Menanti hadirnya
"Efi, Abang Ikhwan nak jumpa kat library petang ni. Jangan lupa ye." Ringkas sahaja mesej pesanan ringkas yang tertulis pada skrin telefon bimbitnya. Tidak langsung dinyatakan masanya.
Namun, Efi Nafeesa dapat membuat perhitungan sendiri. Dia seakan tahu masanya. Gerak hati? Bukan. Biasanya selepas Abang Ikhwan habis kelas terakhir, itulah masanya. Kebetulan sahaja Efi Nafeesa juga tidak ada kelas atau kuliah sesi petang. Entah apa agaknya yang ingin dikatakan oleh Abang Ikhwan kepadanya. Dia langsung tidak dapat mengagak dengan tepat. Mungkinkah ada kaitan dengan khabar angin yang sering didengarnya sejak akhir-akhir ini? Ah! Malas dia hendak memikirkannya.
Efi Nafeesa sampai awal. Biasanya memang begitu, dia yang akan menanti hadirnya Abang Ikhwan. Tetapi entah mengapa tidak seperti selalu, hatinya kurang ceria. Bagaikan terasa ada sesuatu yang akan menyentuh hatinya petang itu. Dia cuba melegakan rasa resah itu dengan membaca akhbar hari itu. Namun, berita-berita yang terkandung di dada akhbar tidak sedikitpun menarik minatnya.
Lantas, dia beralih kepada majalah Dewan Siswa edisi terbaru. Selakannya tepat ke halaman cerpen. Cerpen bertajuk “Jawapan” itu menjadi santapan mindanya sementara menanti kehadiran Abang Ikhwan. Hmm, menarik juga kisah yang terkandung di dalam cerpen itu. Bagaimana seorang lelaki yang kecundang dalam mengejar cinta seorang gadis. Namun, yang menariknya lelaki itu cepat bangkit dari ketewasannya, dan akhirnya dia bertemu juga dengan pengganti gadis idamannya. Mungkin itu jawapan cinta yang dicarinya untuk mengisi kekosongan hati. Hmm, mungkin saja.
Efi Nafeesa mengimbau kenangan. Sejenak imbasan kenangan mengenali Abang Ikhwan berputar legar di layar minda. Sejak kehadiran Abang Ikhwan, hidupnya terasa kembali bersinar. Abang Ikhwan banyak membantunya dan sering memberi tunjuk ajar. Saat pertama kali terpandang Abang Ikhwan dalam satu aktiviti persatuan di IPT itu, hatinya sudah mula terasa ingin mengenali pemuda itu. Tetapi, cetusan di hati tersimpan sepi. Benar, dia tidak berani. Dia tidak mahu bertindak sendiri. Lagipun, dia sedar siapa dirinya. Baginya, biarlah detikan hati itu hanya menjadi rahsia hatinya dengan Tuhan yang Maha Mengetahui. Namun, takdir Tuhan mengatasi segala-galanya, entah bagaimana pada suatu hari, Abang Ikhwan sendiri yang mula menegurnya. Teguran yang diimpikan sejak pertemuan pertama dulu.
Sekalipun bicara pertama Abang Ikhwan hanya untuk mengingatkannya dengan khabar angin yang mengaitkan namanya, ia tetap bermakna untuk Efi Nafeesa. Itulah titik mula yang membuka lembaran baru dalam hidupnya. Sebelum itu dia hanya memerhati dan mendengar cerita tentang insan bernama Ikhwan Hanafi itu. Hampir setiap rinci maklumat tentang Abang Ikhwan menjadi koleksi rahsianya. Bukan dia sibuk untuk ambil tahu tetapi populariti Abang Ikhwan yang membuatkan segala hal tentangnya menjadi bual bicara orang.
Efi Nafeesa juga tahu tentang ‘gossip’ yang mengaitkan Abang Ikhwan dengan seorang seniornya dulu. Tetapi dilihatnya Abang Ikhwan tenang menghadapi ‘gossip’ sebegitu. Abang Ikhwan tidak cepat melatah. Dia kagum dengan cara Abang Ikhwan menghadapi fitnah dan umpatan orang tentang dirinya. Semakin hari semakin kuat perasaannya untuk mengenali dengan lebih rapat Abang Ikhwan. Ternyata harapannya tidak sia-sia. Abang Ikhwan bukan sahaja tahu menangani masalahnya tetapi prihatin dengan masalah orang lain juga. Abang Ikhwan cukup berani melawan setiap ancaman fitnah yang menjejaskan imej persatuan Islam yang disertainya. Maka, bertambahlah lagi kekaguman Efi Nafeesa terhadap Abang Ikhwan.
Sejak perkenalannya dengan Abang Ikhwan itu juga, Efi Nafeesa mula menyemai benih-benih kasih di hatinya. Tetapi dia tidak pernah tahu apa yang ada di dalam hati Abang Ikhwan. Dia benar-benar tidak tahu. Mana mungkin dia boleh membaca hati orang lain. Mengagak sahaja bolehlah. Entahlah. Saban hari perasaan kasihnya semakin mekar. Abang Ikhwan betul-betul sudah berjaya membuka semula pintu hatinya yang pernah tertutup.
Dahulu, dia pernah menyayangi seseorang, tetapi harapan kasihnya itu hanya tinggal harapan yang semakin hari, cuba dia lupakan. Masa telah merawat hatinya yang terluka itu. Sejak itu juga, hatinya seakan tertutup untuk menerima cinta daripada kaum Adam. Kekecewaannya dahulu sudah cukup untuk mengeraskan hatinya. Cuma kini, dengan Abang Ikhwan, hatinya menjadi lembut. Bagaikan ada sesuatu dalam diri Abang Ikhwan yang berjaya melentur kekerasan hatinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan