Halaman

20 Februari 2009

Jawapan Sebuah Penantian (Episod Akhir)

Ain memandang jauh ke hadapan. Sekali lagi, Ain menghitung kekuatan diri. Kali ini bukan kepada sebuah perpisahan tetapi kekuatan untuk menghadapi hakikat sebuah pertemuan semula antara dia dan Fairul Ikmal. Pertemuan yang awalnya penuh dengan harapan secantik warna-warninya pelangi dalam khayalan Ain. Tetapi berkali-kali sudah Ain menyoal dirinya. Kenapa? Dan mengapa? Ain pasrah tanpa jawapan yang pasti.
Ain dihimpit seribu satu kesedihan. Adakah salah dirinya memendam perasaan? Atau salahkan Abang Fairul Ikmal kerana tidak pernah mahu memahami perasaannya? Ain jadi serba salah. Kadangkala Ain jatuh keliru. Penantian lima tahun Ain seakan sekadar satu penantian. Kini penantian itu sudahpun terjawab pada pertemuan lima hari yang lepas.
Salah Ain agaknya, itulah getus hatinya. Tetapi Ain semakin sedar diri. Siapalah dia pada pandangan mata seorang lelaki yang ikhlas berkawan dengannya. Abang Fairul benar-benar ikhlas menerimanya sebagai seorang teman yang dianggap seperti adik kandungnya sendiri. Cuma Ain yang menukar persepsinya atas curahan kasih sayang Abang Fairul terhadapnya. Ain tidak menanggapi seperti apa yang ditanggapi oleh Abang Fairul.
Akhirnya, Ain hilang alasan untuk menyalahkan Abang Fairul. Nyata sekali bukan Abang Fairul yang bersalah, yang jika adapun mungkin kerana Abang Fairul terlalu memberi harapan melalui kasih sayangnya itu. Ah! Ain bukan mencari silap atau salah sesiapa. Ain seboleh mungkin berusaha mendidik hatinya untuk meredhai segala ketentuan itu. Ain bukan insan kecil yang masih keanak-anakan seperti dulu. Ain sudah dewasa untuk berhadapan dengan hakikat hidup.
Ain percaya Abang Fairul Ikmal sudah membuat pilihan yang terbaik untuk dirinya. Ain yakin gadis bernama Nor Liana itu adalah insan yang paling sesuai dengan Abang Fairul. Pada pandangan awalnya sejak mula pertemuan di jeti beberapa hari lalu, Ain lihat Kak Nor memang seorang wanita yang punya keistimewaan yang tersendiri. Bukanlah Ain membuat perbandingan. Ain sekadar menyatakan apa yang tercetus di hatinya.
Benar, Ain sedih. Ain ada pelbagai rasa. Ain sedih. Ain kecewa. Ain pilu. Pendek kata, hati Ain penuh dengan tangisan. Cuma tiada air mata mengalir di wajahnya. Ain ingin tabah menghadapinya. Bagi Ain, itu semua hanya secebis ujian dalam hidupnya. Tentu banyak lagi ujian yang lebih berat akan Ain hadapi selepas ini.
Berhadapan dengan lautan ketika itu membuatkan Ain semakin faham erti hidup. Ain bayangkan dirinya seperti buih-buih yang berkumpul di celah-celah batuan besar persisir pantai. Hayatnya tidak lama. Hadirnya hanya seketika. Lambat-laun segalanya akan berakhir dengan sehela nafas yang tinggal. Buih-buih itu tidak pernah meminta untuk berada di situ. Buih-buih itu juga hanya mampu membiarkan dirinya hanyut oleh arus lautan yang tenang dan adakalanya buih-buih itu berserakan dek badai yang mengganas.
Ain mencapai pena dan buku catatan berurna biru yang menjadi teman setianya ketika itu. Serta-merta penanya menari-nari mencoretkan sesuatu. Entah mengapa kali ini Ain tidak menukilkan sebuah puisi sebagaimana biasa. Kali ini Ain hanya melakarkan lirik lagu ‘Bukan Cinta Biasa’. Sambil itu Ain bernyanyi perlahan. Gemersik suaranya, berkongsi nadanya dengan melodi alam.
Begitu banyak cerita
ada suka ada duka
cinta yg ingin ku tulis
bukanlah cinta biasa
Dua keyakinan beza
masalah pun tak sama
ku tak ingin dia ragu
mengapa mereka selalu bertanya
Cintaku bukan di atas kertas
cintaku getaran yang sama
tak perlu dipaksa, tak perlu dicari
kerna ku yakin ada jawabnya
ooh...
Andai ku bisa merubah semua
hingga tiada orang terluka
tapi tak mungkin ku tak berdaya
hanya yakin menunggu jawabnya
Janji terikat setia
masa merubah segala
mungkin dia 'kan berlalu
ku tak mahu mereka tertawa
Diriku hanya insan biasa
miliki naluri yang sama
tak ingin berpaling, tak ingin berganti
jiwaku sering sahaja berkata
Andai ku mampu ulang semula
kupasti tiada yang curiga
kasih 'kan hadir
tiada terduga
hanya yakin menunggu jawapan..
TAMAT
(^_^)v
peace

Tiada ulasan: