Halaman

30 Januari 2009

Jawapan Sebuah Penantian (Episod 01)


Seketika lagi, menjelang tiba saat yang sentiasa dinanti-nanti. Saat untuk Ain meleraikan kerinduan yang lama bersarang di hati. Semakin lama semakin kukuh kerinduan itu. Ain seolah-olah tidak sabar-sabar lagi. Entah bagaimana keadaan insan yang amat dirindui oleh dirinya itu. Hati yang sentiasa tertanya-tanya dalam kerinduan tanpa jawapan. Seboleh-bolehnya Ain tidak mahu menunggu lebih lama lagi untuk pertemuan itu. Pertemuan yang pertama sejak sekian lama terpisah.
Apakah ikatan yang mengikat hatinya dengan insan itu? Sedangkan mereka tiada langsung apa-apa pertalian darah umpamanya adik-beradik atau saudara-mara. Entahlah, jalinan hati antara Ain dan insan itu sangat bermakna. Bunga ukhwah itu mekar selepas disemai suatu waktu dulu. Ada sesuatu yang simbolik dalam perhubungan itu. Biarlah apa kata orang, Ain sudah tidak ambil pusing lagi. Memang setiap orang ada hak untuk berbicara. Bicara apa pun. Tetapi terpulanglah kepada dirinya untuk menilai atau menerima kata-kata orang itu. Selagi ada keyakinan dengan apa yang dilakukan itu betul, selagi itu tiada apa yang perlu digusarkan.
Andainya semalam dia bermimpi. Selalu Ain berharap insan yang dirindui itu hadir sekali. Tak kisahlah walaupun sekadar dalam mimpi. Itu lebih baik, kata Ain. Sekurang-kurangnya figura insan itu masih segar dalam memorinya. Biarpun mungkin akan ada perbezaannya nanti, figura asal tentu akan dapat membantu untuk mengenalpasti insan itu.
"Mana ni wak? Tak sampai-sampai pun. Betul ke dia janji nak jumpa kita kat sini?" Ain mula resah bila orang yang dinanti tak kunjung tiba.
"Betullah kat sini. Sabarlah, wak... Kejap lagi sampai la tu."
"Mana? Tak ada pun. Janji pukul 10. Sekarang tengok dah lebih 15 minit ni..."
"Sabo..., doa-doalah sikit biar dia selamat. Mana tahu ada aral kat tengah jalan." Iman cuba menenangkan suasana.
Tempoh lima belas minit telah pun berlalu. Masih tiada lagi bayangan Fairul. Entah akan muncul atau tidak. Dua orang gadis yang menantinya sudah diselubungi kebimbangan. Mereka sedar bukanlah mudah untuk ke tempat itu. Perlu meredah lautan luas. Ya, lautan luas. Lautan yang kini terbentang di hadapan mereka. Lautan itu yang memisahkan mereka dengan insan yang sedang dinanti itu. Nur Ain dan Nurul Iman masih lagi menanti. Di dalam hati mereka tidak putus-putus doa sepenuh harapan. Semoga insan yang dinanti oleh mereka itu akan selamat sampai. Lama sudah pulau itu menanti hadirnya.
Merujuk kepada surat yang dikirimnya, benarlah hari ini, Fairul akan ke pulau itu. Fairul benar-benar disua dengan kerinduan yang hebat. Puncanya hanya kerana perpisahan yang hadir lima tahun yang lalu. Ketika itu Fairul perlu pulang ke tanah besar. Ada keperluan, kata majikannya. Dalam berat hati, Fairul tinggalkan jua pulau itu. Bukan sahaja meninggalkan pulau bersejarah itu tetapi turut meninggalkan kenangan bersama insan-insan yang disayanginya. Perasaan sayang yang hadir sejak perkenalan mereka bermula.
"Karang ini bukan selalu ada. Cantik ‘kan?"
"Hmm, cantik. Secantik orang yang memegangnya..."
Fairul tersenyum selepas mengusik Ain. Tersipu-sipu Ain dibuatnya.
"Err, jadi ke abang nak balik ke seberang?"
"Mana tak jadinya. Encik Azmil dah call abang pagi tadi. Dia ingatkan lagi tentang tarikh abang kena lapor diri."
"Bila?"
"Hujung bulan ni."
"Jadi, dah tak lama lagi? Mmm, tinggallah kami kat sini...."
"Hmm.., apa nak dikisahkan, abang pun bukan orang pulau ni. Adatlah kalau jadi anak dagang. Sampai masa kena kembali juga."
"Bila abang akan datang ke pulau ni lagi?" soal Ain. Ada riak gharib di wajahnya.
"Hei, apa ni? Janganlah sedih. Abang belum pergi lagi..."
"Eh?! Siapa sedih? Mana ada? Tak sedih pun." Balas Ain sambil memalingkan wajahnya.
Perbualan itu terhenti sebaik sahaja Iman datang mencelah. Terserlah riang di wajahnya. Iman tidak datang seorang. Di kiri dan kanannya, Aliya dan Izzah.
"Hah! Buat apa ni? Dari jauh kami nampak macam ada yang menarik je. Tak nak kongsi dengan kami ke?" kata Izzah. Sempat dia menyiku Ain.
"Tak ada apa-apa. Korang ni..., jangan pandai-pandai fikir yang bukan-bukan eh?" balas Ain bersahaja.

Tiada ulasan: