Halaman

02 Februari 2009

Jawapan Sebuah Persimpangan (Episod 02)


Nur Ain asyik merenung jauh ke arah laut di hadapannya. Seperti biasa jika ada kelapangan waktu di sinilah tempatnya mencari ketenangan. Dia akan duduk di salah satu bongkah batu besar di persisir pantai ini. Bongkah batu yang bentuknya agak menarik ini paling digemarinya. Bongkahnya agak bundar dengan hujungnya membentuk tebing yang agak tajam. Menariknya dari jauh jika dipandang pada satu sudut tertentu, bongkah batuan ini persis berbentuk hati. Simbolik bukan? Menunjukkan kepadanya betapa hebat ciptaan Tuhan. Di situ ada tanda keagungan yang tiada tandingan. Bagaimanalah agaknya pukulan ombak saban detik telah menghakis batuan keras ini sehingga terhasil bentuk yang simbolik itu. Mungkin mudah untuk menjawab soalan seperti itu bagi seorang yang berjiwa sastera seperti Ain. Jawapan Ain pasti penuh dengan kata-kata puitis yang memberi tafsiran tersendiri. Di noktahnya Ain pastikan, segalanya akan kembali jua kepada Yang Maha Pencipta.
Lokasi peristirehatan Ain ini memang menarik. Paling mengasyikkan saat dirinya disapa angin laut yang cukup nyaman. Angin yang membawa bersama wap laut yang menyegarkan. Terutamanya pada masa petang begini. Jika Iman tidak menemaninya, Ain akan hadir ke situ seorang diri. Dia rasa dia tidak perlu sangat teman untuk ke situ. Tiada apa yang perlu ditakuti. Ain memang berani. Di antara Ain dan teman-teman akrabnya yang lain, Ain yang paling berani. Jika masuk ke hutan untuk ke sebuah air terjun di pulau ini, Ain yang akan menjadi ketua. Selalunya Ain, Iman, Izzah dan Aliya ke situ semasa musim cuti. Seingat Ain sudah agak lama juga mereka tidak ke situ. Masa petangnya yang terluang lebih kerap Ain isi dengan mengunjungi bongkah batu di persisir pantai ini.
Di bongkah batu besar ini Ain mencari ilham di samping menenangkan fikirannya. Ya, untuk setenang yang boleh. Setelah seharian bekerja di kafetaria pak ciknya. Jika petangnya Ain tidak sibuk, Ain pasti akan ke tempat itu. Terlalu strategik tempat itu untuk gadis sepertinya. Selalunya dia akan bertemankan sebatang pena yang riang menari menurut langkah ilhamnya dan sebuah buku catatan kecil berurna biru. Sebiru warna laut. Warna kegemaran Ain. Signifikannya warna biru dengan gadis selembut Ain. Dengan pena itu Ain akan menghasilkan puisi-puisi yang merungkai pelbagai tema. Tentang alam, tentang kehidupan, tentang kasih sayang, tentang kenangan dan apa sahaja yang terlintas di fikirannya ketika itu.
Inspirasinya lautan yang terbentang luas di hadapannya. Tiada pemisahnya lautan itu. Kecuali horizon yang berada di hujung pandangannya. Membentuk fokus di retinanya sebagai bayangan yang membahagikan langit dan lautan. Kedua-duanya masih sayup-sayup biru untuk dilihat. Cuma kontranya pada kepekatan atau kepudaran warna yang terlihat dek mata.
Kadang-kadang, Ain dihiburkan dengan bunyi-bunyian alam. Ombak yang memukul batu-batuan di situ. Arus yang garang dek tiupan angin. Semilir bayu yang menyapa halwa telinga. Tidak kurang dengan telatah anak-anak ketam yang bermain kejar-kejar di celah-celah batu. Juga asyik dengan camar laut dan rajawali yang mencari rezeki di hujung petang. Semua itu boleh sahaja menjadi sumber inspirasi Ain. Benar, jika di situ, Ain pasti tidak merasakan dirinya keseorangan. Alam ciptaan Tuhan yang kaya khazanah itu tetap menjadi temannya yang setia. Teman yang tidak akan ke mana-mana. Tidak seperti Fairul Ikmal.
Tiba-tiba rona mata Ain berkaca. Air yang bergenang itu tumpah jua. Mengalir dari kelopak matanya yang cantik itu. Air mata itu mencari pelbagai alasan untuk Ain. Hati kudusnya mula diratap pilu. Bukan pilu pada sesuatu yang hilang tetapi pilu pada sebuah pemergian. Ain mencapai pena yang ada di sisinya. Lalu di atas bongkah batu ini Ain melepaskan kerinduannya. Bukan dengan lafaz rindu tetapi dengan lakaran yang berbentuk tulisan. Rindu pada seseorang yang jauh. Rindu pada Fairul Ikmal.

Andai kau tahu
tika tabir malam menutupi cerahnya siang
ada insan yang kamar hatinya suram
disuluhi hanya cahaya Iman
yang cebisnya dirungkai
pada ingatan silam
Andai kau tahu
jika tabir malam mengutus mimpi
ada insan yang mendamba hadirmu
diterangi bintang-bintang
dihiasi neon bernama rembulan
yang sinarnya hanya pinjaman
sirna tika hari merangkak siang
Andai kau tahu
saat bicaraku kehabisan kata
kututur namamu
kubayangkan ukir senyummu
betul-betul di layar mimpiku
Andai kau tahu
saat hatiku menolak kesal
redha menemani pasrahku
menyusuri tepian pantai sanubari
di balik awan kasih abadi.
Nukilan;
Nur Ain @ Durratun Nisa
Julai 1999
-Pulau Penyinar-

Tiada ulasan: