Fikiran saya menerawang jauh ketika sedang memandu. Namun, tidak sama sekali mengganggu tumpuan pemanduan. Biasalah, walau fikiran di awangan jangan dilupakan bahawa diri sedang memandu. Fokus tetap fokus tetapi tak salah melakukan 2 hal dalam satu masa. Mungkin ada yang tak setuju. Tak mengapalah, masing-masing boleh berpegang pada pendapat sendiri. Hidup ini 'kan bebas. Pilihan apa pun yang kita buat bergantung kepada penilaian kita juga. Apa yang pasti berani buat beranilah tangggung.
Sebentar tadi saya kembali mengingati apa yang saya fikirkan sepanjang pemanduan. Saya terfikir betapa Tuhan telah banyak membantu saya selama ini. Terutamanya menyelamatkan saya dalam banyak keadaan genting.
Saya mula membayangkan jika Tuhan tidak mebantu saya tentu semakin bertambah hal yang malang dalam kehidupan saya. Tentunya saya akan kehilangan sesuatu yang dipinjamkan Tuhan. Namun, Tuhan dengan kasih sayangNYA yang abadi telah menghendaki saya selamat dalam banyak peristiwa. Syukur alhamdulillah.
Saya anggap pertolongan Tuhan itu adalah kerana rahmatNYA, bukan kerana saya hamba yang istimewa. Malah saya sedar siapalah saya di sisi Tuhan yang Maha Mulia... sedangkan saya ini banyak sangat buruknya. Ada hadis yang menyatakan Tuhan mengabulkan semua permohonan hambaNYA. Tetapi dalam bentuk yang berbeza. Tuhan menjawab doa kita dengan kehendakNYA berdasarkan apa yang kita patut dapat bukan atas dasar apa yang kita mahu dapat.
Demikianlah saya rasakan apabila Tuhan banyak menyelamatkan saya daripada kecelakaan atau hal-hal yang buruk. Mungkin perlindungan itu adalah jawapan kepada doa-doa saya selama ini. Walaupun itu bukanlah seperti apa yang saya pohonkan dalam doa-doa saya. Saya tetap bersyukur.
Pernah semasa menunggang motosikal untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat saya hampir terjatuh di selekoh yang tajam. Tetapi entah bagaimana saya terasa seperti ada tangan yang menghalang saya jatuh. Padahal keadaan saya ketika itu benar-benar sudah hilang keseimbangan. Dalam erti kata lain, kemalangan adalah wajar dan sangat logik.
Bukan sekali saya mengalami saat genting seperti itu. Pernah juga saya hampir berlanggar ketika memandu, tetapi seperti ada suatu kuasa yang menahan kenderaan saya. Ini benar-benar terjadi. Ketika itu aliran darah sudah seakan berhenti. Namun, Tuhan menjawab doa saya dengan cara yang saya tak menjangka. Terima kasih, Tuhan....
Selain kemalangan saya juga pernah diselamatkan ketika saya hampir sesat di sebuah negeri yang pertama saya kali saya kunjungi. Sebuah negeri di pantai timur semenanjung Malaysia. Pada waktu itu saya ingin pulang ke tapak program setelah menghantar sahabat saya di stesen bas kerana dia perlu pulang ke rumahnya. Saya pulang selepas berbuka kerana waktu itu bulan Ramadhan. Di dalam bas saya mula gusar kerana saya tidak tahu hendak turun di mana. Ditambah lagi ketika itu malam sangat gelap. Tempat yang saya akan tuju pula adalah tempat yang sangat asing bagi saya. Ketika turun di suatu perhentian bas baru saya perasan yang saya turun di tempat yang salah. Malangnya kesedaran itu muncul setelah bas berlalu. Mana mungkin saya mengejar bas yang sudah jauh dalam kepekatan malam di tempat yang saya tak mahir langsung selok-beloknya. Saya tekadkan saja hati menurut langkah kaki menuju laluan yang gelap itu. Dalam hati tak henti-henti berdoa agar saya ditunjukkan jalan.
Hampir 30 minit saya menyusuri pelbagai laluan. Dari pinggir jalan, melalui denai dan lorong sampailah saya akhirnya tiba ke tapak program. Alhamdulillah.. Mungkin ada yang bertanya, kenapa tak guna telefon untuk memohon pertolongan dari sahabat-sahabat di tapak program? Jawapannya mudah, saya lebih percayakan Tuhan saya daripada manusia. Lagipun, mana mungkin saya mengganggu sahabat-sahabat yang sedang mengendalikan satu program penting dengan masalah kecil saya itu. Ternyata pergantungan saya kepada Allah memang berhasil. Lucu juga bila mengenangkan saat saya sampai di tapak program dengan keringat menyimbah-nyimbah, ada di kalangan sahabat yang pelik seolah-olah saya menempuh perjalanan yang jauh. Sedangkan perhentian bas terdekat tidak sampai 500 meter dari tapak program. Tak tahulah berapa kilometer saya sudah menghayun langkah. Apa yang saya tahu, saya sangat penat. Tanda kesyukuran, saya masih sempat menunaikan Isya' dan tarawikh 20 rakaat... syukurlah dalam kepenatan masih ada kekuatan. Semuanya itu daripada Tuhan.
Demikianlah, saya menggambarkan apa yang saya lalui dalam kehidupan saya. Hanya sedikit sajalah, maklum saja sekadar itu saja yang dapat saya bayangkan di layar memori sepanjang pemanduan yang tersekat-sekat akibat kesesakan lalulintas.
Sesungguhnya Tuhan sentiasa menerima doa hamba-hambaNYA yang ikhlas dalam berdoa. Walaupun jawapan doa itu adalah dalam bentuk yang berbeza. Tetapi Tuhan telah berfirman; sesuatu yang kamu pandang baik itu mungkin sebenarnya tidak baik untuk kamu sedangkan sesuatu yang kamu pandang tidak baik itu sebenarnya baik untuk kamu. Tuhan Maha Mengetahui dan kamu tidak tahu.
Sampai jumpa...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan