Halaman

17 November 2008

Pelangi Hati (Episod Keenam)


Tawakkal


Akhi Fairul Ikmal mengetuai bacaan doa selamat dalam majlis ringkas yang diatur khusus untuk program itu. Sebentar tadi juga mereka telah bersama-sama menunaikan solat sunat hajat dengan penuh harapan agar program yang mereka rancang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Paling penting adalah segala objektif dapat dipenuhi. Apatah lagi perancangan rapi telah dibuat awal-awal lagi. Sekarang tibalah masa mereka kembali bertawakkal kepada yang empunya kekuasaan dalam menentukan segalanya. Semoga usaha mereka mendapat keberkatan yang mencurah-curah daripada-Nya. Majlis ringkas turut dihadiri oleh para penasihat dan pensyarah yang bakal mengisi beberapa siri modul dalam program itu. Menjelang pukul sepuluh malam, majlis itupun tamat.


Langkahnya meninggalkan Masjid BaiturRahman itu agak tersekat-sekat. Sehinggakan terasa bagaikan ada beban berat yang ditanggung di atas bahunya. Tidak selalu Efi Nafeesa rasa begitu. Tetapi Efi Nafeesa cuba untuk tidak ambil peduli. Apa sahaja yang membebani dirinya saat itu. Fikirannya seperti diselubungi kegusaran. Walaupun dia faham yang gusarnya itu jauh dari sifat yang munasabah. Apalagi yang merisaukannya, segala tugas yang diamanah sudah dapat dilaksanakan dengan baik setakat ini. Lalu mengapa dia perlu rasa gusar begini? Sekali lagi Efi Nafeesa tertanya-tanya sendiri. Dalam langkahan kaki menuju blok asramanya itu, fikiran Efi Nafeesa tetap ligat berpusing. Dia cuba menyedapkan hati dengan mengajak akal dan perasaan memikirkan hal lain, tetapi payah juga yang dirasainya.


"Efi! Efi!"


Efi Nafeesa menoleh ke belakang. Merenung setiap sudut. Mencari-cari di manakah arah suara yang memanggilnya sebentar tadi. Tetapi tiada sesiapapun. Efi Nafeesa menyambung kembali langkan kakinya yang terhenti.


"Efi! Sinilah....!" Kembali suara yang sama memanggilnya.


Efi Nafeesa mula pasti akan arahnya. Di pondok bersebelahan asrama itu rupa-rupanya arah suara itu datang. Kelihatan kelibat Nurun Najah dan seorang rakannya di bangku yang terletak di pondok berteduh berbentuk cendawan itu. Sementara itu Nurun Najah terkial-kial berlari ke arahnya.


"Lambatnya awak balik....! Makan angin ke?" usik Nurun Najah. Diperhatikannya ke seluruh wajah Efi Nafeesa. “Eh? Kenapa ni? Nampak lain je awak ni.. Tak sihat ke?"


Efi Nafeesa menggelengkan kepala.


"Betul ni, awak tak apa-apa? Jom ikut kita. Ada orang nak jumpa awak...."


Efi Nafeesa hanya menurut langkahan kaki Nurun Najah yang menuntunnya ke pondok berteduh itu. Semakin dekat, semakin jelas kelibat rakannya si Nurun Najah yang tadinya masih samar-samar.


Kak Nur!!!

Tiada ulasan: