Halaman

22 Januari 2009

dIARI bIRU (Episod 9:Akhir)


"Saat ini saya tidak tahu saya di mana. Saya hanya tahu yang saya tidak akan kembali lagi ke dunia nyata. Alam yang saya bakal tempuhi pastinya terlalu asing buat saya. Namun, itu hanya sebahagian daripada perjalanan yang telah ditetapkan susur-galurnya. Saya pasrah dengan ketentuan ini.
Maafkan saya. Saya tiada niat untuk merahsiakannya. Saya sekadar tidak mahu menyusahkan sesiapa. Saya mengaku, saya tidak tahu sama ada tindakan saya ini betul atau tidak. Saya cuma melakukannya mengikut gerak hati saya. Sudah lama saya menanggung beban sakit yang sukar dirawat ini. Sudah lama juga hidup saya berterusan dengan bergantung pada ubat yang diberi doktor. Lebih pasti, sudah sekian lama saya meneruskan hidup dengan rahmat Tuhan. Saya bersyukur kerana saya sempat mengenali awak, Eliya. Di sebalik saya menerima awak, saya juga mengharapkan awak menerima saya seadanya saya ini. Saya sedar siapa diri saya. Saya hanya mampu melakar harapan untuk awak. Malah saya tahu, saya sukar mengukir harapan yang saya beri pada awak untuk diatur menjadi arca sebenar. Harapan itu terlalu sukar untuk menjadi kenyataan. Saya tahu semua itu. Tetapi saya tiada niat untuk mempermainkan hati dan perasaan awak.


Apalagi yang boleh saya ajukan pada awak sekarang selain lafaz kemaafan tanpa suara ini. Jika diizinkan Tuhan kita pasti akan bertemu lagi di alam lain. Saya harap pertemuan kita di alam dunia tidak berakhir begitu sahaja. Saya akan terus menanti awak. Itulah doa saya saban waktu. Mungkin di sana nanti pertemuan kita akan lebih bermakna biar dalam apa jua keadaan sekalipun. Maafkan saya. Saya dengan setulusnya memohon maaf dan maaf jua saya hulurkan pada awak dan pada sesiapa jua yang pernah mengenali saya.


Eliya, pelayaran ini tidak mudah. Kita tidak tahu di mana akan berlabuh. Saban detik ombak memukul dan menggoncang bahtera dalam pelayaran ini. Ombak itu terus menguji kekuatan kita. Jangan terjun ke lautan. Jangan tinggalkan bahtera itu. Jaga bahtera itu. Lindungi ia sepertimana ia melindungi awak. Suatu masa nanti jika ada daratan untuk berlabuh, pilihlah pelabuhan yang pernah mempertemukan kita dahulu. Mana tahu jika di situ Tuhan mengizinkan saya menanti awak. Seperti mana Adam menanti Hawa. Seperti mana Tuhan mempertemukan mereka di Arafah. Mungkin seperti itu kita akan bertemu kelak. Di suatu padang yang pasti.
Simpanlah Diari Biru ini baik-baik. Jagalah ia seperti awak menjaga diri awak sendiri. Inilah azimat cinta kita. Semoga Tuhan merestuinya........ amin!"


Eliya menutup Diari Biru itu. Dipegangnya erat-erat. Dipeluknya sekuat hati. Sekuat itulah dia mengolah rindu yang hadir. Sekuat itu juga dia harus berjuang untuk meneruskan hidup.


Dalam menahan kesakitan itu Eliya terus-terusan memegang Diari Biru itu. Sofea Natasha yang menyampaikan kepadanya tadi. Saat itu Eliya sangat mengharapkan Sofea Natasha ada di situ, di sisinya, tetapi Sofea Natasha terpaksa pulang ke kampus untuk menduduki peperiksaan akhir semester. Sedangkan Eliya terlantar tidak bermaya di katil hospital besar itu. Ibunya dikatakan dalam perjalanan. Entah berkesempatan atau tidak Eliya menatap wajah ibunya untuk kali yang terakhir. Mungkin.


Eliya membuka semula Diari Biru itu dan cuba menulis sesuatu di halaman terakhir diari itu. Halaman itu masih kosong. Sepenuh sisa tenaga yang masih tinggal, Eliya cuba menamatkan tulisannya. Semuanya menjadi kelam saat Eliya menandakan noktah terakhir. Serentak dengan itu pena di jarinya rebah.


'Ibu, angah mohon kemaafan dari ibu. Angah banyak buat salah pada ibu. Maafkan angah, ibu. Angah rindu nak lihat wajah ibu. Tapi masa angah makin suntuk. Angah takut tak sempat. Angah mohon ibu maafkan angah. Halalkan segala pengorbanan ibu pada angah. Angah tak mampu balas jasa dan pengorbanan ibu. Angah harap ibu tabah menghadapi semua ini. Doakan angah, ibu.
Ibu, angah ada satu permintaan. Angah harap ibu tak keberatan untuk menunaikan permintaan angah ini. Ibu ingat lagi Imran Khairi yang angah pernah ceritakan kat ibu dulu? Dia dah pergi dulu, ibu. Angah sedih tak dapat jumpa dia. Saat dia pergi, angah sendiri terlantar di sini. Tolong angah, ibu. Tolong kebumikan jenazah angah di sebelah pusaranya. Ibu, angah rasa masa angah dah sampai. Sakitnya, ibu.... !'


"Ya Allah!!!"


Berjurai-jurai air mata Puan Azimah. Dia tidak mampu menahan kesedihan saat melihat jenazah anak kesayangannya itu dimasukkan ke liang lahad. Kau pergi dulu, anakku, bisik hati kecil Puan Azimah.


Di satu sudut dalam kamar tidur itu, Diari Biru diam tidak terusik. Puan Azimah meletakkannya di situ. Di kamar allahyarhamah Eliya Ameera, anak kesayangannya. Itulah pengubat rindunya pada Eliya. Itu jugalah tanda kasih arwah anaknya dan Imran Khairi. Biarpun sudah lebih sebelas tahun berlalu, Puan Azimah masih menjaga diari itu dengan baik.


Bicara Akhir


"Dia masih berlayar di lautan itu......!" Sapa suatu suara di belakangku.


"Siapa?" soalku.


"Imran Khairi...."


"Belum bertemu daratan lagi?"


"Belum, tapi dia tidak seorang lagi."


"Dia dengan siapa?"


"Bersama kekasihnya... Eliya Ameera...!"


Diari Biru kututup baik-baik. Walaupun sudah agak usang, tetapi tulisan di dalamnya masih boleh dibaca dan difahami. Tali pengikat helaian pun sudah tidak cukup kuat. Hampir-hampir sahaja terburai.


Terharu aku dengan kisah cinta dua insan itu. Arwah nenek yang menghadiahkan aku Diari Biru itu kepadaku semasa aku menyambut hari lahir ke- 21 tahun. Kini, akulah penjaga Diari Biru itu.


Seandainya aku adalah Imran Khairi dan dia adalah Eliya Ameera.......

Tiada ulasan: