Halaman

01 Disember 2008

Pelangi Hati (Episod Kelapan)


Saling Berkasihan


Para tetamu yang hadir semakin bertambah. Bila ada yang pulang menyusul lagi yang datang. Suasana lewat pagi menjelang tengah hari itu suatu hal yang biasa dalam majlis sebegini. Kelihatan di suatu sudut dua orang gadis sedang sibuk berbicara mesra. Kebetulan sudah lama tidak bersua mungkin. Maka, pada saat pertemuan di majlis itu, masing-masing mengambil kesempatan bertanya khabar dan berborak tentang hal-hal mutakhir. Sementara di bawah khemah, beberapa tetamu yang baru sampai mengambil tempat untuk menjamu selera. Kelihatan juga anak-anak kecil yang sedang bersuka-ria sesama mereka. Pelbagai telatah dan karenah. Maklumlah, kanak-kanak namanya.


"Hei, termenung jauh nampak."


Seorang lelaki menegur dan terus duduk di kerusi berhadapan dengan Efi Nafeesa.


"Eh! Awak..... Bila sampai?"


"Baru je. Sampai-sampai ternampak awak tengah duduk sorang-sorang kat sini. Err..., Najah mana?" kata lelaki muda itu sambil mengipas-ngipas badannya dengan tangan. Mungkin terkesan dengan cuaca yang agak membahang panasnya hari ini.


Efi Nafeesa tidak terus menjawab soalan itu tetapi tiba-tiba dia bangun. Tanpa berkata apa-apa, Efi Nafeesa melangkah menuju ke arah ruang khemah kanopi berurna ungu itu.


Tiga orang gadis baru sampai dengan menaiki kereta Perodua Kancil bercat metalik biru. Selepas salam-menyalam dan berjabat peluk sesama mereka, tiga orang gadis beserta Efi Nafeesa menuju kembali ke arah lelaki tadi.


"Haikal, ni kawan-kawan saya. Ni Mira, ni Safiyah, dan yang ni nak perkenalkan jugak ke?” ujar Amna Nafeesa serta-merta lengannya memeluk Nurun Najah.


Haikal tersenyum sambil menganggukkan kepala tanda memahami.


"Awak dah makan? Kalau belum, jom kita makan sekali." Nurun Najah memulakan bicaranya.


"Eh? Segan saya."


"Alah, makan je. Nak segan apa...?" celah Efi Nafeesa.


Pemuda bernama Haikal itu tidak punya alasan lagi. Dia menurut sahaja langkah keempat-empat gadis menuju ke ruang makan di bawah khemah.
Sambil makan, mereka berbual mesra. Terlalu banyak cerita yang hendak dikongsi bersama. Maklumlah, sejak cuti semester bermula, inilah pertemuan pertama mereka. Masing-masing ada cerita tersendiri. Haikal yang mulanya agak segan juga turut rancak bercerita. Sebenarnya bukan Haikal tidak kenal Efi Nafeesa dan Nurun Najah, malahan Haikal dan Nurun Najah merupakan teman sekelas masa di sekolah dahulu. Cuma di kampus mereka tidak terlalu rapat.


Lebih kurang jam 1500, majlis yang dirancang akhirnya terlaksana jua. Dua mempelai yang saling berkasihan akhirnya disatukan atas satu lafaz akad yang sah. Wajah kedua-duanya nampak berseri-seri sekali hari itu. Biarpun wajah pengantin perempuannya tidak disolek tebal, masih lagi terserlah keayuannya. Begitu juga pengantin lelaki yang berbaju Melayu putih dan bersamping hitam, kelihatan segak dan tampan.

Tiada ulasan: