Halaman

10 November 2008

Pelangi Hati (Episod Ketiga)


Mana Abang Ikhwan ni? Soalan itu terpacul perlahan dari bibir Efi Nafeesa. Sudah hampir setengah jam dia menanti. Jadi atau tidak jadi? Kalau tak jadi mengapa tiada makluman? Hendak dihubungi, Efi Nafeesa tidak membawa ‘coin’, telefon bimbitnya macam biasalah, masih belum ditambah kreditnya. Selalunya Abang Ikhwan tidak begini.

Baru sahaja Efi Nafeesa hendak bangun, tiba-tiba dia disapa suatu suara yang cukup dikenalinya. Cepat-cepat, dia dihulurkan dengan salam kemaafan daripada Abang Ikhwan. Kata Abang Ikhwan, dia terlambat kerana pergi berjumpa pensyarah untuk ‘assignment’ terbarunya. Hmm, bolehlah diterima alasan itu, bisik hati Efi Nafeesa.

Efi Nafeesa kembali melabuhkan punggungnya ke dada kerusi sambil membetulkan kedudukannya. Kini, Abang Ikhwan duduk betul-betul di hadapannya. Dia ingin sekali tahu tujuan sebenar Abang Ikhwan menemuinya petang itu.


Seperti biasa, Abang Ikhwan sarat dengan gurauannya. Sesekali, dia tersenyum dengan gurauan Abang Ikhwan. Memang Abang Ikhwan pandai mengambil hatinya. Sebab itu, kalau dia runsing atau ada masalah, dia akan segera menghubungi Abang Ikhwan. Walaupun adakalanya, masalahnya tidak menjadi topik utama perbualan, setiap butiran kata yang keluar daripada mulut Abang Ikhwan seolah-olah menjadi penghiburnya. Segala nasihat dan syarahan ringkas Abang Ikhwan menjadi azimat untuk dia terus tabah menghadapi ujian kehidupan.


Tidak ramai orang yang seperti Abang Ikhwan. Efi Nafeesa terlalu beruntung kerana mengenali Abang Ikhwan. Sejak dia memasuki institusi pengajian tinggi ini, dia tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki seperti rapatnya dia dengan Abang Ikhwan. Walau ada juga yang menduga hatinya, tetapi seringkali jawapan yang tidak memihak kepada si penduga sering digunakan olehnya. Entahlah, dia memang sudah menutup pintu hatinya untuk orang lain.

"Semalam abang dengar ada khabar kurang baik tentang Efi. Sebab tu, abang nak jumpa Efi petang ni. Nak kan kepastian," akhirnya Abang Ikhwan menyatakan juga tujuan sebenarnya.
"Fasal apa? Hmm, mesti ada yang buat cerita lagi ni..."
"Kali ni, bukan kes macam dulu..., ni hal ‘study’. Puan Syarifah sendiri bagitau kat abang. Terkejut juga juga abang dibuatnya. Kenapa sampai macam tu, Efi?"
"Errr..... sebenarnya...., tak tahulah, bang. Efi pun tak tahu kenapa...."


Rasanya macam ditimpa gunung Efi Nafeesa hari itu. Bertubi-tubi mentalnya diserang Abang Ikhwan. Satu demi satu nasihat disuarakan oleh Abang Ikhwan. Efi Nafeesa sampai tak sempat nak menjawab. Maka, apalagi yang boleh dilakukannya pada saat itu. Hanya mampu mendengar luahan marah dan kesal Abang Ikhwan terhadapnya. Kata-kata Abang Ikhwan ada benarnya. Memang salah dirinya sendiri kerana tidak mahu bersungguh-sungguh dalam menyiapkan ‘assignment’ Makroekonomi seperti yang diarahkan oleh Puan Syarifah. Dia bukan sengaja tetapi apa juga alasan yang diberikannya sekadar untuk melepaskan diri. Efi Nafeesa sedar kesilapannya itu. Abang Ikhwan patut bertindak begitu walaupun ada juga beberapa perkataan dan ayat yang seakan-akan mengguris hati kecil Efi Nafeesa. Apapun yang Abang Ikhwan katakan kepadanya, Efi Nafeesa cuba menerima dengan hati terbuka.


"Kalau boleh lepas ni, abang tak nak lagi dengar kes macam tu daripada mulut ‘lecturer’-‘lecturer’ Efi. Kalau ada apa-apa yang Efi tak faham, jangan takut nak tanya ‘lecturer’. Kalau nak tanya abang pun boleh. Abang akan bantu mana yang mampu."
"Hm-hmm...." ringkas sahaja jawapan Efi Nafeesa. Dituruti dengan anggukan lemah.


"Oklah, Efi. Dah banyak abang cakap tentu banyak salahnya. Abang minta maaf banyak-banyak, kay. Bukan niat abang nak marah Efi, tetapi Efi sendiri boleh berfikir secara waras. Semuanya untuk kebaikan Efi juga. Abang minta maaf, kay?"
"Emm, takpe..., Efi yang salah. Efi memang tak guna ‘kan?"
"Efi..., menyalahkan diri sendiri seratus peratus bukan penyelesai masalah. Apa yang penting Efi sekarang dah sedar dan Efi kena berubah. Abang akan sentiasa bersedia untuk ‘support’ Efi."


Efi Nafeesa masih tunduk ada maniik-manik jernih yang hampir gugur dari kelopak matanya. Cuba ditahan tetapi apakan daya, gugur jua akhirnya. Efi Nafeesa menangis. Bukan kerana kecil hati dengan tindakan Abang Ikhwan. Lebih kerana terharu dengan sikap Abang Ikhwan yang sangat mengambil berat terhadap dirinya.


"Ok, terima kasihlah sebab Abang Ikhwan dah banyak bantu Efi.... Efi ni selalu menyusahkan orang lain ‘kan?"
"Efi tak boleh cakap macam tu. Abang tak kisah, selama ni abang puas hati kalau dapat tolong Efi. Lagipun, ini untuk kepentingan jemaah kita juga. Efi kena banyak bersabar. Efi dah janji dengan abang dulu yang Efi nak jadi kuat ‘kan? Tak mahulah abang tengok Efi macam ni.... Senyum sikit...."


Perlahan-lahan Efi Nafeesa berhenti menangis. Serta-merta terukir senyum di bibirnya. Dia tahu yang dia perlu kuat setiap kali menghadapi ujian Tuhan. Abang Ikhwan selalu mengingatkannya supaya bersabar dan tabah hati. Kata Abang Ikhwan, hidup ini tidak pernah terlepas daripada diuji. Sedangkan hidup itu juga sudah ujian untuk manusia. Kalau tidak mahu diuji, janganlah hidup di muka bumi ini. Setiap manusia yang beriman itukan ada bahagian ujian masing-masing. Maha Suci Allah yang menurunkan ujian sebagai tanda kasih kepada hamba-hambaNya yang beriman itu. Bukan bermakna Allah lemah sehingga tidak tahu tentang keadaan iman hambaNya, lalu diuji keimanan mereka. Tetapi itu hanya kelangsungan sunnatullah yang telah tetap sejak azali. Maha Suci Allah daripada sebarang kekurangan dan kelemahan.


Pertemuan petang itu sangat meninggalkan kesan di hati Efi Nafeesa. Hatinya begitu tersentuh dengan kata-kata yang terluah dari bibir Abang Ikhwan. Tentunya kata-kata itu adalah tafsiran apa yang terbuku di hati. Efi Nafeesa tahu Abang Ikhwan sangat ikhlas dalam menasihatinya. Sedikitpun tidak terkandung curiga di hatinya. Beruntungnya dia kalau Abang Ikhwan benar-benar dapat mengerti hati dan perasaannya. Tetapi siapalah dia untuk memulakan. Status Abang Ikhwan sendiri sudah membuatkan Efi Nafeesa payah untuk meluahkan.


Tidak seperti senior-seniornya yang lain, Abang Ikhwan sangat berlainan. Abang Ikhwan terlalu serius dalam mengambil berat setiap masalah junior-junior yang se’fakulti’ dengannya. Apatah lagi kalau juniornya itu adalah ahli Persatuan Nur Hikmah. Sebenarnya bukan sahaja Efi Nafeesa yang sering dipantau oleh Abang Ikhwan, ramai lagi siswa dan siswi yang turut diambil berat olehnya. Sikap Abang Ikhwan yang suka membantu orang lain itu membuatkan Efi Nafeesa bertambah kagum dengannya.

Tiada ulasan: