Halaman

12 Disember 2008

Cerpen: dIARI bIRU (Episod 1)


Semuanya berlaku tanpa dirancang. Tidak pernah mendetik atau terdetik. Hanya saat-saat yang hadir tanpa dipinta itu telah membuatkan aku dan dia terperangkap dalam lautan tak bertepi. Pelayaran yang entah bila sudahnya. Belum tahu di mana akan bertamu. Belum pasti bila akan berlabuh. Sedangkan ke mana arah pelayaran ini masih lagi kabur destinasinya. Lupakah aku? Aku dan dia belayar di lautan tak bertepi. Mana mungkin menyaksikan daratan. Apatah lagi pulau-pulau persinggahan. Sukarnya pelayaran ini. Serentak dengannya hadir ribut yang mengganas. Mujur layar tidak patah lagi. Mujur saja. Tetapi masih timbul persoalan. Entah setakat mana kekukuhan tiang layar yang masih berdiri itu. Setahap mana kesabarannya menahan sentapan angin ribut itu. Aku dan dia masih sukar menyatakan jawapan. Mungkin kerana aku dan dia sendiri kabur dengan setiap haluan. Atau mungkinkah aku sahaja yang kekaburan?


"Pohon tualang di kampung tuan,
Tumbuh mempelam tinggi mengawan,
Tika siang menjadi ingatan,
Tiba malam menjadi impian."


Bagaimanakah nantinya? Jika aku dan dia hanya sebuah lakaran di minda yang bersalutan emas? Sedangkan di dalamnya hanya logam usang yang semakin berkarat. Mujur lagi. Mujur masih bersalutan emas. Masih aku teruja dengan pelayaran tanpa haluan ini. Aku cuba meminggir dari persoalan. Aku cuba menyisih dari menjejak jawapan. Tetapi aku dan dia masih saling memerlukan. Maka, mahu atau tidak aku perlu menerima setiap soalan dan menjejak jawapan. Aku tetap akan meneroka haluan baru. Aku tahu itu sukar dilakukan tetapi aku perlu tahu itu, jika aku mahu terus ke hadapan. Sekali lagi, aku terlupa yang aku tidak tahu apa di hadapanku. Mudik ke tepi, mundur ke belakang atau maju ke hadapan, arahku tetap sama. Belayar tanpa kemungkinan untuk menemui daratan untuk berlabuh. Masih tiada tempat untuk melepas lelah pelayaran.

Apakan daya diriku. Tiada upaya untuk menjejak daratan. Tanganku terikat tinggi di langit, dan kakiku terpasak dalam ke bumi. Aku cuba mampir ke tepian. Tetapi di manakah tepian? Apa yang ada di hati aku dan dia hanyalah tepian rindu. Ah! Rindu itu sebenarnya tak bertepi juga. Sarat di dalam rindu itu rasa kasih dan sayang yang penuh kesyahduan. Apakan daya tiada kesempatan untuk melunas kerinduan. Saban hari, saban waktu, hanya rindu sudi bertamu. Datang dari segenap sudut bahtera pelayaran aku dan dia. Rindu itu di atas dan di bawah. Rindu itu di kanan dan di kiri. Rindu itu juga dari hadapan dan dari belakang. Tidak tertepis kerana pasti sekali rindu itu masih dalam kesyahduan. Setiap masa, rindu itu menjadi teman. Mengiringi sebuah pelayaran. Pada waktu senang, juga pada waktu sukar. Tetap rindu itu tidak jemu menjadi teman. Manakan jemu kerana rindu lahir sejak pertemuan aku dan dia. Hanya aku dan dia.

Aku tahu selagi masih ada kasih dan sayang, selagi itu rindu itu akan sudi bertamu. Mana mungkin rindu itu hadir tanpa sinambungan kasih dan sayang? Aku sedar akan hakikat itu. Aku turut berharap dia juga begitu. Maka apa lagi yang menjadi impian dalam setiap haluan pelayaran selain daripada bayu yang mengutus kerinduan. Itulah teman. Tetap akan menjadi teman ketika dekat sekalipun berjauhan. Semudah atau sesukar mana pelayaran tiada siapa dapat menduga. Apa mungkin dapat untuk aku dan dia berseru pada dada langit akan kepastian sebuah rindu yang tidak bertepian? Pada kasih sayang yang tulus bersemi?

Masih lagi angin yang membawa kerinduan itu tidak tahu bahawa di hati aku dan dia hanya ada rasa ingin bersama. Setiap waktu hanya tahu menitipkan padaku kerinduan. Sedangkan angin yang membawa kerinduan itu tidak mengerti hakikat di sebalik titipan rasa rindu itu. Ya, masih lagi terbayang-bayang dalam ingatan ini apabila saat-saat yang indah itu cuba mengintai lembaran kenangan. Masih lagi terdengar gemersik suara yang menyatakan. Saat itu, dan detik itu. Ah! Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui apakah yang sebenarnya tersirat dalam setiap bicara. Malah, madah yang sehebat mana sekalipun tidak mampu untuk merungkaikan perasaan di hati. Mungkin sahaja itu cuma mainan perasaan.

Namun apa benar bicara itu sekadar mainan perasaan yang hadir tak pernah diduga? Atau bisa saja bicara tanpa diduga itu mendesak rasa yang lebih mendalam dalam jiwa dan nurani yang semakin kelam dan kekaburan. Mujur sahaja tiada makna tersirat pada kesempurnaan itu. Aku dan dia, terus dan akan terus menerima takdir daripada-Nya. Kerana Dia, kerana Dia adalah Sang Pencipta yang Maha Berkuasa.

Mendabik pada dada langit yang kesiangan dek mentari yang tiba-tiba muncul di tirai malam. Aku mula resah dengan pelayaran ini. Apatah lagi tanpa tepian atau daratan yang membuatkan hati bertambah derita. Dalam bahtera ini kini hanya ada aku. Hanya aku. Sedang dia entah ke mana. Menoleh ke kiri dan ke kanan. Memandang ke horizon pemisah langit dan lautan. Lalu yang kutemui sedari tadi hanya aku. Aku yang semakin keseorangan pada bicara rindu yang kian mencengkam dan terus memaut kukuh pada tiang layar. Demikianlah aku di seriat perteduhan dulu. Di manakah seriat itu sekarang? Masihkah lagi teguh berdiri di daratan atau sudah lenyap ditelan lautan?

Aku terlupa seketika. Tidak terdetik dulu tetapi akhirnya terdetik juga kini. Mata yang mula melihat pada kebesaran ciptaan Ilahi. Ciptaan agung sebuah lautan. Terpana aku dibuatnya. Bungkam seketika bila dada langit yang tadi lesu tanpa bintang kini tiba-tiba bersuara.

"Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya zahir dan batin. Dan di antara manusia ada yang membantah tentang (ke-Esa-an) Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan."


Allahu Akbar! Berputar pita lamunanku penuh penghayatan. Lautan yang terbentang luas mengelilingiku ketika ini menyimpan berjuta-juta pedoman dan tauladan. Sesungguhnya pelayaran yang sedang kutempuhi ini pasti ada keperluannya. Mungkin untukku atau mungkin sahaja untuk orang lain yang lebih perlu. Ah! Lautan ini menyuburkan ingatan pada pertolongan Allah. Bukan terhenti setakat itu, kerana dahulu di lautan biru ini pernah mengutus balasan Allah pada kedurjanaan Firaun. Di sini juga telah hadir nusrah Allah untuk menolong kekasih-Nya Musa serta Bani Israel.


"Kemudian Kami menghukum mereka, maka Kami tenggelamkan mereka di laut disebabkan mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka adalah orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami itu." (al- A’raaf, 7:136)


Sekali lagi aku tunduk akur pada kekuasaan Ilahi. Merasakan betapa kerdilnya aku sebagai makhluk ciptaan-Nya. Tidak sedikitpun aku mampu menghitung setiap lembaran nikmat yang telah dikurniakan-Nya. Malah, saban waktu saban detik, aku menghirup udara dari lautan yang diberi percuma. Tetapi ketundukan aku itu sering sahaja seketika. Cepat pula aku lalai dan terlupa kepada-Nya. Sedangkan Dia tidak pernah melupakan aku. Hakikatnya mudah sahaja bagi Tuhan untuk menghukum segala keterlanjuran dan kelalaian aku itu. Kerana aku kini berada di atas bahtera. Di bahtera ini aku belayar menyelusuri lautan ciptaan-Nya. Boleh sahaja Dia menghukumku. Boleh sahaja Dia menenggelamkan aku seperti tenggelamnya Firaun dan tentera-tenteranya dulu.


Ya Allah! Ampunkan aku. Segala puji bagi-Mu atas perlindungan-Mu kepadaku sepanjang pelayaran ini. Semoga pertolongan-Mu itu tidak akan terputus untukku. Pada siapa lagi boleh aku berharap selain daripada-Mu? Di lautan yang berombak tinggi ini aku tidak punya sesiapa. Kau sendiri tahu aku kini keseorangan. Satu-persatu teman-temanku pergi meninggalkan aku semasa berlabuh di sebuah pulau dulu. Mereka diam di situ dan membiarkan aku hanyut di bahtera ini keseorangan. Sekali lagi yang ada di bahtera ini hanya aku. Sedangkan dia juga turut sirna secara tiba-tiba.

Tiada lagi bayu yang membelai wajah menitipi aku madah-madah rindu. Tiada lagi hangatnya wap laut membawa bersama kehangatan kasih antara aku dan dia. Di bahtera sepi ini aku semakin kesepian. Aku semakin kesunyian. Malah aku menjadi semakin kaku. Perasaanku pingit di kota hati. Seolah-olah tidak upaya menitipkan lagi bicara rindu untuknya. Entah mengapa dan kenapa, aku sendiri buntu untuk menemukan jawapannya. Terlalu banyak persimpangan dalam fikiran ini sehinggakan aku sesat di dalamnya. Kini, apabila terlalu asyik mencari jalan keluar daripada kesesatan itu, aku jadi lupa padanya. Wajarkah aku menyatakan aku lupa? Sedangkan aku sebenarnya masih mengingati dirinya. Cuma aku disibukkan dengan pencarian itu. Berterusan. Aku sebenarnya rindu kepadanya. Namun, aku terpaksa tempuhi kerinduan itu seorang diri di sini. Di bahtera ini. Setiap saat rindu itu meresap ke setiap saluran darah dalam tubuhku. Mana mungkin aku melupakannya. Tidak mungkin aku terlupa pada perindu itu. Perindu yang pernah menemaniku dalam pelayaranku ini. Kini, masih lagi rindu itu temanku. Biarpun tiada titipan rindu daripadanya tetapi rinduku padanya juga menjadi teman yang setia. Sangat setia.


"Gerimis di lautan,
mendayung sampan ke kuala,
pada rembulan pungguk merayu,
ku menangis kesiangan,
menanggung rindu pada si dia,
apakan daya orang tak tahu."


Kata orang, kasih sayang itu kadangkala tiada sempadan. Seperti aku di bahtera ini. Juga bagai pantai dan lautan yang sentiasa saling berhubungan. Tetapi adakala nasib malang juga menimpa badan. Tersentak bila tiada lagi berhubungan, umpama pepasir pantai yang dibelah badai.


"Kalau boleh pinjam selendang,
terasa rindu pada harumnya,
merindu aku pada yang disayang,
jika ada sisa kasihnya."

Tiada ulasan: