Halaman

15 Februari 2009

Jawapan Sebuah Penantian (Episod 04)

"Jauh lagi ke, bang?" soal seorang wanita muda di sebelahnya. Membetulkan tudung yang ditiup angin laut.
"Dah nak sampai ni. Kejap ye abang pergi tanya pak cik tu." Jawab Fairul sambil melangkah keluar dari kabin penumpang. "Teruk ke pak cik rosaknya?"
"Hah, teruk juga. Kipasnya tersangkut jaring hanyut. Anak ada urusan penting ke?" jelas pak cik yang mengemudi bot laju itu.
"Tak de la penting sangat pak cik. Err, boleh ‘repair’ ke?"
"Susah jugak ni, tapi pak cik dah hubungi orang kat darat, nanti diorang hantar bot ganti. Insya-Allah kejap lagi sampailah tu. Maaflah, keadaan ni tak dijangka..."
"Takpe, takpe, biasalah insiden macam ni."
Fairul melangkah masuk ke dalam kabin penumpang semula. Kelihatan beberapa penumpang lain sedang berbicara sesama mereka. Ada juga yang tidak habis-habis merungut. Padahal apa yang terjadi di luar kawalan manusia. Fairul sempat juga memerhati wajah-wajah penumpang lain. Bukan apa, sekadar mencari kalau-kalau ada yang dikenalinya. Tetapi pencariannya hampa. Tiada seorangpun yang dia kenal. Masa lima tahun yang berlalu mungkin sahaja membuatkan dia lupa figura penduduk-penduduk di pulau yang dirinduinya itu.
"Ada yang tunggu abang ke kat jeti tu nanti?" tanya wanita di samping Fairul.
"Tak tahulah, kalau ada pun maybe si Ain dengan kawan-kawannya. Abang tak beritahu Pak Lang Johar. Saja nak buat ‘surprise’." Fairul menjawab dengan tenang.
Beberapa minit kemudian, bot gantian tiba. Semua penumpang beralih ke bot baru itu. Sekali lagi, mereka menyambung perjalanan ke Pulau Penyinar. Di dalam hati Fairul sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menjejakkan kakinya ke tanah yang pernah mengukir banyak kenangan manis itu. Tanah pulau itu banyak memberinya peluang untuk berbudi kepada insan lain di muka bumi Allah ini. Rindunya pada keluarga Pak Lang Johar, juga Mak Su Midah semakin ketara dengan kisah-kisah pengalamannya di pulau itu. Segalanya hampir sahaja diceritakan kepada wanita yang masih setia di sampingnya.
Dia juga rindu kepada Ain, Iman, Aliya dan Izzah. Masih terbayang wajah comel Ain dalam ingatannya. Tentu sudah besar sekarang gadis yang dulu masih di alam persekolahan semasa dikenalinya. Ain yang paling rapat dengannya. Di antara empat orang anak gadis pulau itu, Ain yang paling cepat mesra dengannya. Kadang-kadang Ain akan mengikutnya masuk ke hutan. Tetapi bukanlah mereka berdua sahaja. Ada lagi beberapa penduduk kampung yang arif tentang kawasan hutan di pulau itu yangn turut sama mengiringi. Fairul terkenang saat-saat memori itu terukir.
Dalam sekian banyak ukiran memori yang menghiasi benak fikirannya.
"Abang, dah sampailah kita." Wanita di sisi Fairul berbisik betul-betul di cuping telinganya. Fairul tersentak dari imbauan kenangannya.
"Ha? Dah sampai? Alhamdulillah...... Jom, mungkin Ain dah tunggu kita kat pondok tu," ujar Fairul sambil tangannya mengunjuk ke arah sebuah pondok berhampiran jeti tempat bot menurunkan para penumpang.
Dari kejauhan, Fairul melihat kelibat dua orang gadis sedang duduk di salah satu bangku di pondok menunggu itu. Di antara jelas dengan tidak, Fairul dapat menjebak itu pastinya Ain. Mungkin yang seorang lagi itu adalah Iman. Fairul cuba melambai. Tetapi lambaiannya tidak berbalas.
"Uda, mana abang Fairul? Ish! Ramai sangat berkerumun kat jeti tu. Tak nampaklah..." kata Ain sambil anak matanya masih asyik melirik dan mencari kelibat Fairul.
"Tu kot?" ujar Iman seraya memuncungkan bibirnya ke arah sesuatu yang masih jauh.
"Rasa-rasanya...., eh, dah lainlah abang Fairul. Ke salah orang?"
"Betullah tu, wak. Kite ingat lagi muka dia. Eh? Sape pulak kat sebelah dia tu?"
Sebelah dia? Renungan mata Ain terus sahaja beralih ke arah wanita yang berjalan di sebelah Fairul. Melangkah beriringan dengan pemuda itu. Terasa sesuatu di dalam hati nurani Ain. Sesuatu yang sedikit mengusik perasaannya. Tetapi Ain tidak mahu berprasangka apa-apa. Cepat-cepat dia meneutralkan cetusan hatinya.
Sedikit demi sedikit langkahan Fairul semakin menghampiri dua orang gadis yang setia menanti. Wajahnya semakin terserlah cerianya. Tiada langsung bayangan lelahnya perjalanan meredah lautan luas untuk ke pulau itu. Fairul segera melambaikan tangannya. Kali ini lambaiannya berbalas.
"Assalamualaikum...." ucap Fairul sambil tersenyum lebar.
"Waalaikumussalam... Selamat kembali ke pulau....." jawab Ain dan Iman seakan serentak.

Tiada ulasan: