Terima kasih, Abang Ikhwan
"Saya rasa prestasi awak sekarang lebih baik daripada dahulu. Lihat keputusan ujian kedua ini, agak memberangsangkan. Bagus!," ujar Puan Syarifah sambil memandang tepat ke wajah Efi Nafeesa.
"Terima kasih, puan." Efi Nafeesa menjawab dengan ringkas. Ada riak senyum di wajahnya.
"Saya harap awak dapat kekalkannya. Saya tahu awak ada kemampuan untuk melakukannya. Jika ada apa-apa masalah lagi jangan segan untuk jumpa saya."
"Baik puan. Boleh saya minta diri, puan... err, saya ada kelas MGT lepas ni.." ujar Efi Nafeesa.
Efi Nafeesa melangkah keluar dari bilik Puan Syarifah Hayati dengan rasa gembira yang berbunga-bunga. Akhirnya dia dapat buktikan yang dia juga boleh melakukan yang terbaik seperti orang lain. Saat kakinya melangkah ke bilik kuliah, mindanya tiba-tiba teringatkan Abang Ikhwan.
Hmmm, Abang Ikhwan turut menjadi salah satu watak yang telah merubah dirinya. Terima kasih, Abang Ikhwan.
Rehlah dan Riadah
"Kita buka sesi mesyuarat kita kali ini dengan Ummul Quran...., al-Fatihah..."
Itulah kata arahan yang pertama keluar dari mulut Akhi Fairul Ikmal, pengerusi mesyuarat merangkap Pemangku Amir Persatuan Nur Hikmah. Sesi mesyuarat kali itu dihadiri oleh semua anggota majlis tertinggi dan juga Pengerusi serta Naib Pengerusi biro-biro dalam persatuan tersebut. Efi Nafeesa turut hadir kerana dia memegang jawatan Naib Pengerusi Biro Perhubungan Luar. Sementara Abang Ikhwan pula adalah Pengerusi Biro Rehlah dan Riadah.
Agenda utama mesyuarat itu adalah tentang program Rehlah dan Riadah yang akan diadakan pada hujung bulan itu. Abang Ikhwan merupakan Ketua Projeknya dan dibantu oleh Kak Nur Laila yang juga Naib Pengerusi biro yang sama dengannya. Maka, dalam mesyuarat kali itu, Abang Ikhwan yang banyak berbicara. Terutama dalam bab menjelaskan tentang perancangan dan persiapan akhir sebelum program itu dapat dilaksanakan. Abang Ikhwan bukan sahaja memberi penerangan tetapi turut dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang kebanyakannya datang daripada Akhi Fairul Ikmal.
Memang program Rehlah dan Riadah kali itu agak berbeza daripada program yang sama yang pernah dijalankan oleh persatuan tersebut. Maka, perancangan dan persiapan yang rapi perlu dilakukan agar dapat mengelakkan berlakunya masalah ketika program itu dilaksanakan nanti. Sekurang-kurangnya dengan adanya mesyuarat seperti itu, setiap sudut persiapan dapat dilihat dan berbagai-bagai kelemahan yang timbul boleh ditangani dengnan bijaksana.
Hampir sejam berlalu, mesyuarat Program Rehlah dan Riadah sudah sampai ke penghujungnya. Akhi Fairul Ikmal yang mempengerusikan mesyuarat mengambil tanggungjawab untuk melakukan penggulungan dan membuat ‘final order’ untuk kesemua ahli jawatankuasanya.
"Baiklah... Ikhwan, sebagai KP program, saya harap awak sentiasa pantau setiap gerak kerja anak-anak buah awak. Kemudian, sila pastikan ada kesinambungan kerja antara jawatankuasa-jawatankuasa kecil yang telah dibentuk. Dan awak Efi Nafeesa, sila hubungi segera pihak pentadbir lokasi program ini. Sentiasa dapatkan makluman terkini tentang situasi dan kondisi di tapak program untuk memastikan segala persiapannya berjalan lancar. Err...., kalau boleh awak dan Nur Laila dapat selaraskan tarikh untuk AJK persiapan tempat memulakan tugas mereka. Baiklah, akhir sekali , saya harap program kita kali ini akan berjalan dengan lancar dan mendapat keberkatan Allah Subhanawata’ala... insya Allah. Kepada semua ahli jawatankuasa terlibat, lakukanlah setiap tugas dengan penuh amanah, mudah-mudahan kita semua beroleh hikmah dan rahmah. Kita tangguhi sesi mesyuarat kali ini dengan tasbih kifarah dan surah al-‘Asr....."
Sebaik sesi mesyuarat itu berakhir, hampir semua yang terlibat mula bersurai kecuali Efi Nafeesa dan beberapa orang lagi yang tinggal.
"Err.., Nur, saya nak tengok laporan untuk jawatankuasa awak boleh tak?" ujar Abang Ikhwan kepada Nur Laila.
"Aaa..... ini dia. Saya dah jumpa dengan Encik Syukur. Insya Allah dia kata tak ada masalah. Cuma dalam sehari dua ni dia akan ‘confirm’kan dengan kita." Jawab Nur Laila sambil menyerahkan sehelai kertas yang tertulis laporan kerja terkini jawatankuasanya.
"Abang Ikhwan, semalam Efi dah ‘contact’ Abang Badri, kalau boleh dia nak kita ‘confirm’kan jumlah peserta dan fasilitator yang terlibat. Bila boleh kita ‘confirm’ ‘kan? Tadi masa ‘meeting’ Anuar kata kita ada masalah sikit dalam hal itu. Macam mana ni?"
"OK, macam ni, abang akan ‘try take-over’ hal itu. Masalahnya kita masih ada beberapa orang yang belum ‘submit’ jawapan diorang. So, insya Allah abang dan Kak Nur akan cuba cari mereka ni esok. Itupun kalau sempat," jawab Ikhwan Hanafi seraya memandang ke arah Nur Laila.
Mata Efi Nafeesa turut memandang ke arah Nur Laila. Lantas Nur Laila memberi reaksi positif - menganggukkan kepala.
Sebentar kemudian mereka turut menyertai yang lain; bersurai. Bilik mesyuarat yang tadinya penuh ditinggalkan kosong. .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan