Sekali lagi aku cuba mengadaptasikan hidupku dengan pelayaran yang semakin sunyi ini. Tiada yang boleh menghiburkan aku pada ketika ini. Cuma yang ada desiran bayu laut yang tidak henti-henti menyapa pipi. Menghanyutkan bahteraku dalam menjejak daratan persinggahan. Haluannya entah ke mana. Tetapi bahtera ini masih utuh dan kukuh. Ternyata bahtera ini masih tabah melawan ombak. Tidak gentar menyusur badai. Masih belum ada tanda-tanda untuk karam. Ringkasnya, bahtera ini masih berupaya menampung beban yang kubawa. Belum lagi aku dengar keluhan sang bahtera. Andaikan bahtera ini mampu berkata-kata, tentu asyik aku mendengar bicaranya. Mungkin ada masanya aku tidak akan sunyi lagi. Ah! Aku cuba mengintai harapan. Harapan yang pada orang lain sudah terlalu kelam laluannya. Namun bagiku masih ada sedikit sinar. Mungkin tidak begitu terang tetapi masih ada. Aku tahu masih ada laluan untuk menunaikan harapan itu. Lantas, pelayaran ini harus aku segerakan. Arus yang deras harus aku gagahi seperti gahnya bahtera ini membelah lautan.
Sejenak mataku memandang ke arah awanan putih di dada langit. Cerah cuaca hari ini. Tiada sedikitpun awan mendung penanda hujan. Subhanallah, indah sungguh alam ciptaan Tuhan ini. Bertuahnya aku kerana terpilih untuk mendiaminya. Tambah bertuah kerana aku diciptakan sebagai manusia. Bukan haiwan atau tumbuhan. Aku punya akal yang waras. Ya, masih lagi waras. Kewarasan yang amat menuntut pembelaan. Agar kewarasan ini tidak diganti dengan kecelaruan. Aku sangat bersyukur pada Tuhan yang menciptakan. Semoga syukurku ini berpanjangan dan tidak bertemu penghujungnya. Sungguh! Aku tidak sanggup menjadi hamba yang kufur, yang harus sahaja buat aku jatuh tersungkur. Bila kufur pasti lebur. Segala-galanya akan terkubur. Jadinya nanti impian dan harapanku menjadi kabur.
Gemersik alunan melodi tiupan seruling ‘Kitaro’ mengisi ketenangan naluri. Muzik berjudul ‘Silk Road’ itu membuatkan benak fikiranku mula berkhayal. Bukan mengkhayalkan sesuatu yang ilusi tetapi khayalanku pada sesuatu yang pasti. Pasti kerana itulah kenangan yang pernah terukir. Kenangan yang langsung tiada upaya untuk dialami lagi. Hanya boleh dikenang dan diingati. Melewati awan putih itu, pita memoriku mula berputar. Perlahan-lahan dan kemudiannya semakin laju. Menginjak detik-detik yang pernah aku dan dia lalui bersama. Tentunya yang indah. Ada juga yang gundah hati kerananya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan