Halaman

28 Jun 2010

Tanpa Tajuk

Semalam terasa amat panjang...
bila mimpi-mimpi berjatuhan,
berserakan di taman rekaan,
sedar diri ini hamba Tuhan...
hidup meniti haluan,
tertanya-tanya pada perasaan,
tentang insan bernama teman,
seketika atau berpanjangan...
kata-kata menjadi serpihan,
gugur bagai daunan...
helaian demi helaian,
andai tiada kemaafan...
terasa memikul beban,
terselindung di balik bayangan...
penantian suatu penyeksaan.

27 Jun 2010

Hati Ini Tersentuh

Hardiliyana,
bunga mekar semakin indah,
bening mata seredup wajah,
bingkis senyum menambah resah,
bundar hati di dalam walah,
tunduk kala pipi memerah....

Hardiliyana,
kasih hadir tanpa dipaksa,
bina mimpi di alam nyata,
dalam kesepian sukma,
menguntumlah cintanya,
memaraklah bahagia...

Hardiliyana,
sebuah catatan hayat,
rebah di pangkuan sahabat,
merajuk pudar hasrat,
dan nyatalah terlihat,
hati ini tersentuh hebat.

Lenyap Dalam Penantian

Bermula semula satu permulaan
demi sebuah kemuliaan
bertemankan ketenangan
berpaksikan rasa kehambaan
atas dasar keimanan...
teguhkanlah perjuangan.

Di bawah lembayung cinta
berdua bersatu bersama
menyentuh sebibit rasa
bukan gurauan senda
bukan permainan kata
bukan pula sentuhan biasa.

Pemergian satu kepastian
walau tahu tanpa alasan
terhempas di lantai impian
berharap teguh pada Tuhan
itulah menjadi sandaran
kala akhir kesudahan
lenyap dalam penantian.

Amal yang Tetap Bermakna

Assalamu'alaikum.....

Alhamdulillah ya Karim ya Majid ya Sattar ya ‘Azizul Gahffar... Wassolatu wassalamu ‘ala asyrafil anbiya’i walmursalin wa ‘ala ali Muhammadi wasohbihi ajma’in.

Salam pertemuan untuk saudara-saudaraku yang dimuliakan ALLAH dengan nur Iman dan nur Islam..

Saudara-saudaraku;

Dalam kehidupan dunia yang sangat singkat dan terbatas waktunya ini, kita telah dituntut untuk beribadah kepada ALLAH sebagaimana firman ALLAH yanng bermaksud:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku (beribadah kepada-Ku).” (az-Zaariyat, 51:56)

Namun demikian, sering terjadi dalam beramal ibadah kita tidak menepati syarat kesempurnaan ibadah tersebut. Adakala kita kurang ikhlas, dan adakala juga kita tidak menempatkan ihsan dalam ibadah kita. Justeru, apakah hakikat ibadah kita? Adakah sekadar melepaskan batuk di tangga? Atau sekadar melepaskan tanggungjawab tanpa memikirkan natijah baik buruknya ibadah kita itu?

Sesungguhnya janganlah ada antara kita tertipu dengan hakikat setiap ibadah kita. Tanpa ikhlas dan ihsan, bagaimanakah ingin dikatakan ibadah kita itu sempurna? Dan amal itu tetapkah ‘kan bermakna?

Saudara-saudaraku yang dikasihi;

Jika kita termasuk di kalangan orang-orang yang ibadahnya ala-kadar dan bergantung masa, BERHATI-HATILAH kerana boleh jadi perbuatan tersebut merupakan tanda-tanda keikhlasannya belum sempurna. Kerana aktiviti ibadah yang dilakukan secara ala-kadar tiada lain, ukurannya adalah urusan duniawi. Ibadah hanya akan dilakukan kalau sedang perlu, sedang dilanda musibah, atau sedang disempitkan oleh ujian dan kesusahan. Tidak demikian halnya ketika pertolongan ALLAH datang, kemudahan menghampiri, kesenangan berdatangan, maka, kemampuannya bersenang-senang dalam ibadah kepada ALLAH malah menyirna.

Saudara-saudaraku; hayati seketika misalan di bawah ini.

Bagi mereka yang amalnya bergantung situasi, ketika menjelang peperiksaan contohnya; tiba-tiba saja ibadahnya jadi meningkat, solat wajib tepat waktu, tahajjud nampak khusyu’, tetapi anehnya ketika sudah meraih kejayaan dalam peperiksaan itu, jangankan tahajjud, solat subuh pun terlambat. Ini satu perbuatan yang memalukan. Sudah diberi kesenangan, malah sudah berani melalaikan perintah-Nya. Harusnya sesudah meraih kejayaan mereka berusaha lebih gigih lagi dalam ber-taqarrub kepada ALLAH sebagai bentuk ungkapan rasa syukur.

Sebagai tambahan lihat pula contoh berikut ini; ketika berwudhu’, misalnya, ternyata di samping ada seorang alim yang cukup terkenal dan disegani, wudhu’ kita pun secara sedar atau tidak tiba-tiba dibagus-baguskan. Lain pula ketika tidak ada sesiapa pun yang melihat, wudhu’ kitapun kembali dilakukan dengan seadanya dan lebih dipercepat.

Atau ketika menjadi imam solat, bacaan Quran kita kadangkala digetar-getarkan atau disedih-sedihkan agar orang lain ikut sedih. Tetapi sebaliknya ketika solat sendirian, solat kita menjadi secepat kilat, padat, dan cepat. Kalau solat sendirian dia begitu gelabah dan melakukannya dalam keadaan yang terdesak (terpaksa), tetapi kalau ada orang lain jadi kelihatan lebih bagus.

Saudara-saudaraku;

Hati-hatilah boleh jadi ada sesuatu di sebalik ketidak-ikhlasan ibadah-ibadah kita ini. Makanya kalau melihat amal-amal yang kita lakukan semakin melemah kualiti dan kuantitinya ketika diberi kesenangan, maka itulah tanda bahawa kita kurang ikhlas dalam beramal.

Saudara-saudaraku yang beriman;

Hal ini berbeza dengan hamba-hamba ALLAH yang telah menggapai maqam ikhlas, maqam di mana seorang hamba mampu beribadah secara istiqamah dan terus-menerus berkesinambungan. Ketika diberi kesusahan, dia akan segera sahaja bersimpuh sujud merindukan pertolongan ALLAH. Sedangkan ketika diberi kelapangan dan kesenangan yang lebih lagi, justeru dia semakin bersimpuh dan bersyukur lagi atas nikmat-Nya itu.

Orang-orang yang ikhlas ialah orang yang kualiti beramalnya dalam kondisi ada atau tidak ada orang yang memperhatikannya adalah sama saja. Berbeza dengan orang yang kurang ikhlas, ibadahnya justeru akan dilakukan lebih bagus ketika ada orang lain memperhatikannya, apalagi bila orang tersebut dihormati dan disegani.

Sungguh suatu keberuntungan yang sangat besar bagi orang-orang yang ikhlas ini. Betapa tidak? Orang-orang yang ikhlas akan senantiasa dianugerahi pahala, bahkan bagi orang-orang ikhlas, amal-amal mubah pun pahalanya akan berubah jadi pahala amalan sunat atau wajib. Hal ini akibat niatnya yang bagus.

Maka, bagi orang-orang yang ikhlas, dia tidak akan melakukan sesuatu kecuali ia pastikan niatnya lurus kepada ALLAH sahaja. Kalau hendak duduk di kerusi diucapkannya, “Bismilahirrahmanirrahiim, ya ALLAH semoga aktiviti duduk ini menjadi amal kebaikan". Lisannya yang suci senantiasa memuji ALLAH atas nikmatnya berupa kurnia boleh duduk sehingga ia dapat beristirehat menghilangkan kepenatan. Jadilah aktiviti duduk ini wasilah taqarrub kepada ALLAH.

Kerana banyak pula orang yang melakukan aktiviti duduk, namun tidak mendapatkan pertambahan nilai apapun, selain menaruh punggung di kerusi. Tidak usah hairan bila suatu saat ALLAH memberi peringatan dengan sakit buasir atau bisul, sekadar kenang-kenangan (peringatan) bahawa aktiviti duduk adalah anugerah nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita.

Begitupun ketika makan, sempurnakan niat dalam hati, sebab sudah seharusnya di lubuk hati yang paling dalam kita meyakini bahawa ALLAH-lah yang memberi makan kepada kita setiap hari, tiada satu hari pun yang luput dari limpahan curahan nikmatnya.

Saudara-saudaraku yang disayangi ALLAH;

Kalau membeli sesuatu, perhitungkan juga bahawa apa yang dibeli itu diniatkan kerana ALLAH. Hatta membeli sesuatu barang yang sangat kecil nilainya. Misalnya sebatang pena atau qalam. Begitu juga jika membe;li sesuatu yang tinggi nilainya dan sangat diperlukan seperti membeli kenderaan berupa kereta, motor dan sebagainya.

Ketika membeli kenderaan, niatkan kerana ALLAH. Kerana menurut Rasulullah s.a.w., kenderaan itu ada tiga jenis, 1) Kenderaan untuk ALLAH, 2) Kenderaan untuk syaitan, 3) Kenderaan untuk dirinya sendiri.

Apakah ciri-cirinya? Kalau niatnya benar, dipakai untuk maslahat ibadah, maslahat agama, maka inilah kenderaan untuk ALLAH. Tetapi kalau sekadar untuk mempamer, riya’, ujub, maka inilah kenderaan untuk syaitan. Sedangkan kenderaan untuk dirinya sendiri, misal kata kereta dibeli, dijaga dan dipakai tanpa niat, maka inilah kendaran untuk diri sendiri.

Pastikan bahawa jikalau kita membeli kenderaan, niat kita tiada lain hanyalah kerana ALLAH. Kerananya bermohon sahaja kepada ALLAH, "Ya ALLAH, aku memerlukan kenderaan yang sekadarnya, yang boleh meringankan untuk menuntut ilmu, yang boleh meringankan untuk berbuat amal, yang boleh meringankan dalam menjaga amanah". Subhanallah! Bagi orang yang telah meniatkan seperti ini, maka, petrolnya, tempat duduknya, shockbreaker-nya, dan segalanya yang ada pada kenderaan itu ada dalam timbangan kebaikan, insya ALLAH. Sebaliknya jika digunakan untuk maksiat, maka kita juga yang akan menanggung akibat buruknya.

Kedahsyatan lain daripada seorang hamba yang ikhlas adalah akan memperoleh pahala amal, walaupun sebenarnya belum menyempurnakan amalnya, bahkan belum mengamalkanya. Inilah istimewanya amalan orang yang ikhlas. Suatu saat hati sudah meniatkan mahu bangun malam untuk tahajjud, "Ya ALLAH, aku ingin tahajjud, bangunkan aku jam 3. 30, ya ALLAH". Waker (alarm) pun diputar, teman diberitahu, "Man, kalau engkau bangun dulu, bangunkan aku juga ye. Jam 3.30 kita akan tahajjud bersama.” Lantas kemudian sebelum terlena sempat berdoa; “Ya ALLAH, aku ingin dapat bersujud kepada-Mu di waktu termakbulnya doa". Dan tidurlah ia dengan tekad bulat akan bangun tahajjud.

Sayangnya, ketika terbangun ternyata sudah azan Subuh. Bagi hamba yang ikhlas, justeru dia akan gembira bercampur sedih. Sedih kerana tidak berkesempatan untuk solat tahajjud dan gembira kerana ia masih mendapat pahalanya. Bagi orang yang sudah berniat untuk tahajjud dan tidak dibangunkan oleh ALLAH, maka kalau ia sudah bertekad, ALLAH pasti akan memberikan pahalanya. Hakikatnya ALLAH Maha Tahu, hari-hari yang kita lalui telah menggunakan banyak tenaga. ALLAH Maha Tahu apa yang akan terjadi, ALLAH juga Maha Tahu bahawa kita mungkin telah defisit tenaga kerana kesibukan kita terlalu banyak. Hanya ALLAH-lah yang menidurkan kita dengan nyenyak.

Sungguh apapun amal yang dilakukan seorang hamba yang ikhlas akan tetap bermakna, akan tetap bernilai, dan akan tetap mendapatkan balasan pahala yang setimpal. Subhanallah. ***

Wallahu a’alam......



“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan ALLAH dan kerana meneguhkan (iman) dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan gerimis pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), ALLAH sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.” (al-Baqarah, 2:265)

23 Jun 2010

Tuhan itu 'kan Maha Tahu...

Fikiran saya menerawang jauh ketika sedang memandu. Namun, tidak sama sekali mengganggu tumpuan pemanduan. Biasalah, walau fikiran di awangan jangan dilupakan bahawa diri sedang memandu. Fokus tetap fokus tetapi tak salah melakukan 2 hal dalam satu masa. Mungkin ada yang tak setuju. Tak mengapalah, masing-masing boleh berpegang pada pendapat sendiri. Hidup ini 'kan bebas. Pilihan apa pun yang kita buat bergantung kepada penilaian kita juga. Apa yang pasti berani buat beranilah tangggung.

Sebentar tadi saya kembali mengingati apa yang saya fikirkan sepanjang pemanduan. Saya terfikir betapa Tuhan telah banyak membantu saya selama ini. Terutamanya menyelamatkan saya dalam banyak keadaan genting.

Saya mula membayangkan jika Tuhan tidak mebantu saya tentu semakin bertambah hal yang malang dalam kehidupan saya. Tentunya saya akan kehilangan sesuatu yang dipinjamkan Tuhan. Namun, Tuhan dengan kasih sayangNYA yang abadi telah menghendaki saya selamat dalam banyak peristiwa. Syukur alhamdulillah.

Saya anggap pertolongan Tuhan itu adalah kerana rahmatNYA, bukan kerana saya hamba yang istimewa. Malah saya sedar siapalah saya di sisi Tuhan yang Maha Mulia... sedangkan saya ini banyak sangat buruknya. Ada hadis yang menyatakan Tuhan mengabulkan semua permohonan hambaNYA. Tetapi dalam bentuk yang berbeza. Tuhan menjawab doa kita dengan kehendakNYA berdasarkan apa yang kita patut dapat bukan atas dasar apa yang kita mahu dapat.

Demikianlah saya rasakan apabila Tuhan banyak menyelamatkan saya daripada kecelakaan atau hal-hal yang buruk. Mungkin perlindungan itu adalah jawapan kepada doa-doa saya selama ini. Walaupun itu bukanlah seperti apa yang saya pohonkan dalam doa-doa saya. Saya tetap bersyukur.

Pernah semasa menunggang motosikal untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat saya hampir terjatuh di selekoh yang tajam. Tetapi entah bagaimana saya terasa seperti ada tangan yang menghalang saya jatuh. Padahal keadaan saya ketika itu benar-benar sudah hilang keseimbangan. Dalam erti kata lain, kemalangan adalah wajar dan sangat logik.
Bukan sekali saya mengalami saat genting seperti itu. Pernah juga saya hampir berlanggar ketika memandu, tetapi seperti ada suatu kuasa yang menahan kenderaan saya. Ini benar-benar terjadi. Ketika itu aliran darah sudah seakan berhenti. Namun, Tuhan menjawab doa saya dengan cara yang saya tak menjangka. Terima kasih, Tuhan....

Selain kemalangan saya juga pernah diselamatkan ketika saya hampir sesat di sebuah negeri yang pertama saya kali saya kunjungi. Sebuah negeri di pantai timur semenanjung Malaysia. Pada waktu itu saya ingin pulang ke tapak program setelah menghantar sahabat saya di stesen bas kerana dia perlu pulang ke rumahnya. Saya pulang selepas berbuka kerana waktu itu bulan Ramadhan. Di dalam bas saya mula gusar kerana saya tidak tahu hendak turun di mana. Ditambah lagi ketika itu malam sangat gelap. Tempat yang saya akan tuju pula adalah tempat yang sangat asing bagi saya. Ketika turun di suatu perhentian bas baru saya perasan yang saya turun di tempat yang salah. Malangnya kesedaran itu muncul setelah bas berlalu. Mana mungkin saya mengejar bas yang sudah jauh dalam kepekatan malam di tempat yang saya tak mahir langsung selok-beloknya. Saya tekadkan saja hati menurut langkah kaki menuju laluan yang gelap itu. Dalam hati tak henti-henti berdoa agar saya ditunjukkan jalan.

Hampir 30 minit saya menyusuri pelbagai laluan. Dari pinggir jalan, melalui denai dan lorong sampailah saya akhirnya tiba ke tapak program. Alhamdulillah.. Mungkin ada yang bertanya, kenapa tak guna telefon untuk memohon pertolongan dari sahabat-sahabat di tapak program? Jawapannya mudah, saya lebih percayakan Tuhan saya daripada manusia. Lagipun, mana mungkin saya mengganggu sahabat-sahabat yang sedang mengendalikan satu program penting dengan masalah kecil saya itu. Ternyata pergantungan saya kepada Allah memang berhasil. Lucu juga bila mengenangkan saat saya sampai di tapak program dengan keringat menyimbah-nyimbah, ada di kalangan sahabat yang pelik seolah-olah saya menempuh perjalanan yang jauh. Sedangkan perhentian bas terdekat tidak sampai 500 meter dari tapak program. Tak tahulah berapa kilometer saya sudah menghayun langkah. Apa yang saya tahu, saya sangat penat. Tanda kesyukuran, saya masih sempat menunaikan Isya' dan tarawikh 20 rakaat... syukurlah dalam kepenatan masih ada kekuatan. Semuanya itu daripada Tuhan.

Demikianlah, saya menggambarkan apa yang saya lalui dalam kehidupan saya. Hanya sedikit sajalah, maklum saja sekadar itu saja yang dapat saya bayangkan di layar memori sepanjang pemanduan yang tersekat-sekat akibat kesesakan lalulintas.

Sesungguhnya Tuhan sentiasa menerima doa hamba-hambaNYA yang ikhlas dalam berdoa. Walaupun jawapan doa itu adalah dalam bentuk yang berbeza. Tetapi Tuhan telah berfirman; sesuatu yang kamu pandang baik itu mungkin sebenarnya tidak baik untuk kamu sedangkan sesuatu yang kamu pandang tidak baik itu sebenarnya baik untuk kamu. Tuhan Maha Mengetahui dan kamu tidak tahu.

Sampai jumpa...

22 Jun 2010

Aku tak sendiri

Meniti hasrat di gurun masa,
bahangnya kian terasa,
semalaman dikurung dahaga,
tertipu oleh fatamorgana dunia,
ke mana akan dibawa,
beban berat yang bertimpa-timpa,
di bahu di batu jemala,
seakan ingin dilempar sahaja,
namun,
kesabaran menenangkan hawa..
percaya semua sementara.
Menoleh ke belakang,
bagai dikejar bayang,
tak sedar hasrat di jurang,
menanti masa yang panjang,
semakin langkah terhalang...
bukan rahsia terpandang,
tetapi jiwa yang malang.
Semakin sedar siapa diri,
bukan mudah bila diadili,
akal dan iman sama berfungsi,
jika tidak matilah hati,
hasrat pun merajuk sepi,
betah menahan diuji,
cintakan Ilahi...
aku tak sendiri.

Wahai Gadis

Wahai gadis,
bukalah hatimu kepada cahaya cinta,
hulur tanganmu menyambut
salam ukhuwah,
helalah nafasmu menghirup udara taqwa,
pejam matamu dan mimpikan yang indah-indah,
kerana bila abadi itu bukan milikmu,
lalu kau mengerti apa maksudku..
menerima apa adanya adalah awalnya persangkaan baikmu,
damai tiba duka berlalu...
nukilan nurani:
'Haikal Nawwarah'
16 Julai 2009
-Johor Bahru-

Sayembaraku Merpati Putih

Wahai merpati putih
ke mana kau membawa diri
sudah seantero dunia kau jelajahi
mengutip rindu membina memori
sudah puas menabur budi
memecah tradisi abdi...
kini di dahan itu kau singgahi
lelahkah kau kini?

Wahai merpatih putih
nuansa mesra kau lagukan
mengusik hati dan perasaan
mendamaikan jiwa insan
yang penuh kekalutan
reda dalam ketenangan
sirna segala kerisauan
iramakanlah pengharapan...

Wahai merpati putih
kembaramu belum terhenti
sebarkanlah cinta di hati
pada setiap jiwa nurani
tak 'kan pernah kulupai
kerana kau pasti kembali
bersamamu melunas janji...

20 Jun 2010

Terkenang Suatu Masa Dulu... Kalian Pernah..

You And I See


When your world falls apart

When your pain claims your heart

I'll be there, I'll be around

And I will never let you down



Leave that pain, don't give up

You will fly up high again

Count on me, we are together

We'll make it through this stormy weather



C/o:

No matter what they say

No matter what they do

No matter what they think of you

You have got me and my heart too



No matter what they see

No matter what they feel

As long as you have got me

As long as You And I See...



Take my hand and take my heart

We can never be apart, now and forever

I won't look back, we'll stay together

Trust in me and we'll fly, don't surrender!



Don't lose hope when you are in need

Have faith in Allah, have faith in Him

So please be tough and please be strong

With all His love you can't go wrong



Lagu: Abai Os.

Lirik: Syalina Ahmad & Abai Os.

Hijjaz Records Sdn. Bhd.

18 Jun 2010

Jika Semalam Aku Hilang

Salamun 'alaik...

Semalam aku hilang seketika dari landasan kebenaran. Aku terpesona pada keindahan yang palsu. Aku tertarik pada kesempurnaan yang direka-reka. Ternyata aku dihimpit dengan pelbagai tipudaya menduga. Lalu aku jadi lemah tanpa pegangan yang jitu. Aku mula resah dan gelisah. Ketenangan hilang dan menjauh dari sisiku. Aku tersinggung dengan kata-kataku sendiri. Aku lemah dengan tindakanku sendiri. Aku jadi payah untuk memulakan lagi langkah ke landasan kebenaran yang dulu pernah aku lalui penuh kedamaian. Kedamaian yang pastinya bukan percuma dan bukan direka-reka.

Semalam aku hilang seketika dari alam yang pasti. Aku terpedaya dengan janji-janji kosong penghuni neraka. Aku terkeliru dengan tuntutan nafsu yang suka menipu. Ternyata aku jatuh tersembam lalu pengsan dari alam nyata. Aku melalui fasa luar sedar ke alam yang aku sendiri takut untuk melaluinya. Aku jadi bodoh dan bungkam tindakan. Aku rebah dengan kealpaanku sendiri. Perlahan-lahan aku cuba untuk bangun kembali. Aku sendiri tidak pasti sama ada aku akan mampu kembali berdiri seperti dulu atau akan ada kecacatan kekal yang akan menemaniku.

Semalam aku hilang seketika dari persekitaran yang murni. Aku terbang jauh ke jurang ngeri yang penuh noda dan dosa. Namun, huluran tangan Tuhan menarikku ke tebing jurang ngeri itu. Lalu aku teguhkan langkah menjauh pergi dan membawa diri. Aku bertekad tidak akan kembali lagi ke jurang itu. Walau aku punya sayap untuk terbang segera ke arahnya, aku tetap tidak mahu. Aku punya pilihan yang diberi Tuhan. Seharusnya aku tetap yakin bahawa nasibku adalah di tanganNYA, sedangkan perjalanan menemui nasib itu adalah pilihanku sendiri.

Aku tidak boleh hilang lagi. Tidak boleh sesekalipun hilang lagi. Aku perlu wujud sebagai hamba yang diredhai. Bukan hilang menjadi hamba yang dimurkai. Aku sedar bahawa kehilanganku yang semalam itu adalah galur kehidupan yang hadir seketika saja. Aku tidak boleh terus leka dengan kehilangan. Aku perlu berusaha untuk mewujudkan ketenangan dalam diriku ini.

JIKA SEMALAM AKU HILANG... HARI INI AKU KEMBALI DENGAN HATI YANG SUCI... Ameen...!

17 Jun 2010

Umami Kehidupan

Suatu waktu dahulu,
derai tawa mengiringi
menghiasi kehidupan
menampilkan kebahagiaan..
sudah kujangka
hanya rekaan..
dalam gambaran insan
bukan sebuah kenyataan
mimpi dan harapan.

Di sebalik umami kehidupan,
kufahami erti persahabatan
susah senang
suka duka
mungkinkah bersama...
atau nanti dugaan melanda
kita di laluan berbeza.

Suatu waktu dahulu,
hadir perasaan,
tergambar dalam tindakan
mengutarakan jejak kerinduan,
bila senja kunjung hadir
terdiamlah hati..
tiada riak bicara
hanya bisu saja.

Di sebalik umami kehidupan,
hujungnya terbatas..
lalu di ruang sempadan,
antara dua dunia...
terpisah dua jiwa,
dengan kehendak-NYA...
diam dalam pasrah...
sunyi dalam redha...