Halaman

24 September 2010

Menikmati Kritikan Dan Celaan

Salam pertemuan kembali untuk kalian saudara-saudaraku yang dimuliakan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Semoga kali ini, kalian berada dalam keadaan yang sejahtera dalam apa jua aspek sama ada fizikal dan mental, mahupun rohani dan jasmani.

Sesungguhnya, selamanya kita perlu senantiasa muhasabah diri, agar sentiasa diri kita ini merasai hakikat kehambaan kepada Tuhan yang Maha Perkasa. Agar kita tidak lupa siapa diri kita, dan untuk apa kita dicipta di alam dunia ini. Apakah hanya untuk bermain-main? Apakah sekadar untuk menikmati nikmat dunia? Apakah hanya sekadar itu? Nah! Usahlah kita tertipu dalam sedar. Usahlah bersuluh dalam terang. Dan usahlah menafikan hakiki dengan ilusi.

Saudara-saudaraku;

Kita berada di sini dengan sebab yang jelas. Kita berada di dunia ini dengan amanah yang nyata. Kita berada di bumi Allah ini dengan peranan yang sudah dipertanggung jawabkan. Maka, jangan sesekali kita terlupa untuk apa hidup ini. Janganlah kita mempersia hidup ini hanya untuk sesuatu yang tiada jaminan.

Allah, dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang-Nya telah memberikan kita pelbagai nikmat. Ambillah satu sahaja sebagai bandingan. Amsalnya nikmat penglihatan yang kita miliki, jika nikmat ini diambil semula oleh yang empunya nikmat, bagaimanakah keadaan hidup kita? Setelah sekian lama kita hidup dalam cahaya yang terang-benderang, secara tiba-tiba kita berada dalam kegelapan. Akan bagaimanakah keadaan kita? Cubalah kita bayangkan bersama. Pejamkan mata, dan cuba lakukan hal-hal rutin yang kita lakukan saban hari. Apakah kita dapat melakukannya dengan mudah? Tentu tidak, saudara-saudaraku. Kerana Allah menciptakan nikmat penglihatan bersebab. Demikianlah, apa jua kurniaan Allah kepada kita, sama ada yang kita suka mahupun tidak, maka ia tetap punya sebab tersendiri. Semuanya mengandungi hikmah.

Justeru itu, bicara kali ini akan membawa kita merauti bilah-bilah kehidupan yang bersangkutan dengan soal kritikan, celaan, hinaan, buhtan (fitnah), dan sebagainya.

Saudara-saudaraku yang beriman;

Mungkin ramai antara kita yang terpaksa mengakui bahawa tidak mudah untuk kita menerima kritikan atau celaan orang terhadap diri kita. Apa lagi seandainya kritikan itu adalah kepada sesuatu yang menyentuh aib diri kita sendiri. Tentu kita berasa malu, marah, geram atau paling teruk pun akan timbul kebencian di hati kita terhadap individu yang mengkritik atau mencela kita itu. Padahal mungkin sahaja individu yang mengkritik itu melakukannya dengan niat menegur kesilapan kita, malahan dengan niat yang penuh keislahan.

Saudara-saudaraku;

Sebenarnya, respons positif mahupun negatif yang kita tindaki apabila dikritik atau ditegur, dicela atau dihina itu bergantung lurus pada sebuku darah/daging di dada kita. Di sinilah letaknya penilaian terhadap jernih atau kotornya qalbu kita. Jika mahu menilai hati, maka, jangan sesekali diuji dengan kesenangan atau kemewahan tetapi nilaian tahap kemuliaan hati itu bakal terbukti kala diri ditimpa ujian sama ada yang kecil mahupun yang besar.

Saudara-saudaraku yang budiman;

Kejernihan dan kekotoran hati seseorang juga akan tergambar jelas tatkala dirinya ditimpa kritikan, celaan, atau penghinaan orang lain. Bagi seseorang yang lemah akal dan imannya, nescaya akan mudah goyah dan resah. Maka, seseorang individu seperti itu akan sibuk menganiaya dirinya sendiri dengan membazir waktu untuk mencari waktu dan memikirkan cara untuk melakukan pembalasan. Mungkin dengan cara seperti mencari-cari pula aib lawannya itu atau mencari-cari dalih untuk membela diri. Malangnya, ternyata hujung daripada perbuatannya itu hanya akan membuat dirinya semakin tenggelam dalam kesengsaraan rohani dan kegelisahan hati. Langsung tidak berbaloi!!!

Mungkin boleh ditamsilkan seperti seorang soldadu (tentera) yang sedang duduk di atas sebuah pangkin buluh dan di bawah pangkin itu ada beberapa ekor ular berbisa yang sedia untuk menyerangnya. Namun, dengan kehendak Allah datang beberapa orang memberitahu kepadanya tentang bahaya yang mengancam dirinya itu. Di antara orang-orang yang datang memberitahu itu terdapat seorang yang menyampaikannya secara halus dan lembut, sedangkan yang lainnya mengingatkan secara kasar.

Namun saudara-saudaraku, tahukah kalian apa yang terjadi? Sayang sekali, setelah si tentera yang duduk di atas pangkin buluh itu mendapat peringatan itu, dikeluarkan pistol dari sisinya, lalu dia mula menembak, bukan kepada ular tetapi kepada orang-orang yang memberitahukan adanya bahaya tersebut. Berbaloikah tindakannya itu?

Berbahagialah wahai saudara-saudaraku;

Kerana lain halnya dengan seseorang yang memiliki kejernihan hati dan ketinggian akhlak. Ketika datang badai kritik, celaan, serta penghinaan seberat atau sedahsyat apapun, dia tetap tegar (tabah), tidak goyah walau sedikit. Malah dia justeru dapat menikmati kritik, saran, celaan, mahupun penghinaan itu kerana ada keyakinan yang benar dalam hatinya bahawa setiap musibah yang menimpanya itu terjadi semata-mata dengan izin Allah Azza wa Jalla.

Jangan sesekali kita lupa saudara-saudaraku yang baik;

Allah Maha Tahu akan segala aib dan cela hamba-Nya dan Dia berkenan memberitahu kepada kita dengan apa pun cara atau bentuk dan melalui sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Kadang-kadang dalam bentuk nasihat yang halus dan lembut. Adakalanya juga melalui leteran dan kemarahan seorang teman, bahkan tidak jarang yang berbentuk cacian teramat pedas dan menyakitkan. Dan perlu kita ingat segala teguran atau peringatan Allah itupun boleh muncul melalui lisan seorang guru, ulama, orang tua, sahabat, kakak, abang, adik, musuh, atau sesiapa saja. Terserah Allah Subhanahu wa Ta'ala yang empunya hak mutlak terhadap setiap makhluk ciptaan-Nya.

Lantaran itu, mengapa kita harus menyusahkan diri membalas orang-orang yang menjadi jalan manfaat dan wadah keuntungan untuk kita itu? Padahal sepatutnya yang perlu kita hadirkan dalam diri kita adalah rasa bersyukur dengan sebesar-besar syukur kerana tanpa kita mengeluarkan sebarang bayaran atau upah, mereka (orang-orang yang mengkritik atau mencela itu) sudi meluangkan waktu mereka untuk memberitahu segala kejelikan dan keaiban diri kita. Wajar untuk kita faham dan mengerti mungkin sahaja segala keaiban dan keburukan diri kita itu merupakan sesuatu yang mengancam amal-amal soleh kita apabila kita berada di akhirat kelak. Aduhai! Alangkah beruntungnya orang yang diberi peringatan lalu ia segera beringat dan memperbaiki diri.

Oleh hal yang demikian, tidak perlu berasa pelik dan aneh jika kita melihat ada di kalangan orang-orang mulia dan 'alim 'ulama yang soleh pada ketika mereka dihina dan dicaci, sama sekali tidak menunjukkan perasaan sakit hati dan keresahan. Sebaliknya, mereka menghadapinya dengan sikap yang penuh dengan kemuliaan, kemudian memaafkan dan bahkan ada juga yang mengirim hadiah sebagai tanda terima kasih atas pemberitahuan hal-ehwal keaiban mereka yang justeru tidak sempat terlihat oleh diri mereka sendiri. Yang mana dengan penuh kesungguhan telah disampaikan oleh orang-orang yang tidak menyukainya itu.

Demikianlah dalam kebencian seorang yang memusuhi kita itu terkandung sejuta satu hikmah manfaat untuk kita.

Saudara-saudaraku;

Bagi kita yang berlumuran dosa ini, haruslah sentiasa peka terhadap pemberitahuan daripada Allah yang setiap saat boleh sahaja datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Ketahuilah, ada tiga bentuk sikap orang yang menyampaikan kritik.

Pertama, kritiknya benar dan caranya pun benar. Kedua, kritiknya benar, tetapi caranya menyakitkan. Dan ketiga, kritiknya tidak benar dan caranya pun menyakitkan.

Namun demikian saudara-saudaraku yang mulia;

Bentuk kritikan yang manapun datang kepada kita, semuanya menguntungkan. Sama sekali tidak menjatuhkan kemuliaan kita di hadapan sesiapapun, sekiranya sikap kita dalam menghadapinya penuh dengan kemuliaan sesuai dengan ketentuan Allah SWT. Kerana, sesungguhnya kemuliaan dan keredhaan Allah yang menjadi penentu segala-galanya.

Allah SWT berfirman:

"Dan janganlah engkau berduka cita kerana perkataan mereka. Sesungguhnya kekuatan itu milik Allah semuanya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Yunus, 10:65)

Saudara-saudaraku yang budiman;

Ingatlah, walaupun bergabung jin dan manusia menghina kita, kalau Allah menghendaki kemuliaan kepada diri kita, maka tidak akan membuat diri kita terjatuh ke lembah kehinaan. Apalah ertinya kekuatan sekalian makhluk untuk dibandingkan dengan kekuatan mutlak al-Khaliq? Manusia memang sering lupa bahawa Qudrat dan Iradat Allah itu berada di atas segala-galanya. Sehingga manusia itu ramai yang menjadi sombong dan takabbur, seakan-akan dunia dan isinya ini berada dalam genggaman tangannya. Na'uzubilLah!!!

Padahal, Allah Azza wa Jalla telah berfirman:

"Katakanlah, Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan. Engkau berikan kerajaan (kuasa) kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan (kuasa) daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau Kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Ali 'Imran, 3:26)

Justeru itu, apabila kita ditimpa celaan atau hinaan, yakin dan tenanglah menghadapinya. Usah mudah melatah dengan celaan manusia. Kerana mungkin dalam celaan itu ada nikmat daripada Tuhan yang tidak kita sedari. Menghadapi kritikan juga begitu. Biar sesukar manapun rasa di hati menerima kritikan, jangan sesekali dituruti hasad yang masih bersarang dalam hati, tetapi sikapilah kritikan itu dengan nilaian positif untuk mengislah diri kita ke arah yang lebih baik. Dalam tidak sedar, apapun kritikan yang datang, ia pasti mengandungi hikmah yang sebenarnya manfaat untuk diri kita.

Walhasil, jika kita dihina, dikritik dengan kata-kata yang pedas, jangan marah! Jangan disikapi dengan kebencian. Jangan sesekali menyimpan dendam! Namun, sewajarnya kita mengucapkan terima kasih ke atas orang-orang yang mengkritik atau menghina, tanpa mengira apa yang disampaikan itu benar atau salah. Kerana mana mungkin kita tahu hakikat setiap kenyataan orang yang mengkritik. Kalau salah di mata kita pun mungkin ada kebenaran di sebaliknya. Maka, usah jadi tak tentu arah bila berhadapan dengan kritikan yang pedas. Apa yang paling penting kita menerima kritikan itu dengan jalan yang paling baik. Dan salah satu jalan yang paling baik yang pernah dianjurkan oleh Rasulullah SollalLahu 'alaihi wasallam adalah 'MEMAAFKAN'.

Saudara-saudaraku;

Bersiaplah untuk menjadi seorang yang suka memaafkan. Seperti firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:

"Allah tidak menyukai ucapan buruk, yang diucapkan dengan terus-terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa." (an-Nisaa', 4:148 – 149)

Saudara-saudaraku yang dimuliakan Allah;

Sebagai kesimpulan daripada pembicaraan ini, sekali lagi kita haruslah sentiasa bersiap-siaga menghadapi kritikan dan celaan dengan jalan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Jangan sesekali kita membiarkan diri menuruti tuntutan nafsu yang tiada berhad. Sentiasalah mentazkiyah hati agar kita kembali kepada Allah kelak dengan hati yang suci bersih. Insya Allah.





Olahan;


"Haikal Nawwarah"


28 Jamadil Akhir 1426H









"Dan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia seorang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada ikatan tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan." (Luqman, 31:22)

23 September 2010

Mengenali Aku

Simbolik dari tatacara bertanya
siapakah aku ini?
Apa sebenarnya realiti seorang aku?

Entahlah...
sukar untuk aku menjelaskan
sukar untuk aku atur butir bicaranya
sukarnya itu hanya aku yang rasa...

Menjadi seorang aku
bukan sesuatu yang mudah
argh!!!
aku dan mereka sama-sama merasa
payah gundah sebar merata
sama-sama hidup di dunia yang sama
walau mungkin situasi berbeda...

Untuk mengenal siapa aku
selalu akan terasa jemu
biar bolak bicara terbunggar
seorang aku tetaplah aku
yang boleh jadi teman
yang boleh jadi kawan
yang boleh jadi lawan
saat suara hati tidak tertawan...

Akulah yang sebenar aku
akur pada hakikat insani
tidak mahu lupa diri
tidak ingin hilang erti...

Mengenali aku
hikmahnya hanya Tuhan yang Tahu...
^__^

Nukilan Nubari;
'Haikal Nawwarah'
14 Syawal 1431H
-Johor Bahru-

16 Julai 2010

Bicara Cinta 2

Cintailah di Hati, itulah Cinta hakiki... Jangan hanya Cinta nafsu, Itulah cinta Palsu yang Melulu...

Betapa bahagia Cintakan TUHAN, Bagai bunga Yang mewangi Kehidupan, tiada Waktu jarak Pemisah, kembara Rasa tak Bernoktah.

Betapa derita Korban percintaan, Bila nafsu Jadi taruhan, Jiwa resah Bila terpisah, Asyik bertemu Jemu bertamu...

Cintailah sesiapa Sahaja, asalkan Wadahnya cinta Ilahi, hati Tak resah, Jiwa tak Gelisah, jauh Berhubung rindu, Dekat terikat Padu...

Tentang Bulan



"Ini kisah tentang bulan. Bulan yang cantik berseri bila malam purnama tiba. Ramai orang gemar menatap bulan. Adakala orang bercinta madahnya dikaitkan dengan bulan. Bila rindu diatur bicara berkisar bulan. Ada sahaja kata-kata yang lahir dikaitkan sekali dengan bulan. Hebatnya kisah si bulan ni."

"Tetapi bulan tak selalu ada untuk kita. Kadang-kadang bulan hilang dari pandangan... puaslah kita tunggu semalaman, bulan masih tidak muncul jua. Bila bulan itu hilang kita rasa ia sudah melupakan kita. Sebenarnya bulan itu ada cuma ia jauh dari pandangan."

"Masa zaman sekolah dulu, bila tengok bulan pasti hadir senyum di wajah. Bulan itukan pelik... ia tiada cahaya tetapi tetap bersinar indah. Itulah bulan... di manapun kita berada, kita tetap memandang pada bulan yang sama..."

(^_^)v...

Sebutir Rindu Sebingkis Bahagia

Sebutir rindu di tepian itu
pernah tersenyum bahagia
walau air mata mengalir jua
semua ditempuh menolak duka.

Pertama dan terakhir
kukira subur selamanya
namun kemarau menduga hati
mekar indah layu jua.

Tinggallah kamar sepi
kosong tak berpenghuni
rentasi lautan api sendiri
tiada lagi yang menemani.

Berguguran air mata suci
mencari kemaafan buat diri
masihkah ada lagi?
atau sudah tiada erti lagi.

Sebutir rindu di tepian itu
terpinggir tak dipeduli
terasing dalam nyata
kaku menunggu sebingkis bahagia.


'Haikal Nawwarah'
12 Okt 2007
Johor Bahru

Erti Sela Mimpi

Terbuai mimpi indah,
di puncak syurga bersama,
melayang keriangan...
sepasang sayap kurniaan.

Melihat di segenap pandangan
hanya nur keindahan
tak terbilang apapun nilai
tanpa kecacatan...
hanya kemurnian.

Semilir bayu berkongsi cerita
di alam mimpi tiada cela
segalanya jujur sempurna
tak seperti di alam nyata.

Terjaga dari lena
lenyaplah mimpi indah
terukir senyum di wajah
mungkinkah suatu hidayah.

Jelas...
mimpi bukan realiti
sekadar mainan fantasi
yang mungkin terkandung erti
atau sekadar penghibur hati.

'Haikal Nawwarah'
01 Dis 2007
-Johor Bahru-

15 Julai 2010

Bicara Cinta

Apabila cinta berkata-kata,
harumnya merbak terpencar jua,
bikin gusar bersilih tenang,
merubah kelam jadi terang.

Saat cinta bersuara,
terpukul segala hiba,
dari tingginya langit,
ke dasarnya lautan,
hilang segala cela.

Namun,
mencintai tak semudah dicintai,
apatah lagi..
jika cinta diam di hati..
entah bila ketikanya,
entah ke mana tujunya,
entah siapa di hatinya..

Ketika cinta berbicara,
gugurlah dendam semesta.



-Haikal Nawwarah-
-02012010-
17 Muharam 1431H
-JB-

03 Julai 2010

LOGAMAYA

Ada peribahasa berbunyi
seperti lebah,
mulut membawa madu,
pantat membawa sengat,

seperti itulah dia...
Elok paras rupa,
juga manisnya bahasa,
namun tidak sedemikian rupa,
di dalam simpulan hatinya,
penuh duri dan racun berbisa,
menanti masa...
ditariklah picu senjatanya..
membunuh pemilik hati yang lemah....


Itulah dia,
segera mencari mangsa...
dari lelehan nanah yang busuk lahak..
mengalir di dalam hatinya,
tanpa sedar kepalsuan nikmat dunia,
yang tiada berkekalan jua,
bagai logamaya...
yang tiada diduga ada.






-16 Muharam 1431H-

28 Jun 2010

Tanpa Tajuk

Semalam terasa amat panjang...
bila mimpi-mimpi berjatuhan,
berserakan di taman rekaan,
sedar diri ini hamba Tuhan...
hidup meniti haluan,
tertanya-tanya pada perasaan,
tentang insan bernama teman,
seketika atau berpanjangan...
kata-kata menjadi serpihan,
gugur bagai daunan...
helaian demi helaian,
andai tiada kemaafan...
terasa memikul beban,
terselindung di balik bayangan...
penantian suatu penyeksaan.