Halaman

16 November 2008

Pelangi Hati (Episod Kelima)


Cetusan ilham


Masih lagi dia asyik menatap layar skrin komputer peribadinya. Entah apa pula yang akan mengisi ceritanya kali ini. Masih lagi belum jelas puncanya. Tetapi sudah ada bayangan kisahnya. Efi Nafeesa terus mencetus ilham. Sesekali dia melihat ke arah sahabatnya, yang juga rakan sebiliknya; Nurun Najah. Tidak seperti dia yang leka dengan komputernya, Nurun Najah lebih senang dengan pembacaan novel tulisan Syarifah Abu Salem. Kurang pasti pula Efi Nafeesa akan judulnya. Lagipun novel itu baru sahaja dibeli Wardah semalam. Belumpun sempat lagi Efi Nafeesa menjengah atau menyentuhnya. Apatah lagi, Nurun Najah memang kalau dah dapat novel karya penulis yang diminatinya itu memang kurang peduli hal lain. Selagi dia belum menghabiskan pembacaannya jangan haraplah orang lain nak sentuh novel itu.


Seakan ada batas yang menghalang cetusan ilham baru kali ini. Cukup sekadar itu untuk menghentikan bayangan ilham yang muncul tadi di dalam minda Efi Nafeesa. Lalu, Efi Nafeesa cuba menyemak buku ‘Planner’nya yang berkulit biru gelap. Dia menyelak halaman demi halaman sehinggalah ke halaman yang membentangkan laporan dan catatan untuk bulan Ogos.


Hmm, lebih kurang seminggu sahaja lagi program Rehlah dan Riadah akan dianjurkan oleh Persatuan Nur Hikmah. Kebanyakan kerja yang tinggal adalah di peringkat penyemakan dan pemastian. Baru pagi tadi dia menghubungi Abang Badri. Kondisi tapak program adalah positif, hanya kerja untuk membuat laporan sahaja yang tinggal. Lantas, Efi Nafeesa mula kembali menumpukan perhatian kepada komputer peribadi di hadapannya. Ligat tangannya menekan setiap huruf yang wujud di papan kekunci, seligat larian ayat yang terhasil di benak fikirannya. Satu demi satu perkataan beriringan keluar di layar skrin monitor membentuk ayat yang mempunyai makna.


Tidak sampai lima belas minit, Efi Nafeesa sudahpun siap menghasilkan laporan terbaru untuk tugasan yang telah dipertanggungjawab kepadanya. Mesyuarat terakhir akan diadakan beberapa hari lagi, dan pada masa itulah dia akan menyerahkan laporannya itu.


"Efi, kita terserempak dengan Abang Ikhwan tadi, dia tanya pasal awak," kata Nurun Najah yang tiba-tiba sahaja menegurnya.


"Hah, kat mana awak jumpa dia?"


"Depan ‘library’. Masa tu kita nak masuk, dia pula baru keluar dari 'library'."


"Mmm, apa yang dia tanya?"


"Tak adalah, dia ‘just’ tanya awak sihat ke, ok ke... tu je la... Heh....., ada apa-apa ke?" sempat juga Nurun Najah mengusiknya.


"Hish, awak ni....! Biasalah tu, setakat tanya khabar je..." Efi Nafeesa menjawab selamba.


"Betul ke, tak ada apa-apa? Amik berat semacam je...."


"Abang Ikhwan memang macam tu apa? Amik berat dengan semua orang. Apa yang peliknya? Dahlah jangan nak buat spekulasi yang bukan-bukan, kay!"


Nurun Najah tidak lagi membalas, sekadar melemparkan senyum penuh makna. Senyum yang ada tanda sindiran di dalamnya.


Hmm, Abang Ikhwan. Tiba-tiba sahaja nama itu memenuhi ruang minda Efi Nafeesa. Seketika sahaja Efi Nafeesa khusyuk dengan menungannya. Entahlah, pada dirinya, Abang Ikhwan sangat berbeza dalam banyak lelaki lain yang pernah dikenalinya. Dia sendiri kurang meneliti apakah istimewanya Abang Ikhwan. Cuma yang dia tahu, setiap kali terkenangkan Abang Ikhwan, hatinya rasa bagaikan diruntun rindu. Kalau bertemu pula, terasa bahagia sekali. Seolah-olah, Abang Ikhwan sering sahaja hadir di sisinya. hadir yang membawa bahagia. Perasaan apakah ini, Tuhan? Berat benar untuk insan sepertinya menghadapi. Saban waktu, hanya impian itu subur dalam sanubarinya. Tidak pernah terlontar keluar menjadi ucapan. Apatah lagi untuk membayangkan melalui tindakan. Sering sahaja, kala berhadapan dengan Abang Ikhwan, dia sebagaimana biasa. Walaupun, jauh di lubuk hatinya ada rasa yang sekian lama terpendam.


"Ya Tuhan, permudahkan untukku segala urusan. Ringankanlah segala bebanan. Luruskanlah hatiku menempuh kehidupan. Hanya kepadaMu, Tuhan, kembali segala harapan."


Demikian bisik hati Efi Nafeesa.

Tiada ulasan: