Halaman

14 Januari 2009

dIARI bIRU (Episod 8)


Aku gagahi langkah kakiku meniti jalan-jalan yang semakin berliku ini. Aku tidak pasti ke mana arahku. Entahlah, sekarang hanya aku yang berada di sini. Langit yang membiru diserikan dengan cahaya purnamanya rembulan. Cuaca sangat baik malam ini. Cuma aku yang kurang baik. Tiba-tiba sahaja tadi dadaku sakit. Aku tahu kenapa tetapi aku seperti biasa kurang menghiraukannya. Sememangnya selalu aku begitu. Aku dah terbiasa dengan kesakitan itu tetapi kali ini lain sedikit. Sakitnya terlalu kuat. Seolah-olah menolak keupayaanku untuk menahannya. Langkah kaki yang kuhayun semakin payah. Batuan jalan seakan ada pelekat yang melambatkan pergerakanku. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Melihat kalau-kalau ada sesiapa yang berhampiran. Boleh juga aku memohon pertolongan. Aku benar-benar tidak mampu. Tiada sesiapa. Aku jadi hampa. Ya Tuhan, usah biarkan aku begini...! Syukur pada Tuhan, sebuah kereta melalui jalan yang kususuri itu. Segera aku menahannya. Semoga aku belum terlambat.


"Keadaan awak terlalu kritikal."


Seorang doktor yang siap beruniform dengan stetoskop tergantung di leher memberitahuku. Aku kenal doktor itu. Dia Doktor Iza yang sering aku temui di hospital ini.


"Akak dah beritahu Doktor Badrul, jika ujian darah Imran selesai, mungkin kita akan buat satu ‘operation’." Jelas Doktor Iza yang lebih senang membahasakan dirinya ‘akak’ denganku.


Aku masih diam. Aku tidak mampu bersuara. Apatah lagi berbicara. Mulutku diserkup dengan alat bantuan pernafasan. Dadaku masih lagi berombak kuat. Hakikatnya, pandanganku kabur tetapi aku masih boleh mendengar bicara Doktor Iza.


"Awak berehat dulu ye, Imran. Akak datang lagi nanti." Ujar Doktor Iza sambil mengusap kepalaku. Aku dapat mendengar hentakan kakinya meninggalkan aku di dalam bilik itu. Seakan aku dapat merasakan masaku semakin hampir. Satu demi satu keresahan menjengah ke sudut hatiku.

Tiada ulasan: