Halaman

05 Januari 2009

dIARI bIRU (Episod 7)


Sang rembulan yang sedang purnama itu bercahaya terang. Pantulan cahaya pinjaman sang suria menyimbahi bumi. Suasana kelam malam sedikit terusik dengan simbahan cahaya sang rembulan itu. Sesekali lembut bayu malam menyapa ke setiap anggota tubuh yang tidak tertutup. Sedikit menggigil kerana terasa juga kedinginannya. Aku menghirup nyamannya udara malam itu. Aku dirasuk dengan keasyikan yang tiada kosa kata dapat menggambarkannya. Asyik dengan nikmat Tuhan yang tidak berbayar. Percuma sahaja untuk umat manusia yang mendiami bumi. Terima kasih Tuhan. Sungguh aku cuba untuk tidak melupakan nikmat udara kurniaanMu yang Maha Hebat ini. Tiada sebarang nilaian di dunia ini yang mampu membayarnya. Malah, Engkau wahai Tuhan tidak pernah meminta apa-apa balasan daripada manusia. Malah, saban waktu nikmat itu dinikmati sehingga hujung nyawa. Selagi ajal belum tiba. Maha Pemurahnya Engkau wahai Tuhan. Syukur ini tidak senilai kurniaan dan anugerah yang telah Kau berikan padaku. Satu daripadanya dengan nikmat kasih sayang sesama insan ini, memberi aku peluang untuk merasainya. Aku jadi makin takjub dengan kekuasaanMu. Melalui nikmat kasih sayang ini, dan dengan keizinanMu, aku telah bertemu dengannya. Mengenalinya, kemudian dalam tidak sedar aku mula menyayanginya. Indahnya perasaan ini, wahai Tuhan. Kau terlalu memahami fitrah hambaMu. Aku mengerti kini. Perlunya Kau menjadikan Hawa sebagai teman kesunyian Adam. Aku mula semakin mengerti.




Semakin hari, aku semakin mengerti dan akan terus cuba mencari erti. Erti sebenar sebuah kasih sayang yang sejati. Kasih sayang yang bukan nilaiannya wang emas atau perak. Tetapi terletak pada hati yang ikhlas dan tingkah yang dicorak.



Aku bersyukur kerana mengenalinya. Hari demi hari aku akan terus menanti hikmah atas pertemuan aku dan dia ini. Entahlah, kadangkala pengertianku terhenti. Lalu, aku selusuri jalan-jalan harapan. Membuatkan timbul satu persoalan dalam benak fikiran. Adakah mungkin impianku akan tercapai? Atau aku hanya menukilkan sebongkah angan-angan? Oh Tuhan, jika ini hanya anganku, Kau izinkanlah anganku itu menjadi kenyataan.

Tiada ulasan: