Halaman

01 Januari 2009

dIARI bIRU (Episod 6)


Sofea Natasha memandang sayu sahabatnya yang semakin pucat itu.


"OK, sekarang awak bagitau saya, apa sebab awak pengsan semalam?" Sofea Natasha cuba menjebak Eliya. Entahlah, seolah-olah dia merasakan yang Eliya cuba menyembunyikan sesuatu daripadanya.


"Mungkin penat sangat kot.... Lagipun awak pun tahu saya tak minum pagi hari tu." Eliya cuba memberi alasan. Minta-minta Sofea Natasha akan mempercayainya. "Saya dah OK sikit ni, tak payahlah pergi klinik, kay?"


"Suka hati awaklah, cik Eliya. Dah pakai tudung tu cepat, kita turun sekarang. Tentu Imran dan Afzan dah tunggu kat bawah," kata Sofea Natasha yang melegakan sedikit perasaan Eliya.


"Nak buat apa turun? Awak jelah jumpa diorang. Saya nak study sikit ni. Cakapkan yang saya minta maaf sebab susahkan diorang,” sekali lagi Eliya memberi alasan, cuba mengelak daripada bersoal jawab dengan Imran pula selepas itu.


Ya Salam! Pelik sungguh Eliya ni, getus hati Sofea Natasha. Selalunya dia jarang mengelak untuk bertemu Imran. Terpulanglah, bisik hati Sofea Natasha. Perlahan-lahan Sofea Natasha menuruni tangga asrama.
Di bawah Asrama Tun Teja.....


"Kenapa dengan dia?" soalku kepada Sofea Natasha. "Awak tak pujuk dia ke Tasha?"


"Hmm, puas dah saya memujuk, Imran... Dia kata dia dah OK. Tapi wajahnya masih pucat lagi." Sofea Natasha menjawab sambil menggelengkan kepalanya, menyerlahkan air muka kerisauannya.


Aku turut menggelengkan kepala. Degil betul Eliya. Langsung tidak memikirkan kebimbangan yang terbit dalam hati kecilku ini. Aku memandang Afzan. Dia mengangkat bahu. Tiada reaksi positif dari renungan mata Sofea Natasha. Dia juga diam membatu. aku meminjam telefon bimbit Afzan untuk menghubungi Eliya kerana kredit pra-bayarku telah habis digunakan.


"Eliya, boleh turun bawah kejap tak?" soalku selepas Eliya menjawab salamku. Tiada jawapan. Sunyi seketika. 'Eliya, please...., saya tunggu kat bawah ni... Turun ye.." aku cuba memujuk Eliya. Aku tahu selama aku kenal dia permintaanku tak pernah dikecewakan.


Masih tiada jawapan. "Saya tahu awak dengar, kami kat bawah ni tunggu sampai awak turun..." Itulah kata-kata terakhirku sebelum memutuskan panggilan itu.


Tepat jangkaanku, tidak sampai sepuluh minit kemudian, Eliya turun juga ke bawah Asrama Tun Teja.


"Jom, kita pergi..." ujar Eliya. Kata-kata itu tidak diduga sama sekali.


"Tadi..., awak...." Sofea Natasha memandang serius ke arah Eliya.


"Dah, dah. Jom. Nanti lambat pula kita nanti ," pintasku selepas melihat air muka Eliya mula berubah.


Dalam perjalanan itu suasana yang sepi pada mulanya dikejutkan dengan soalan pertama dari Afzan.


"Awak kenapa semalam?" soal Afzan kepada Eliya. Aku segera menyiku Afzan.


"Saya rasa saya penat sangat semalam. Tapi tak tahulah kalau ada sebab lain. Ni pun saya rasa dah OK jek. Tapi nak buat macam mana dah orang paksa." Berdentum sahaja bunyinya di telingaku. Sempat juga dia menempelak aku.


"Saya tak paksa. Tapi keadaan awak tu yang merisaukan semua orang," jawabku dengan tenang. Cuba setenang mungkin.


"Tapi saya OK apa? Apa yang teruknya? Saya rasa macam biasa saja hari ni," balas Eliya. Sofea Natasha hanya mengukir senyum. Ada makna di sebalik senyuman itu.


Sebaik tiba di klinik, Sofea Natasha menemani Eliya ke bilik doktor. Sementara aku dan Afzan menanti di luar sahaja.


Lama juga aku dan Afzan menanti di ruang tamu klinik itu. Aku lihat Afzan sedang asyik membaca majalah yang diambilnya dari sebuah meja kopi di sebelahnya. Aku pun jadi malas hendak menegurnya. Biarkan sahaja dia dengan keasyikannya itu. Aku mula rasa sedikit bosan dengan suasana yang sepi itu. Tiada pesakit lain di klinik itu. Lantaran itu, hanya aku dan Afzan di luar masih menanti. Aku mengambil keputusan membaca artikel-artikel dan poster-poster yang ditampal di beberapa papan kenyataan di klinik itu. Aku rasa tiada yang menarik. Biasalah, namapun klinik, tentu sahaja apa yang ditonjolkan adalah tentang kesihatan, penyakit, rawatan dan bermacam-macam lagi yang ada kaitan dengan dunia perubatan.


Tetapi ternyata itu tidak dapat menghilangkan rasa bosan yang mula aktif dalam diri. Lama pula masa yang diambil untuk pemeriksaan doktor itu. Serius sangatkah Eliya? Sekali lagi aku diselubungi kebimbangan. Mudah-mudahan hanya sakit biasa sahaja. Mudah-mudahan. Hawa aircon yang diprogramkan agak perlahan itu sedikit sebanyak menambahkan kedinginan pagi. Tidak tahulah sama ada memang suhunya dingin atau aku yang kedinginan kerana proses fisiologi dalam tubuhku sendiri. Ah! Itu semua tidak penting, aku lebih bimbangkan kondisi Eliya sekarang. Aku memang berdoa tiada apa-apa yang serius berlaku.


Pintu bilik doktor dikuak, kelihatan Sofea Natasha dan Eliya keluar dengan wajah yang tenang. Tiada sedikitpun ada terpapar dari riak wajah comel kedua-dua sahabat baik itu rona kebimbangan.


"Macam mana?"


"Tak ada apa-apa. Janganlah risau sangat." Eliya cepat sahaja menjawab soalanku.


"Doktor kata, Eliya Cuma penat sangat semalam. dia tak cukup rehat sejak beberapa hari ni," Sofea Natasha pula menyambung bicara Eliya. Matanya merenung Eliya.


"Alhamdulillah. Nak ke mana kita lepas ni?" soalku. Menarik nafas kelegaan. Afzan tersengih sahaja sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.


"Pulang saja." Ringkas jawapan yang terpacul dari mulut Sofea Natasha.


"Ya, kita pulang sekarang. Saya nak bersiap. Rasanya petang ni saya nak balik rumah."


Eliya menyambung bicaranya sambil kakinya melangkah masuk ke dalam kereta Afzan. "Esok tak ada kelas ke?' Afzan menyoal Eliya. Dia sudahpun menghidupkan enjin kereta.


"Dapat MC. Doktor bagi. Lagipun nak rehat sikit kat rumah."


Afzan menganggukkan kepalanya tanda memahami. Kami memulakan perjalanan pulang. Dalam perjalanan itu Sofea Natasha tidak banyak berbicara. Terlalu mendiamkan diri. Eliya pula rancak berbicara. Memang begitu sikapnya. Sangat petah berbicara. Tiba-tiba cerahnya pagi itu diselubungi kesuraman. Awan mendung menghiasi dada langit. Hebat sungguh kekuasaan Ilahi. Mudah sahaja bagiNya mengatur perjalanan makhluk-makhlukNya di alam ini. Syukur pada Tuhan, kami sempat tiba di kampus sebelum hujan membasahi bumi.

Tiada ulasan: