Halaman

10 Februari 2009

Jawapan Sebuah Penantian (Episod 03)


Suasana di jeti semakin diruangi dengan emosi. Pak Lang Johar, Mak Su Midah, Pak Man Bot, dan beberapa orang lama di pulau itu kelihatan masih tabah menahan kesedihan. Tidak seperti generasi pelapis yang hadir. Bukan semua tetapi ada di antaranya. Kelihatan sayu sahaja wajah Ain dan teman-temannya, Iman, Aliya dan Izzah. Iman yang agak cengeng sudah pun menitiskan air mata. Sedihnya bagaikan menghantar seorang kekasih hati. Padahal mereka hanya mengiringi perginya seorang anak rantau di pulau itu. Perantau yang sempat menabur budi. Tidak lama dia di situ. Hanya beberapa ketika. Tetapi hampir empat tahun juga dia menetap di pulau itu. Mulanya dia hadir untuk memenuhi jadual praktikalnya bagi sebuah firma penyelidikan sains swasta. Seisi praktikal bersama tiga rakannya itu berlangsung selama setahun. Kemudian dia mula jatuh hati kepada keindahan pulau itu. Lalu, Fairul akhirnya mengambil keputusan untuk menetap lebih lama di situ. Alasan yang diberi kepada majikannya adalah untuk mengkaji beberapa spesies tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan. Maka, pihak firma meluluskan permohonannya untuk berada di pulau itu selama dua tahun lagi.
Seperti hatinya diikat dengan pulau itu, Fairul Ikmal terus berada di pulau itu untuk dua tahun lagi. Sesekali sahaja dia pulang ke tanah semenanjung. Itupun sekadar melawat saudara-mara yang masih ada. Juga untuk beberapa urusan rasmi. Lebihan masanya memang banyak dihabiskan di pulau itu. Lagipun, Fairul bukan ada sesiapa. Cuma dia seorang yang masih tinggal di wilayah Malaysia Barat ini. Ayah dan ibunya sudah lama tiada. Dua orang adiknya juga sudah lama menetap di tempat lain. Seorang di United Kingdom, bekerja dan berkeluarga di sana. Seorang lagi di Sarawak, masih belajar di tahun akhir di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Di pulau itu, Fairul tinggal dengan keluarga Pak Lang Johar. Kebetulan sahaja Pak Lang Johar itu bapa saudara Nur Ain. Kebetulan juga, sewaktu Hari Raya Haji tahun pertama Fairul di pulau itu dia bersua dengan Nur Ain. Sejak detik itu hubungan mereka semakin hari semakin akrab. Perkenalan itu menyimpan makna tersendiri kepada Ain. Tetapi mungkin sukar untuk ditafsirkan oleh lelaki bernama Fairul Ikmal itu. Bagi Fairul, Ain hanya seperti adiknya sendiri. Lagipun, pada Ainlah Fairul melepaskan kerinduannya kepada adiknya yang belajar di UNIMAS.
Sebaik bot laju yang dinanti tiba, Fairul sedia berangkat pergi. Dia bersalam-salaman dengan Pak Lang Johar, Mak Su Midah dan Pak Man Bot yang sudah dianggapnya seperti keluarga sendiri. Suasana terasa begitu hening sekali. Entah mengapa hati Fairul terasa agak berat untuk meninggalkan pulau itu. Perginya ini bukan seperti yang dulu. Perginya ini membawa erti yang dia akan sukar untuk kembali lagi ke pulau itu. Fairul perlu memberi komitmennya di lokasi kerjanya yang baru di selatan tanah air. Tentulah sukar untuknya kembali lagi. Encik Azmil, ketuanya di firma Researching of Biologichal Science and Technology itu siang-siang lagi telah mengisyaratkan agar dia bekerja keras di tempat baru. Di sana dia akan bekerja bersama beberapa orang saintis dan ‘Research Assistant’.
Sebelum kakinya melangkah meninggalkan pulau itu, Ain sempat menghulur sesuatu kepada Fairul. Sebagai tanda kenangan, kata Ain. Ada riak sedih di wajah comel itu. Mampukah dia menahan kesedihannya berpisah dengan seorang pemuda bernama Fairul itu? Pemuda yang tanpa dipinta mula mengisi sebuah kamar yang istimewa di hati Ain. Biarpun hanya Ain yang tahu.
"Jaga diri baik-baik," pesan Fairul kepada Ain. "Jangan lupa kat abang tau..."
"Abang...., jangan lupa kirim surat ye?" ujar Ain pula. Ain ingin berkata-kata lagi tetapi keadaan seperti itu seakan mengeraskan lidahnya.
"Insya-Allah, doakan abang selalu. Ok, semua! Assalamualaikum!!!" Itulah lafaz terakhir Fairul Ikmal sebelum bot laju itu perlahan-lahan dikemudi meninggalkan pulau itu.
Tinggallah semuanya. Tinggal dengan kenangan yang diukir oleh pengukir-pengukirnya. Tinggal jua Nur Ain dengan rahsia hatinya.

Tiada ulasan: