Halaman

30 Oktober 2009

Kerana Kita Punya Pilihan

"Assalamu'alaikum, cik Annur Amira," ucapan pertama Haikal saat semakin menghampiri Amira yang sedang duduk menghadap horizon langit dan laut yang luas terbentang di depan mata.


"Wa'alaikumsalam... eh? Abang Haikal! Camne abang boleh ada kat sini?" balas Amira yang kelihatan agak terkejut dengan kemunculan tanpa diduga insan yang cukup dikenalinya itu.


"Kebetulan kot. Hehehe.... Erm... abang baru balik dari hospital ni. Tengah drive terperasan pulak dengan gadis yang tengah dok kat bangku ni. Macam kenal. Tu yang park kereta kat sana tu," jelas Haikal sambil tangannya mengarah ke sebuah kereta berwarna putih di sebelah gerai menjual makanan ringan.


"Ada apa pergi hospital?" soal Amira.


"Ziarah kawan abang..."


"Kawan abang tu sakit ke?"


"Hmm... tak lah, dia sihat... Hai... Mira ni mestilah dia sakit. Lau tak watpe dia duduk kat hospital tu," jawab Haikal sambil mengerutkan dahinya.


"Eleh... mana tahu, kawan abang tu kerja kat sana..." balas Amira mula membuat muka.


"Hm... mulalah tu nak wat hobi biasa dia... Kesian abang tengok kawan abang tu, Mira."


Amira mendongakkan kepala. Tak jadi nak merajuk.


"Kenapa, bang? Teruk ke sakit dia?"


"Barah hati tahap empat... Dah tak bermaya pun. Dah lama dia sakit, tapi baru semalam abang tahu..." suara keluhan halus mengakhiri bicara Haikal kali ini.


"Abang..." ujar Amira.


"Ye, cik Amira..."


"Kenapa Tuhan beri manusia ni penyakit yang teruk-teruk? Bukan ke Tuhan tu Maha Pengasih dan Maha Penyayang? Dia tak kesian ke dengan kawan abang tu?"


"Sebab sayang lah Tuhan beri dia penyakit. Kita kena selalu berbaik sangka dengan Tuhan. Husnul-zhon. Tuhan tak akan menganiayai hamba-hambaNya. Bukan bererti Tuhan tak sayang bila Dia beri kita penyakit yang teruk-teruk. Semua tu 'kan ujian dari Tuhan terhadap hamba-hambaNya. Mungkin penyakit yang Tuhan beri tu untuk melihat sejauh mana kita ikhlas dalam beriman kepada Tuhan. Atau mungkin juga ia merupakan kifarah atas dosa-dosa kita selama hidup di dunia ini."


"Kawan abang tu banyak dosa ea?" pintas Amira.


"Ish! Mira ni, ke situ pulak dia. Bukan dengan Tuhan saja kita kena berbaik sangka tau. Dengan sesama manusia pun kita kena selalu berbaik sangka. Tak boleh kita bersangka buruk terhadap saudara kita. Sebarang keburukan yang kita dengar tentang saudara kita mesti kita selidiki dulu kebenarannya. Kalau betulpun, kita wajib menegur dan memberi nasihat yang baik kepada saudara kita tu. Bukan menambah-nambah lagi fitnah ke atas dirinya. Aib saudara kita wajib ditutup, apatah lagi aib sendiri."


"Oh, macam tu ke.... Kalau kita sentiasa berbaik sangka terhadap Tuhan maknanya kita tak de pilihanlah hidup di dunia ni. Sebab Tuhan dah tentukan nasib kita sejak sebelum kita dicipta lagi. Camne tu, abang?"


"Sebagai hamba Allah, kita diberi akal. Akal tu satu kurniaan Allah yang sangat hebat kepada kita. Dengan akal kita dapat membuat pertimbangan dalam membuat pilihan. Kita kena yakin apa yang termaktub di dalam al-Quran, malahan ternyata dalam kitab-kitab sebelumnya bahawa balasan baik atau buruk itu memang wujud. Jika di dunia ini, intan dan kaca dijadikan perbandingan baik dan buruk, maka begitulah jua halnya dengan syurga dan neraka di akhirat kelak. Jika di dunia, kita memilih untuk terus melakukan kejahatan dan berada dalam lingkungan maksiat, kita harus sedar di mana kedudukan kita di akhirat nanti, dan kita tak perlu menyesal kerana kita sendiri telah memilihnya. Jika kita memilih untuk melakukan kebaikan, kita juga patut tahu di mana tempat kita akan ditempatkan. Ambillah iktibar dari apa yang telah menimpa umat-umat terdahulu yang telah mengingkari perintah Tuhan. Segala-galanya bukan gurauan atau mitos. Ia pernah terjadi dan bakal berulang kalau kita masih leka dan lalai. Kita harus perbaiki diri dan kembali ke jalan Allah subhanahu wata'ala.
Jalan kehidupan kita ni, Mira, kita yang berhak memilihnya. Namun, semuanya akan kembali pada Tuhan. Dengan sebab tu ilmu, keluarga, sahabat-handai, persekitaran yang baik dan kekuatan akhlaklah yang menjadi pendorong dalam kita memilih jalan hidup yang bagaimana bakal kita lalui. Sebab apa jua yang kita lakukan di sini, pasti dan pasti akan mendapat balasan bila di sana nanti.
Ingat Mira, sentiasa berbaik sangka kepada Tuhan, bertawakkal, dan sentiasa bersedia untuk membuat pilihan kerana kita punya pilihan."
"Syukran, abang..."

05 Oktober 2009

K3T3NTU4N

Kita ini hamba Tuhan,
bertingkahlah selayaknya seorang hamba,
bukanlah hamba dunia,
bukan juga hamba manusia,
bukannya hamba harta,
bukan hamba nafsu yang hina,
apatah lagi..
bukan hamba iblis durjana.
Kita ini hamba-Nya,
sejauh manapun kita daripada-Nya,
Dia tetap bersama kita,
memenuhi keperluan kita,
tanpa ragu tanpa dipinta.
Tidakkah diri ini
terasa hakikat kehambaan,
saat perlu tunduk
pada takdir iradah Tuhan,
di saat K3T3NTU4N
mendahului K3M4HU4N?

04 Oktober 2009

Maknanya

Ada maknanya,
di sebalik orak gaya..
di setiap luah bicara..
di seraut tatapan mata.
Ada maknanya,
jika jujur jadi galurnya..
jika setia jadi harumnya..
jika cinta jadi puncanya.
Ada maknanya,
pada segenap tautan rasa..
pada seluas lautan jiwa..
pada cinta segala cinta.
Maknanya..
mungkin tiada maknanya,
tanpa menemui maknanya,
yang tersirat di dalam maknanya.
Dirimu..
Dirinya..
Diriku..
amat bermakna.

03 Oktober 2009

Salam 'Aidilfitri

Memaafkan itu pilihan,
bagi insan yang mengharap keredhaan,
bagi hati yang cinta kedamaian,
bagi jiwa yang ada ketaqwaan.
Memaafkan itu perlu kekuatan,
peneguh ikatan persaudaraan,
penawar racun permusuhan,
penebus dosa dan kesalahan.
Memaafkan bukan mudah,
adakala di hati tak sama yang diluah,
bagai air..
riak di atas tak sama badai di bawah,
namun,
memaafkan bagai haruman iman,
yang tak pudar dek masa tak busuk dek zaman.
Memaafkan..
di situ ada kemanisan.
Salam 'Aidilfitri

02 Oktober 2009

Kasih Noumi

Tinta kasih Noumi,
melakar kalam nurani,
bermadah penuh erti,
mengisi hati nan sepi,
adakalanya disalaherti.
Makanya..
di sisi Tuhan mengadulah diri,
pinta dituntun hati,
suluhan harapan suci,
kala kelam terang kembali.
Kisah kasih Noumi,
awalnya budi hujungnya bererti,
bertebaran harum mardhiah syurgawi,
ke mercu kasih hakiki.
Kembara kasih Noumi,
perjalanan tiada henti,
seiringan menuju abadi,
berpautan di dahan cinta Ilahi,
saat mimpi bertukar pasti.