Halaman

05 Disember 2008

Pelangi Hati (Episod Kesembilan)


Alam Kenangan



Alhamdulillah. Itulah lafaz yang terpacul keluar dari rekahan bibir Efi Nafeesa. Tangannya baru terasa keletihan. Sedangkan semasa asyik menaip nukilan rasanya itu, langsung tidak terasa apa-apa. Begitulah bila hatinya bersama-sama dibawa bersama ke alam kenangan, sehinggakan tidak terasa lenguh di tangan. Dilihat temannya Nurun Najah sudah terlena dengan buku yang menutup muka. Hai, orang baca buku atau buku baca orang ni? Bisik hati kecil Efi Nafeesa.



Dia memandang jam di sudut kiri skrin komputernya tu. Sudah jam 0537. Beberapa minit lagi akan masuk waktu solat Subuh. Hmm, benar-benar dia berjaga malam ini. Mujur dia tidak ada kuliah hari ini. Memandangkan sudah begitu jadualnya.



Efi Nafeesa, menguap beberapa kali. Ah! Jangan dilayan rasa mengantuk itu. Nanti jika dia tidur pasti terlepas Subuhnya. Dia menatap kembali coretan kenangan yang masih terpapar di dada skrin komputer itu. Efi Nafeesa mengukir senyum.




Abang Ikhwan dan Kak Nur Laila, semoga kalian berbahagia. Entah mengapa hati ini mula merindui kalian. Sedangkan tidak sampai sebulan masanya untuk kali terakhir kita bertemu. Efi Nafeesa bermonolog dengan bisikan hatinya.



Kurang sebulan yang lalu sebelum cuti semester berakhir, Abang Ikhwan dan Kak Nur Laila selamat diijab-kabulkan. Mereka berdua sudahpun menamatkan pengajian masing-masing. Dan Efi Nafeesa masih di sini, di kampus yang meninggalkan banyak kenangan.




Persis sebuah pelangi, indahnya dan cantiknya sang pelangi sering dilihat di atas kepala orang lain. Walau apapun, hidup mesti diteruskan. Bahagia itu bukan satu milikan tetapi satu anugerah. Anugerah Tuhan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Efi Nafeesa mula menyedari. Alangkah hebatnya Tuhan yang memberikan ujian kepadanya. Hidup pasti akan diuji, dan setiap kali ujian itu akan datang dengan cara yang tidak pernah kita pinta dan tidak mungkin kita ingini. Pastinya setiap ujian itu untuk menguatkan dirinya. Ya, Efi Nafeesa rasa semakin kuat. Kuat untuk menghadapi hidup mendatang. Sebab siapa tahu apa yang bakal ditemui dan dihadapi selepas ini.



Hidup ini penuh dengan warnanya. Hidup di dunia bukanlah hidup yang sebenar. Hidup ini hanya sementara. Di dalam kehidupan pelbagai cabaran akan ditempuhi. Setiap satunya mengundang seribu satu kemungkinan. Menang atau tewas, kedua-duanya ada natijah yang menanti. Terukirnya kenangan juga pasti. Dan untuk gadis seperti Efi Nafeesa, kenangan dalam hidup ini umpama pelangi, terlalu cantik dan berwarna-warni. Namun, hadirnya seketika, kemudian hilang entah ke mana. Kadang-kadang ia muncul dan cepat pula ia pergi. Kenangan hidup Efi Nafeesa umpama pelangi hati.


'TAMAT'

Tiada ulasan: