Halaman

18 Jun 2010

Jika Semalam Aku Hilang

Salamun 'alaik...

Semalam aku hilang seketika dari landasan kebenaran. Aku terpesona pada keindahan yang palsu. Aku tertarik pada kesempurnaan yang direka-reka. Ternyata aku dihimpit dengan pelbagai tipudaya menduga. Lalu aku jadi lemah tanpa pegangan yang jitu. Aku mula resah dan gelisah. Ketenangan hilang dan menjauh dari sisiku. Aku tersinggung dengan kata-kataku sendiri. Aku lemah dengan tindakanku sendiri. Aku jadi payah untuk memulakan lagi langkah ke landasan kebenaran yang dulu pernah aku lalui penuh kedamaian. Kedamaian yang pastinya bukan percuma dan bukan direka-reka.

Semalam aku hilang seketika dari alam yang pasti. Aku terpedaya dengan janji-janji kosong penghuni neraka. Aku terkeliru dengan tuntutan nafsu yang suka menipu. Ternyata aku jatuh tersembam lalu pengsan dari alam nyata. Aku melalui fasa luar sedar ke alam yang aku sendiri takut untuk melaluinya. Aku jadi bodoh dan bungkam tindakan. Aku rebah dengan kealpaanku sendiri. Perlahan-lahan aku cuba untuk bangun kembali. Aku sendiri tidak pasti sama ada aku akan mampu kembali berdiri seperti dulu atau akan ada kecacatan kekal yang akan menemaniku.

Semalam aku hilang seketika dari persekitaran yang murni. Aku terbang jauh ke jurang ngeri yang penuh noda dan dosa. Namun, huluran tangan Tuhan menarikku ke tebing jurang ngeri itu. Lalu aku teguhkan langkah menjauh pergi dan membawa diri. Aku bertekad tidak akan kembali lagi ke jurang itu. Walau aku punya sayap untuk terbang segera ke arahnya, aku tetap tidak mahu. Aku punya pilihan yang diberi Tuhan. Seharusnya aku tetap yakin bahawa nasibku adalah di tanganNYA, sedangkan perjalanan menemui nasib itu adalah pilihanku sendiri.

Aku tidak boleh hilang lagi. Tidak boleh sesekalipun hilang lagi. Aku perlu wujud sebagai hamba yang diredhai. Bukan hilang menjadi hamba yang dimurkai. Aku sedar bahawa kehilanganku yang semalam itu adalah galur kehidupan yang hadir seketika saja. Aku tidak boleh terus leka dengan kehilangan. Aku perlu berusaha untuk mewujudkan ketenangan dalam diriku ini.

JIKA SEMALAM AKU HILANG... HARI INI AKU KEMBALI DENGAN HATI YANG SUCI... Ameen...!

Tiada ulasan: