingatlah bahawa
SEMAKIN BANYAK KEMANISAN YANG KITA TEGUK DALAM PERGAULAN BEBAS SEBELUM BERKAHWIN, MAKA SEMAKIN TAWAR DAN HAMBAR PULA PERGAULAN ITU (sebagai suami isteri nanti) SELEPAS BERKAHWIN.

Sebaliknya, jika kita dapat mengawal diri daripada sesuatu yang dilarang oleh Islam sebelum kita berkahwin, maka semakin manislah nanti alam rumah tangga yang akan kita lalui!

Jika benar-benar sayangkan pasangan kalian, maka hormatilah dia, pelihara dia dan perlakukan sewajarnya seperti orang yang anda sayangi. Jangan hancurkan hidup pasangan kalian hanya kerana keseronokan yang sementara.

Jika sayangkan permata, tempatkanlah ia di bekas yang selamat, dilindungi dan dijaga... Jangan sesekali didedahkan, disepah-sepahkan. Jangan manisnya dikecap, sepahnya dibuang.

Seperkara lagi, mungkin hati kecil kita tertanya-tanya. Apakah Islam mengharamkan pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram secara total? Maksudnya, dilarang sama-sekali. Atau batas-batasnya terlalu rigid hinggakan tidak praktikal lagi dalam era ICT masa kini. Contohnya, pelajar-pelajar sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi mungkin tertanya-tanya bagaimana pula dengan kedudukan study group (yang ahlinya lelaki dan wanita) untuk menyelesaikan kerja-kerja latihan, kertas projek atau assignment? Apakah ini termasuk dalam kategori 'couple' yang tidak dibenarkan? Apakah ini juga satu bentuk pergaulan bebas?

Perlu diingatkan, bahawa menjadi Muslim dalam erti kata yang sebenar, bukan menyusahkan. Islam tidak diturunkan untuk menyusahkan manusia. Bagi pelajar-pelajar, mereka boleh sahaja bekerja dalam satu group bercampur lelaki dan wanita tetapi tetap dalam batas-batas yang ditentukan syari’at. Kalau sekadar hendak berbincang, bertukar-tukar pandangan dan maklumat, itu tidak menjadi suatu masalah. Dalam bidang yang melibatkan soal muamalat (perhubungan sesama manusia dalam soal jual-beli, pendidikan, sosial dan lain-lain) dan jinayat (kesaksian, kehakiman dan lain-lain), hubungan antara lelaki dan wanita adalah dibenarkan..... (menurut batasan syari’at!)

Sementelahan pula dalam study group selalunya tidaklah sampai perlu berdua-duaan. Kadang-kadang tiga, empat, malah adakalanya lebih daripada lima orang dalam satu kumpulan. Jadi sudah tentulah suasana lebih terkawal, ada rasa malu dan segan. Masing-masing boleh mengawal diri dan mengingatkan antara satu sama lain jika ada berlaku sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah.

Ya, rasa malu merupakan ‘kawalan dalaman’ untuk mencegah berlakunya penyimpangan.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Sesungguhnya Allah itu apabila Dia menghendaki untuk membinasakan seseorang, Dia mencabut rasa MALU dari dalam dirinya. Apabila rasa malu sudah dicabut, kamu tidak akan menjumpainya melainkan dalam keadaan benci (Allah dan manusia)." (Riwayat Ibn Majah)

Dalam muamalat seperti urusan menuntut ilmu, jual-beli, kesaksian, dan seumpamanya.... Islam sangat tolerance. Peraturan Allah bukan satu sekatan kepada kreativiti, inovasi dan kedinamikan fikiran dan pergerakan manusia. Peraturan Allah adalah satu panduan untuk kita menyalurkan bakat, kemahiran, pandangan dan ketrampilan diri. Malah, ia akan memberikan kita satu suasana yang lebih kondusif untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain secara lebih efektif dan efisien.

Jangan sekali-kali kita menyebabkan peraturan Allah itu difitnah. Misalnya, apabila kita mengikut peraturan Allah, kita bertukar menjadi kaku, beku dan tidak prokdutif lagi. Kononnya, Islam menghendaki kita begitu. Ini satu sikap yang salah.

"Islam tidak mengikat, tetapi memerdekakan."

Peraturan-peraturan Allah jika difahami, dihayati dan diamalkan akan memberikan kita satu ruang dan peluang yang lebih luas untuk mengembangkan daya kreativiti, bakat dan minat.

Jadi bagi mereka yang sudah ber'couple' dan belum ber'couple'... Jangan risau. Islam ada panduannya.

Ingatlah, sesiapapun ada keinginan tetapi perlulah mengikut syari’at.

Jika tidak, bukan ketenangan yang kita temui, tetapi musibah yang datang melanda. Sekarang terpulang kepada diri masing-masing, cubalah nilaikan.... Apakah budaya 'couple' yang ada pada hari ini...... sesuatu yang hanya berdasarkan keinginan atau keinginan yang dilaksanakan seiring kehendak syari’at.

Tepuk dada tanyalah iman!!!

Wallahu a`alam........

1 ulasan:

AinNur Raudhah berkata...

Dalil yang lebih kuat menetang hubungan percintaan ini terdapat dalam Surah Al-Israa’(17) ayat 32:

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”