Halaman

30 Oktober 2009

Kerana Kita Punya Pilihan

"Assalamu'alaikum, cik Annur Amira," ucapan pertama Haikal saat semakin menghampiri Amira yang sedang duduk menghadap horizon langit dan laut yang luas terbentang di depan mata.


"Wa'alaikumsalam... eh? Abang Haikal! Camne abang boleh ada kat sini?" balas Amira yang kelihatan agak terkejut dengan kemunculan tanpa diduga insan yang cukup dikenalinya itu.


"Kebetulan kot. Hehehe.... Erm... abang baru balik dari hospital ni. Tengah drive terperasan pulak dengan gadis yang tengah dok kat bangku ni. Macam kenal. Tu yang park kereta kat sana tu," jelas Haikal sambil tangannya mengarah ke sebuah kereta berwarna putih di sebelah gerai menjual makanan ringan.


"Ada apa pergi hospital?" soal Amira.


"Ziarah kawan abang..."


"Kawan abang tu sakit ke?"


"Hmm... tak lah, dia sihat... Hai... Mira ni mestilah dia sakit. Lau tak watpe dia duduk kat hospital tu," jawab Haikal sambil mengerutkan dahinya.


"Eleh... mana tahu, kawan abang tu kerja kat sana..." balas Amira mula membuat muka.


"Hm... mulalah tu nak wat hobi biasa dia... Kesian abang tengok kawan abang tu, Mira."


Amira mendongakkan kepala. Tak jadi nak merajuk.


"Kenapa, bang? Teruk ke sakit dia?"


"Barah hati tahap empat... Dah tak bermaya pun. Dah lama dia sakit, tapi baru semalam abang tahu..." suara keluhan halus mengakhiri bicara Haikal kali ini.


"Abang..." ujar Amira.


"Ye, cik Amira..."


"Kenapa Tuhan beri manusia ni penyakit yang teruk-teruk? Bukan ke Tuhan tu Maha Pengasih dan Maha Penyayang? Dia tak kesian ke dengan kawan abang tu?"


"Sebab sayang lah Tuhan beri dia penyakit. Kita kena selalu berbaik sangka dengan Tuhan. Husnul-zhon. Tuhan tak akan menganiayai hamba-hambaNya. Bukan bererti Tuhan tak sayang bila Dia beri kita penyakit yang teruk-teruk. Semua tu 'kan ujian dari Tuhan terhadap hamba-hambaNya. Mungkin penyakit yang Tuhan beri tu untuk melihat sejauh mana kita ikhlas dalam beriman kepada Tuhan. Atau mungkin juga ia merupakan kifarah atas dosa-dosa kita selama hidup di dunia ini."


"Kawan abang tu banyak dosa ea?" pintas Amira.


"Ish! Mira ni, ke situ pulak dia. Bukan dengan Tuhan saja kita kena berbaik sangka tau. Dengan sesama manusia pun kita kena selalu berbaik sangka. Tak boleh kita bersangka buruk terhadap saudara kita. Sebarang keburukan yang kita dengar tentang saudara kita mesti kita selidiki dulu kebenarannya. Kalau betulpun, kita wajib menegur dan memberi nasihat yang baik kepada saudara kita tu. Bukan menambah-nambah lagi fitnah ke atas dirinya. Aib saudara kita wajib ditutup, apatah lagi aib sendiri."


"Oh, macam tu ke.... Kalau kita sentiasa berbaik sangka terhadap Tuhan maknanya kita tak de pilihanlah hidup di dunia ni. Sebab Tuhan dah tentukan nasib kita sejak sebelum kita dicipta lagi. Camne tu, abang?"


"Sebagai hamba Allah, kita diberi akal. Akal tu satu kurniaan Allah yang sangat hebat kepada kita. Dengan akal kita dapat membuat pertimbangan dalam membuat pilihan. Kita kena yakin apa yang termaktub di dalam al-Quran, malahan ternyata dalam kitab-kitab sebelumnya bahawa balasan baik atau buruk itu memang wujud. Jika di dunia ini, intan dan kaca dijadikan perbandingan baik dan buruk, maka begitulah jua halnya dengan syurga dan neraka di akhirat kelak. Jika di dunia, kita memilih untuk terus melakukan kejahatan dan berada dalam lingkungan maksiat, kita harus sedar di mana kedudukan kita di akhirat nanti, dan kita tak perlu menyesal kerana kita sendiri telah memilihnya. Jika kita memilih untuk melakukan kebaikan, kita juga patut tahu di mana tempat kita akan ditempatkan. Ambillah iktibar dari apa yang telah menimpa umat-umat terdahulu yang telah mengingkari perintah Tuhan. Segala-galanya bukan gurauan atau mitos. Ia pernah terjadi dan bakal berulang kalau kita masih leka dan lalai. Kita harus perbaiki diri dan kembali ke jalan Allah subhanahu wata'ala.
Jalan kehidupan kita ni, Mira, kita yang berhak memilihnya. Namun, semuanya akan kembali pada Tuhan. Dengan sebab tu ilmu, keluarga, sahabat-handai, persekitaran yang baik dan kekuatan akhlaklah yang menjadi pendorong dalam kita memilih jalan hidup yang bagaimana bakal kita lalui. Sebab apa jua yang kita lakukan di sini, pasti dan pasti akan mendapat balasan bila di sana nanti.
Ingat Mira, sentiasa berbaik sangka kepada Tuhan, bertawakkal, dan sentiasa bersedia untuk membuat pilihan kerana kita punya pilihan."
"Syukran, abang..."

05 Oktober 2009

K3T3NTU4N

Kita ini hamba Tuhan,
bertingkahlah selayaknya seorang hamba,
bukanlah hamba dunia,
bukan juga hamba manusia,
bukannya hamba harta,
bukan hamba nafsu yang hina,
apatah lagi..
bukan hamba iblis durjana.
Kita ini hamba-Nya,
sejauh manapun kita daripada-Nya,
Dia tetap bersama kita,
memenuhi keperluan kita,
tanpa ragu tanpa dipinta.
Tidakkah diri ini
terasa hakikat kehambaan,
saat perlu tunduk
pada takdir iradah Tuhan,
di saat K3T3NTU4N
mendahului K3M4HU4N?

04 Oktober 2009

Maknanya

Ada maknanya,
di sebalik orak gaya..
di setiap luah bicara..
di seraut tatapan mata.
Ada maknanya,
jika jujur jadi galurnya..
jika setia jadi harumnya..
jika cinta jadi puncanya.
Ada maknanya,
pada segenap tautan rasa..
pada seluas lautan jiwa..
pada cinta segala cinta.
Maknanya..
mungkin tiada maknanya,
tanpa menemui maknanya,
yang tersirat di dalam maknanya.
Dirimu..
Dirinya..
Diriku..
amat bermakna.

03 Oktober 2009

Salam 'Aidilfitri

Memaafkan itu pilihan,
bagi insan yang mengharap keredhaan,
bagi hati yang cinta kedamaian,
bagi jiwa yang ada ketaqwaan.
Memaafkan itu perlu kekuatan,
peneguh ikatan persaudaraan,
penawar racun permusuhan,
penebus dosa dan kesalahan.
Memaafkan bukan mudah,
adakala di hati tak sama yang diluah,
bagai air..
riak di atas tak sama badai di bawah,
namun,
memaafkan bagai haruman iman,
yang tak pudar dek masa tak busuk dek zaman.
Memaafkan..
di situ ada kemanisan.
Salam 'Aidilfitri

02 Oktober 2009

Kasih Noumi

Tinta kasih Noumi,
melakar kalam nurani,
bermadah penuh erti,
mengisi hati nan sepi,
adakalanya disalaherti.
Makanya..
di sisi Tuhan mengadulah diri,
pinta dituntun hati,
suluhan harapan suci,
kala kelam terang kembali.
Kisah kasih Noumi,
awalnya budi hujungnya bererti,
bertebaran harum mardhiah syurgawi,
ke mercu kasih hakiki.
Kembara kasih Noumi,
perjalanan tiada henti,
seiringan menuju abadi,
berpautan di dahan cinta Ilahi,
saat mimpi bertukar pasti.

09 September 2009

Andai Kau Tahu

Andainya kau tahu apa yang kutahu,
pasti tiada fikirmu jadi keliru,
maka tiadalah sangkaanmu melulu begitu,
dan bicaramu menyentuh hatiku.
Andainya kau alami apa yang kualami,
pasti hampamu menjauh pergi,
maka tiadalah sakitmu di hati,
dan kusutmu beralih rapi.
Andainya kau tahu..
andai saja kau sedari.

24 Julai 2009

Mungkin aku...

Yang sentiasa dekat denganmu,
Yang selalu ada untuk membantumu,
meleraikan kekusutanmu,
melenyapkan keresahanmu..
Yang sayang padamu,
Mungkin aku,
Tetapi yang ABADI untuk semua itu hanya DIA yang SATU..

27 Jun 2009

Salam Ulangtahun

Di pohon waktu tercoret cerita,
terukir nama kita berdua,
abadinya memori suka-duka,
di bumi di bawah langit yang sama..
Antara kita ada perkongsian rasa,
tak kurang rahsia terpendam cuma,
sedalam lautan kata-kata,
setinggi madah bermakna..
Kuintai hari-hari indah,
mengharapkan tiada yang berubah,
biar sukar biar payah,
bersamamu...
kenangan terindah...
Salam ulangtahun, adikku.
Nukilan naluri;
'Haikal Nawwarah'
23 Jun 2009
1 Rejab 1430H
-Johor Bahru-

06 Mac 2009

Hidup Ini Perjuangan Anakku


Hidup ini perjuangan anakku!
Bukan perjuangan untuk mencari nama dan kedudukan
Bukan perjuangan untuk mengumpulkan
kemewahan
Bukan perjuangan untuk memperolehi
kemasyhuran
Dan juga bukan perjuangan mengejar keduniaan

Hidup ini perjuangan anakku!
Hidup ini perjuangan mengejar alam abadi
Hidup ini perjuangan mengumpulkan bakti
Hidup ini perjuangan mencari ilmu yang diberkati
Dan yang pasti hidup ini perjuangan mencari
keredhaan Ilahi

Hidup ini perjuangan anakku!
Perjuangan yang memperjuangkan satu
perjuangan

Hidup ini perjuangan anakku!
Perjuanganku sendiri hampir ke penghujungnya
Perjuanganku juga hampir ke noktah akhirnya
Perjuanganku sudah menuju ke garis penamatnya
Namun nilai perjuanganku hanya Allah yang Tahu

Hidup ini perjuangan anakku!
Berjuanglah dengan perjuanganmu
Berjuanglah menuju jalan kebenaran
Berjuanglah dengan sebenar-benar berjuang
Agar perjuanganmu menemui jalan keredhaan Ilahi akhirnya...

Nukilan
"Rouhan"
Kuantan, Pahang.
{Muslimah; November 2001)

Dia Insan Mulia

Tak semena-mena...
air mataku mengalir sendu....
dan hati mula diserapi pilu....
saat indera menatap lakaran kejahilan itu.
Dia insan mulia
yang tetap mulia selama-lamanya....
dia dilakar pencetus keganasan...
sedangkan dia pengibar panji kedamaian.....
dia digambar penuh kebingungan...
sedangkan dia perintis ketenangan....
dia dipotret cogan diskriminasi...
sedangkan dia membela hak asasi....
dia disangka perebak penindasan....
sedangkan dia obor keadilan.....
biar apapun dia dicerca.......
kemuliaannya terpelihara......
kerana dia insan mulia.....!

Ternyata kejahilan tak akan bersatu
dengan keilmuan orang yang tahu....
persis minyak dan air yang tak 'kan berbaur....
begitu jua......
kala kehinaan yang dilemparkan...
membangkit kemarahan......
dan marah ini di atas landasan....
marah kerana kebenaran....
marah demi kecintaan....
marah demi kerana dia kekasih Tuhan!
Air mata masih mengalir.....
pilu dengan tingkah mereka itu....
namun, Tuhan Lebih Tahu.....
Muhammad;
dia insan mulia.....
kala hidup meski sering dicerca....
dan kini masih lagi yang jahil menghinanya....
dia tetap pewaris kemuliaan....
yang dalam diam diakui.....
setiap kawan dan lawan......
Kuseka air mata ini......
kutahan kemarahan di hati.....
ku akui ketinggian akal budi.....
kerana aku meyakini.....
adalah yang tetap dan pasti.....
Muhammad itu......
dia insan mulia......
yang mulianya dia.....
selama-lamanya......!!!!
Nukilan;
'Haikal Nawwarah'
25 Muharram 1427H
-Johor Bahru-

02 Mac 2009

Kekasihku



Dia….,
menggarap cintaku untuk Tuhan
kerana hebatnya sebuah ciptaan…
mulus dan kudus tanpa kesangsian….
Oh Tuhan yang Maha Agung!
Di hati ini dirinya sering kusanjung
dialah cintaku yang terulung
di hati harapan untuknya menggunung….
Oh Tuhan yang Maha Kaya!
Terlalu mendalam rinduku padanya…..
seorang insan yang istimewa
meronta-ronta hati ingin menemuinya
tetapi sudikah dia?
Oh Tuhan yang Maha Pengasih!
Sesungguhnya dia seorang kekasih
walaupun dulu dia pernah tersisih
namun aku dan dia ‘kan tetap berkasih….
alam cinta yang sukar diraih..
sekian adanya nota cinta…
untuk Rasulullah yang amat kucinta…
ilham bicara,
10 Januari 2003
7 Zulkaedah 1423

28 Februari 2009

Cintailah Dia..

Tatkala hati ingat padanya..
terbit rindu di ufuk jiwa..
terbayang susur perjuangannya di minda..
sayu menghayati pengorbanannya..
Kerana dia perwira agama..
penyatu segala bangsa..
pencetus tamadun di tiang taqwa..
pembawa rahmat di jagat raya..
Cintailah dia nescaya kau dicintai..
dari cintanya terbit segala cinta..
nukilan naluri:
'Haikal Nawwarah'
27 Feb 2009
-Johor Bahru-

K..I..T..A..

Kita mengolah kenangan,
syahdu dalam sendu,
terasing dalam duka,
riang dalam tawa,
pernah kita lalui bersama.
Tuhan juga punya rencana,
yang kadang-kadang di luar duga,
terkadang kita lupa,
terkadang kita jauh,
terkadang kita luka..
Namun,
Tuhan tetap dengan kehendak-NYA,
La Haula wa La Quwata illa billah..
Kita tetap bersama kerana DIA..
nukilan naluri:
'Haikal Nawwarah'
19 Feb 2009
-Johor Bahru-

27 Februari 2009

Kerana-Nya Kita Bertemu


Pertemuan, di antara dua insan,
sering membuahkan kasih dan sayang,
ukhwah antara kita,
anugerah yang Esa,
menuju cinta yang abadi.
Pencarian, erti kasih dan sayang,
pastinya ada jiwa yang terkorban,
kerana dilanda dilema,
di tengah persimpangan,
cintakan Allah atau manusia.
Percintaan, itu fitrah manusia,
dipenuhi untuk mencari redha Ilahi,
jika cinta tak berpandu, turuti hawa dan nafsu,
musnahlah bunga hiasan diri.
Perpisahan, sekadar menguji kita,
apakah kita tabah dengan ketentuanNya
cintaku hanya yang Satu,
kita pasti ‘kan bertemu,
kerana pertemuan, dan perpisahan itu,
Milik-Nya sentiasa.
Percintaan, itu fitrah manusia,
dipenuhi untuk mencari redha Ilahi,
jauhi cinta yang fana’,
bersalut kepuraan,
cinta Ilahi itu yang abadi.
"Biar terpisah,
jika itu kehendak-Mu,
mendidik nafsuku,
menundukkan mazmumah,
janganlah ada, walau secebis rasa,
perasaan ingin memiliki,
kerana itu hanyalah sifat-Mu,
menjauhkan daku dari sifat kehambaan."
Pertemuan dan perpisahan,
Bukannya milik kita
Bertemu dan Berpisah hanya kerana-Nya
"Suara Hati"
Alifi Hj Alias

20 Februari 2009

Jawapan Sebuah Penantian (Episod Akhir)

Ain memandang jauh ke hadapan. Sekali lagi, Ain menghitung kekuatan diri. Kali ini bukan kepada sebuah perpisahan tetapi kekuatan untuk menghadapi hakikat sebuah pertemuan semula antara dia dan Fairul Ikmal. Pertemuan yang awalnya penuh dengan harapan secantik warna-warninya pelangi dalam khayalan Ain. Tetapi berkali-kali sudah Ain menyoal dirinya. Kenapa? Dan mengapa? Ain pasrah tanpa jawapan yang pasti.
Ain dihimpit seribu satu kesedihan. Adakah salah dirinya memendam perasaan? Atau salahkan Abang Fairul Ikmal kerana tidak pernah mahu memahami perasaannya? Ain jadi serba salah. Kadangkala Ain jatuh keliru. Penantian lima tahun Ain seakan sekadar satu penantian. Kini penantian itu sudahpun terjawab pada pertemuan lima hari yang lepas.
Salah Ain agaknya, itulah getus hatinya. Tetapi Ain semakin sedar diri. Siapalah dia pada pandangan mata seorang lelaki yang ikhlas berkawan dengannya. Abang Fairul benar-benar ikhlas menerimanya sebagai seorang teman yang dianggap seperti adik kandungnya sendiri. Cuma Ain yang menukar persepsinya atas curahan kasih sayang Abang Fairul terhadapnya. Ain tidak menanggapi seperti apa yang ditanggapi oleh Abang Fairul.
Akhirnya, Ain hilang alasan untuk menyalahkan Abang Fairul. Nyata sekali bukan Abang Fairul yang bersalah, yang jika adapun mungkin kerana Abang Fairul terlalu memberi harapan melalui kasih sayangnya itu. Ah! Ain bukan mencari silap atau salah sesiapa. Ain seboleh mungkin berusaha mendidik hatinya untuk meredhai segala ketentuan itu. Ain bukan insan kecil yang masih keanak-anakan seperti dulu. Ain sudah dewasa untuk berhadapan dengan hakikat hidup.
Ain percaya Abang Fairul Ikmal sudah membuat pilihan yang terbaik untuk dirinya. Ain yakin gadis bernama Nor Liana itu adalah insan yang paling sesuai dengan Abang Fairul. Pada pandangan awalnya sejak mula pertemuan di jeti beberapa hari lalu, Ain lihat Kak Nor memang seorang wanita yang punya keistimewaan yang tersendiri. Bukanlah Ain membuat perbandingan. Ain sekadar menyatakan apa yang tercetus di hatinya.
Benar, Ain sedih. Ain ada pelbagai rasa. Ain sedih. Ain kecewa. Ain pilu. Pendek kata, hati Ain penuh dengan tangisan. Cuma tiada air mata mengalir di wajahnya. Ain ingin tabah menghadapinya. Bagi Ain, itu semua hanya secebis ujian dalam hidupnya. Tentu banyak lagi ujian yang lebih berat akan Ain hadapi selepas ini.
Berhadapan dengan lautan ketika itu membuatkan Ain semakin faham erti hidup. Ain bayangkan dirinya seperti buih-buih yang berkumpul di celah-celah batuan besar persisir pantai. Hayatnya tidak lama. Hadirnya hanya seketika. Lambat-laun segalanya akan berakhir dengan sehela nafas yang tinggal. Buih-buih itu tidak pernah meminta untuk berada di situ. Buih-buih itu juga hanya mampu membiarkan dirinya hanyut oleh arus lautan yang tenang dan adakalanya buih-buih itu berserakan dek badai yang mengganas.
Ain mencapai pena dan buku catatan berurna biru yang menjadi teman setianya ketika itu. Serta-merta penanya menari-nari mencoretkan sesuatu. Entah mengapa kali ini Ain tidak menukilkan sebuah puisi sebagaimana biasa. Kali ini Ain hanya melakarkan lirik lagu ‘Bukan Cinta Biasa’. Sambil itu Ain bernyanyi perlahan. Gemersik suaranya, berkongsi nadanya dengan melodi alam.
Begitu banyak cerita
ada suka ada duka
cinta yg ingin ku tulis
bukanlah cinta biasa
Dua keyakinan beza
masalah pun tak sama
ku tak ingin dia ragu
mengapa mereka selalu bertanya
Cintaku bukan di atas kertas
cintaku getaran yang sama
tak perlu dipaksa, tak perlu dicari
kerna ku yakin ada jawabnya
ooh...
Andai ku bisa merubah semua
hingga tiada orang terluka
tapi tak mungkin ku tak berdaya
hanya yakin menunggu jawabnya
Janji terikat setia
masa merubah segala
mungkin dia 'kan berlalu
ku tak mahu mereka tertawa
Diriku hanya insan biasa
miliki naluri yang sama
tak ingin berpaling, tak ingin berganti
jiwaku sering sahaja berkata
Andai ku mampu ulang semula
kupasti tiada yang curiga
kasih 'kan hadir
tiada terduga
hanya yakin menunggu jawapan..
TAMAT
(^_^)v
peace

Suhaila


Kerana dia yang bernama Suhaila...
kupapah lengan kehidupan yang makin longlai
kubibitkan kepada kenangan sebuah senyuman
kuutus serangkai doa kesejahteraan
kudekati sekujur jasad cinta di hamparan.
Kerana dia yang bernama Suhaila...
kubisikkan di kuping madah al-Quwwa
kurejam segala syaitan penyesalan
kulerai ikatan persoalan yang makin tegar
kubuka kembali gerbang usang ukhwah.
Kerana dia yang bernama Suhaila...
kuakur pada setiap iradat Tuhan
kerana aku meyakini...
Tuhan tak pernah meninggalkan kita
kala kita menjauh rahmat nan Maha Sempurna.
Kerana dia yang bernama Suhaila...
kukembali bersua jalan kebenaran
kusyukuri semulia-mulia pertemuan
yang menjalinkan...
hati dan hati
insan-insan berperasaan.
'Haikal Nawwarah'
20 Dis 2008
-Bumi Mawaddah-

19 Februari 2009

Bidadari

Semalam kau hadir
menghiasi kamar mimpiku
semalam kau hadir
menerangi kelam malamku
terasa keindahan itu anugerah
dari Tuhan untukmu
Bukanlah dirimu si pari-pari
layaknya dirimu bergelar si bidadari....
Mar.....,
halus budi pekertimu
tutur bicara sopan terpelihara
maruah diri kekal terjaga
tidak pernah kau relakan dinoda.
Mar....
simboliknya hadirmu...
di hati ini kau bertamu
menelusi harapanku pada rahmat Ilahi
seakan seketika runtunan hidayah-Nya
meletakkan diriku dalam hidupmu.
Mar....
di sana kau terus menanti
selautan rindu disematkan di hati
suci kurniaan Ilahi
saat tiba ‘tika yang dinanti
kita pasti bertemu....
kerana siapa lagi
yang lebih benar
dalam berjanji...
daripada Tuhan yang Maha Mengetahui...

17 Februari 2009

Mimpi dan Hirisan Roti



Tiga orang musafir menjadi sahabat dalam suatu perjalanan yang jauh dan melelahkan; mereka bergembira dan berduka bersama, mengumpulkan kekuatan dan tenaga bersama.

Setelah berhari-hari lamanya, mereka mula menyedari bahawa makanan yang mereka miliki tinggal sepotong roti dan seteguk air di dalam kendi. Mereka pun bertengkar tentang siapa yang berhak untuk makan dan minum bekalan yang masih tinggal tersebut. Oleh kerana tidak berhasil mencapai persetujuan pendapat, akhirnya mereka memutuskan untuk memberi sahaja makanan dan minuman itu kepada tiga bahagian. Namun, tetap saja mereka tidak sepakat.

Malampun turun; salah seorang mengusulkan agar tidur saja. Kalau besok mereka bangun, orang yang telah mendapatkan mimpi yang paling menakjubkan akan menentukan apa yang harus dilakukan.

Pagi berikutnya, ketiga-tiga orang musafir itu bangun ketika matahari terbit.

"Inilah mimpiku," kata yang pertama. "Aku berada di tempat-tempat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, begitu indah dan tenang. Aku berjumpa dengan seorang bijaksana yang mengatakan kepadaku, kamu berhak makan makanan itu, sebab kehidupan masa lampau dan masa depanmu berharga, dan pantas mendapat pujian."

"Aneh sekali," kata musafir kedua. "Sebab dalam mimpiku, aku jelas-jelas melihat segala masa lampau dan masa depanku. Dalam masa depanku, kulihat seorang lelaki yang serba tahu, berkata, kau berhak akan makanan itu lebih daripada kawan-kawanmu, sebab kau lebih berpengetahuan dan lebih sabar. Kau harus cukup makan, sebab kau ditakdirkan untuk menjadi pemimpin manusia."

Musafir ketiga berkata, "Dalam mimpiku aku tak melihat apapun, tak berkata apapun. Aku merasakan suatu kekuatan yang memaksaku bangun, mencari roti dan air itu, lalu memakannya di situ juga. Nah, itulah yang kulakukan semalam."


Catatan:

Wahai sahabat; dalam persahabatan adakala wujud perselisihan pendapat. Ada yang mudah dicari penyelesaiannya dan ada juga yang menuntut waktu yang lama untuk kembali pulih. Namun sahabat; erti persahabatan itu merangkumi dalamnya makna kehidupan. Sahabat boleh menjadi madu dan boleh juga menjadi hempedu.
Hanya sahabat yang sejati menuntun kita ke arah kehidupan yang penuh bererti. Laut dan pantai merupakan dua makhluk yang berbeza. Namun tanpa laut, pantai tidak bernama pantai. Dan tanpa pantai tidak laut namanya air yang sedia bertakung. Sahabat yang baik saling melengkapi. Sahabat yang baik saling menyayangi. Sahabat yang baik tidak mementingkan diri sendiri.
Semoga kita menjadi sahabat yang terbaik dalam kembara bersama di arena dunia nan fana’. Insya Allah.

15 Februari 2009

Jawapan Sebuah Penantian (Episod 04)

"Jauh lagi ke, bang?" soal seorang wanita muda di sebelahnya. Membetulkan tudung yang ditiup angin laut.
"Dah nak sampai ni. Kejap ye abang pergi tanya pak cik tu." Jawab Fairul sambil melangkah keluar dari kabin penumpang. "Teruk ke pak cik rosaknya?"
"Hah, teruk juga. Kipasnya tersangkut jaring hanyut. Anak ada urusan penting ke?" jelas pak cik yang mengemudi bot laju itu.
"Tak de la penting sangat pak cik. Err, boleh ‘repair’ ke?"
"Susah jugak ni, tapi pak cik dah hubungi orang kat darat, nanti diorang hantar bot ganti. Insya-Allah kejap lagi sampailah tu. Maaflah, keadaan ni tak dijangka..."
"Takpe, takpe, biasalah insiden macam ni."
Fairul melangkah masuk ke dalam kabin penumpang semula. Kelihatan beberapa penumpang lain sedang berbicara sesama mereka. Ada juga yang tidak habis-habis merungut. Padahal apa yang terjadi di luar kawalan manusia. Fairul sempat juga memerhati wajah-wajah penumpang lain. Bukan apa, sekadar mencari kalau-kalau ada yang dikenalinya. Tetapi pencariannya hampa. Tiada seorangpun yang dia kenal. Masa lima tahun yang berlalu mungkin sahaja membuatkan dia lupa figura penduduk-penduduk di pulau yang dirinduinya itu.
"Ada yang tunggu abang ke kat jeti tu nanti?" tanya wanita di samping Fairul.
"Tak tahulah, kalau ada pun maybe si Ain dengan kawan-kawannya. Abang tak beritahu Pak Lang Johar. Saja nak buat ‘surprise’." Fairul menjawab dengan tenang.
Beberapa minit kemudian, bot gantian tiba. Semua penumpang beralih ke bot baru itu. Sekali lagi, mereka menyambung perjalanan ke Pulau Penyinar. Di dalam hati Fairul sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menjejakkan kakinya ke tanah yang pernah mengukir banyak kenangan manis itu. Tanah pulau itu banyak memberinya peluang untuk berbudi kepada insan lain di muka bumi Allah ini. Rindunya pada keluarga Pak Lang Johar, juga Mak Su Midah semakin ketara dengan kisah-kisah pengalamannya di pulau itu. Segalanya hampir sahaja diceritakan kepada wanita yang masih setia di sampingnya.
Dia juga rindu kepada Ain, Iman, Aliya dan Izzah. Masih terbayang wajah comel Ain dalam ingatannya. Tentu sudah besar sekarang gadis yang dulu masih di alam persekolahan semasa dikenalinya. Ain yang paling rapat dengannya. Di antara empat orang anak gadis pulau itu, Ain yang paling cepat mesra dengannya. Kadang-kadang Ain akan mengikutnya masuk ke hutan. Tetapi bukanlah mereka berdua sahaja. Ada lagi beberapa penduduk kampung yang arif tentang kawasan hutan di pulau itu yangn turut sama mengiringi. Fairul terkenang saat-saat memori itu terukir.
Dalam sekian banyak ukiran memori yang menghiasi benak fikirannya.
"Abang, dah sampailah kita." Wanita di sisi Fairul berbisik betul-betul di cuping telinganya. Fairul tersentak dari imbauan kenangannya.
"Ha? Dah sampai? Alhamdulillah...... Jom, mungkin Ain dah tunggu kita kat pondok tu," ujar Fairul sambil tangannya mengunjuk ke arah sebuah pondok berhampiran jeti tempat bot menurunkan para penumpang.
Dari kejauhan, Fairul melihat kelibat dua orang gadis sedang duduk di salah satu bangku di pondok menunggu itu. Di antara jelas dengan tidak, Fairul dapat menjebak itu pastinya Ain. Mungkin yang seorang lagi itu adalah Iman. Fairul cuba melambai. Tetapi lambaiannya tidak berbalas.
"Uda, mana abang Fairul? Ish! Ramai sangat berkerumun kat jeti tu. Tak nampaklah..." kata Ain sambil anak matanya masih asyik melirik dan mencari kelibat Fairul.
"Tu kot?" ujar Iman seraya memuncungkan bibirnya ke arah sesuatu yang masih jauh.
"Rasa-rasanya...., eh, dah lainlah abang Fairul. Ke salah orang?"
"Betullah tu, wak. Kite ingat lagi muka dia. Eh? Sape pulak kat sebelah dia tu?"
Sebelah dia? Renungan mata Ain terus sahaja beralih ke arah wanita yang berjalan di sebelah Fairul. Melangkah beriringan dengan pemuda itu. Terasa sesuatu di dalam hati nurani Ain. Sesuatu yang sedikit mengusik perasaannya. Tetapi Ain tidak mahu berprasangka apa-apa. Cepat-cepat dia meneutralkan cetusan hatinya.
Sedikit demi sedikit langkahan Fairul semakin menghampiri dua orang gadis yang setia menanti. Wajahnya semakin terserlah cerianya. Tiada langsung bayangan lelahnya perjalanan meredah lautan luas untuk ke pulau itu. Fairul segera melambaikan tangannya. Kali ini lambaiannya berbalas.
"Assalamualaikum...." ucap Fairul sambil tersenyum lebar.
"Waalaikumussalam... Selamat kembali ke pulau....." jawab Ain dan Iman seakan serentak.

12 Februari 2009

Erti Budi

Sepasang kaki melangkah
meniti usia
hari yang berlalu pergi
tak 'kan kembali
seiring dengan masa aku dewasa
dan kini kufahami ertinya budi
Ku sedar kau sejak dulu
menatangiku
tak pernah diriku ini
engkau kasari
terisi tiap waktu permintaanku
diriku kebanjiran kasih dan sayang
Walau tak kuucapkan
walau tak kupamerkan
di hatiku selalu menghargaimu
tunggulah tiba waktu
di saat 'tika perlu
ku pasti akan berada di sampingmu
akulah embun...akulah hujan
pada ketika kau hangat kegersangan
Semakin ku mengenali ertinya budi
semakin kau ku sanjungi di dalam hati
sedaya upayaku akan ku cuba
membahagiakan mu setiap masa

10 Februari 2009

Jawapan Sebuah Penantian (Episod 03)


Suasana di jeti semakin diruangi dengan emosi. Pak Lang Johar, Mak Su Midah, Pak Man Bot, dan beberapa orang lama di pulau itu kelihatan masih tabah menahan kesedihan. Tidak seperti generasi pelapis yang hadir. Bukan semua tetapi ada di antaranya. Kelihatan sayu sahaja wajah Ain dan teman-temannya, Iman, Aliya dan Izzah. Iman yang agak cengeng sudah pun menitiskan air mata. Sedihnya bagaikan menghantar seorang kekasih hati. Padahal mereka hanya mengiringi perginya seorang anak rantau di pulau itu. Perantau yang sempat menabur budi. Tidak lama dia di situ. Hanya beberapa ketika. Tetapi hampir empat tahun juga dia menetap di pulau itu. Mulanya dia hadir untuk memenuhi jadual praktikalnya bagi sebuah firma penyelidikan sains swasta. Seisi praktikal bersama tiga rakannya itu berlangsung selama setahun. Kemudian dia mula jatuh hati kepada keindahan pulau itu. Lalu, Fairul akhirnya mengambil keputusan untuk menetap lebih lama di situ. Alasan yang diberi kepada majikannya adalah untuk mengkaji beberapa spesies tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan. Maka, pihak firma meluluskan permohonannya untuk berada di pulau itu selama dua tahun lagi.
Seperti hatinya diikat dengan pulau itu, Fairul Ikmal terus berada di pulau itu untuk dua tahun lagi. Sesekali sahaja dia pulang ke tanah semenanjung. Itupun sekadar melawat saudara-mara yang masih ada. Juga untuk beberapa urusan rasmi. Lebihan masanya memang banyak dihabiskan di pulau itu. Lagipun, Fairul bukan ada sesiapa. Cuma dia seorang yang masih tinggal di wilayah Malaysia Barat ini. Ayah dan ibunya sudah lama tiada. Dua orang adiknya juga sudah lama menetap di tempat lain. Seorang di United Kingdom, bekerja dan berkeluarga di sana. Seorang lagi di Sarawak, masih belajar di tahun akhir di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Di pulau itu, Fairul tinggal dengan keluarga Pak Lang Johar. Kebetulan sahaja Pak Lang Johar itu bapa saudara Nur Ain. Kebetulan juga, sewaktu Hari Raya Haji tahun pertama Fairul di pulau itu dia bersua dengan Nur Ain. Sejak detik itu hubungan mereka semakin hari semakin akrab. Perkenalan itu menyimpan makna tersendiri kepada Ain. Tetapi mungkin sukar untuk ditafsirkan oleh lelaki bernama Fairul Ikmal itu. Bagi Fairul, Ain hanya seperti adiknya sendiri. Lagipun, pada Ainlah Fairul melepaskan kerinduannya kepada adiknya yang belajar di UNIMAS.
Sebaik bot laju yang dinanti tiba, Fairul sedia berangkat pergi. Dia bersalam-salaman dengan Pak Lang Johar, Mak Su Midah dan Pak Man Bot yang sudah dianggapnya seperti keluarga sendiri. Suasana terasa begitu hening sekali. Entah mengapa hati Fairul terasa agak berat untuk meninggalkan pulau itu. Perginya ini bukan seperti yang dulu. Perginya ini membawa erti yang dia akan sukar untuk kembali lagi ke pulau itu. Fairul perlu memberi komitmennya di lokasi kerjanya yang baru di selatan tanah air. Tentulah sukar untuknya kembali lagi. Encik Azmil, ketuanya di firma Researching of Biologichal Science and Technology itu siang-siang lagi telah mengisyaratkan agar dia bekerja keras di tempat baru. Di sana dia akan bekerja bersama beberapa orang saintis dan ‘Research Assistant’.
Sebelum kakinya melangkah meninggalkan pulau itu, Ain sempat menghulur sesuatu kepada Fairul. Sebagai tanda kenangan, kata Ain. Ada riak sedih di wajah comel itu. Mampukah dia menahan kesedihannya berpisah dengan seorang pemuda bernama Fairul itu? Pemuda yang tanpa dipinta mula mengisi sebuah kamar yang istimewa di hati Ain. Biarpun hanya Ain yang tahu.
"Jaga diri baik-baik," pesan Fairul kepada Ain. "Jangan lupa kat abang tau..."
"Abang...., jangan lupa kirim surat ye?" ujar Ain pula. Ain ingin berkata-kata lagi tetapi keadaan seperti itu seakan mengeraskan lidahnya.
"Insya-Allah, doakan abang selalu. Ok, semua! Assalamualaikum!!!" Itulah lafaz terakhir Fairul Ikmal sebelum bot laju itu perlahan-lahan dikemudi meninggalkan pulau itu.
Tinggallah semuanya. Tinggal dengan kenangan yang diukir oleh pengukir-pengukirnya. Tinggal jua Nur Ain dengan rahsia hatinya.

09 Februari 2009

Si Tolol Dan Unta Yang Sedang Makan Rumput


Seorang Tolol memperhatikan seekor unta yang sedang makan rumput. Katanya kepada binatang itu, "Tampangmu jelek. Kenapa begitu?" (Tampang bermaksud paras rupa)
Unta yang sedang makan rumput menjawab, "Dalam menilai kesan yang timbul, kau mengaitkan kesalahan dengan hal yang mewujudkan bentuk.
Hati-hatilah terhadap hal itu! Jangan menganggap wajahku yang buruk sebagai suatu kesalahan.”
Kemudian unta itu menambah lagi, “Pergi engkau jauh dariku, ambil jalan lain. Tampangku mengandung erti tertentu, punya alasan tertentu. Busur panah pun memerlukan yang lurus dan yang bengkok, tempat pegangnya dan talinya."
Orang tolol itupun berlalu sambil merungut, "Pemahaman keldai sesuai dengan sifat keldai."

Catatan:
Salah satu pepatah-petitih lama berbunyi, "Pada cermin rosak dalam fikiranmu, bidadari akan tampak seperti wajah syaitan."
Kisah perumpamaan itu dipetik daripada ‘Taman Kebenaran yang Berpagar’, yang ditulis sekitar tahun 1130.
Sahabat; jangan menilai orang dengan paras rupa. Penciptaan Tuhan serba sempurna. Tiada langsung kekurangan.
Sahabat; adakalanya kita melihat sesuatu pada sudut pandangan yang negatif sahaja.
Tanpa memikirkan bahawa di sebalik sesuatu yang tampak jelek itu ada keunikan yang tidak akan tersurat dengan mudah.
Sesuatu yang manis itu mungkin membawa mudarat sedangkan yang pahit mungkin membawa manfaat.
Usah menilai keburukan tetapi ambillah kebaikan di sebalik sesuatu yang buruk itu. Jika dicela atau dicaci, bersabarlah, kerana di sebalik kesabaran menghadapi cacian itu, ada limpahan kebaikan yang tidak terbatas.
Allahu Akbar!!! Allahu Akbar!!! Allahu Akbar!!!

02 Februari 2009

Jawapan Sebuah Persimpangan (Episod 02)


Nur Ain asyik merenung jauh ke arah laut di hadapannya. Seperti biasa jika ada kelapangan waktu di sinilah tempatnya mencari ketenangan. Dia akan duduk di salah satu bongkah batu besar di persisir pantai ini. Bongkah batu yang bentuknya agak menarik ini paling digemarinya. Bongkahnya agak bundar dengan hujungnya membentuk tebing yang agak tajam. Menariknya dari jauh jika dipandang pada satu sudut tertentu, bongkah batuan ini persis berbentuk hati. Simbolik bukan? Menunjukkan kepadanya betapa hebat ciptaan Tuhan. Di situ ada tanda keagungan yang tiada tandingan. Bagaimanalah agaknya pukulan ombak saban detik telah menghakis batuan keras ini sehingga terhasil bentuk yang simbolik itu. Mungkin mudah untuk menjawab soalan seperti itu bagi seorang yang berjiwa sastera seperti Ain. Jawapan Ain pasti penuh dengan kata-kata puitis yang memberi tafsiran tersendiri. Di noktahnya Ain pastikan, segalanya akan kembali jua kepada Yang Maha Pencipta.
Lokasi peristirehatan Ain ini memang menarik. Paling mengasyikkan saat dirinya disapa angin laut yang cukup nyaman. Angin yang membawa bersama wap laut yang menyegarkan. Terutamanya pada masa petang begini. Jika Iman tidak menemaninya, Ain akan hadir ke situ seorang diri. Dia rasa dia tidak perlu sangat teman untuk ke situ. Tiada apa yang perlu ditakuti. Ain memang berani. Di antara Ain dan teman-teman akrabnya yang lain, Ain yang paling berani. Jika masuk ke hutan untuk ke sebuah air terjun di pulau ini, Ain yang akan menjadi ketua. Selalunya Ain, Iman, Izzah dan Aliya ke situ semasa musim cuti. Seingat Ain sudah agak lama juga mereka tidak ke situ. Masa petangnya yang terluang lebih kerap Ain isi dengan mengunjungi bongkah batu di persisir pantai ini.
Di bongkah batu besar ini Ain mencari ilham di samping menenangkan fikirannya. Ya, untuk setenang yang boleh. Setelah seharian bekerja di kafetaria pak ciknya. Jika petangnya Ain tidak sibuk, Ain pasti akan ke tempat itu. Terlalu strategik tempat itu untuk gadis sepertinya. Selalunya dia akan bertemankan sebatang pena yang riang menari menurut langkah ilhamnya dan sebuah buku catatan kecil berurna biru. Sebiru warna laut. Warna kegemaran Ain. Signifikannya warna biru dengan gadis selembut Ain. Dengan pena itu Ain akan menghasilkan puisi-puisi yang merungkai pelbagai tema. Tentang alam, tentang kehidupan, tentang kasih sayang, tentang kenangan dan apa sahaja yang terlintas di fikirannya ketika itu.
Inspirasinya lautan yang terbentang luas di hadapannya. Tiada pemisahnya lautan itu. Kecuali horizon yang berada di hujung pandangannya. Membentuk fokus di retinanya sebagai bayangan yang membahagikan langit dan lautan. Kedua-duanya masih sayup-sayup biru untuk dilihat. Cuma kontranya pada kepekatan atau kepudaran warna yang terlihat dek mata.
Kadang-kadang, Ain dihiburkan dengan bunyi-bunyian alam. Ombak yang memukul batu-batuan di situ. Arus yang garang dek tiupan angin. Semilir bayu yang menyapa halwa telinga. Tidak kurang dengan telatah anak-anak ketam yang bermain kejar-kejar di celah-celah batu. Juga asyik dengan camar laut dan rajawali yang mencari rezeki di hujung petang. Semua itu boleh sahaja menjadi sumber inspirasi Ain. Benar, jika di situ, Ain pasti tidak merasakan dirinya keseorangan. Alam ciptaan Tuhan yang kaya khazanah itu tetap menjadi temannya yang setia. Teman yang tidak akan ke mana-mana. Tidak seperti Fairul Ikmal.
Tiba-tiba rona mata Ain berkaca. Air yang bergenang itu tumpah jua. Mengalir dari kelopak matanya yang cantik itu. Air mata itu mencari pelbagai alasan untuk Ain. Hati kudusnya mula diratap pilu. Bukan pilu pada sesuatu yang hilang tetapi pilu pada sebuah pemergian. Ain mencapai pena yang ada di sisinya. Lalu di atas bongkah batu ini Ain melepaskan kerinduannya. Bukan dengan lafaz rindu tetapi dengan lakaran yang berbentuk tulisan. Rindu pada seseorang yang jauh. Rindu pada Fairul Ikmal.

Andai kau tahu
tika tabir malam menutupi cerahnya siang
ada insan yang kamar hatinya suram
disuluhi hanya cahaya Iman
yang cebisnya dirungkai
pada ingatan silam
Andai kau tahu
jika tabir malam mengutus mimpi
ada insan yang mendamba hadirmu
diterangi bintang-bintang
dihiasi neon bernama rembulan
yang sinarnya hanya pinjaman
sirna tika hari merangkak siang
Andai kau tahu
saat bicaraku kehabisan kata
kututur namamu
kubayangkan ukir senyummu
betul-betul di layar mimpiku
Andai kau tahu
saat hatiku menolak kesal
redha menemani pasrahku
menyusuri tepian pantai sanubari
di balik awan kasih abadi.
Nukilan;
Nur Ain @ Durratun Nisa
Julai 1999
-Pulau Penyinar-