Halaman

12 September 2008

Ramadhan Yang Bermakna

Derap langkah meniti Ramadhan
sebaik-baik bulan penuh keberkatan
untuk hati nan subur dengan ketaatan
menjemput redha demi kemuliaan
biar masih ramai yang tiada menghiraukan.
Wahai insan,
Ramadhan ini apakah bermakna
Ramadhan ini apakah dirai
'tika ramai yang masih leka
hadir Ramadhan mendakap benci
bulan suci dipandang sepi
tiada rindu apatah lagi cinta
sebagai garapan menyelusurinya.
Wahai insan,
Ramadhan ini arena perjuangan
menjana diri mematuhi Tuhan
'tika ramai yang masih derita
dek noda nista dan api dosa
namun Ramadhan astaka keampunan
nan harum semerbak inayah
hidayah Tuhan untuk sekalian hamba-Nya
signifikan rahmat kasih-Nya
Maha Luas mengatasi segala.
Wahai insan,
hububan Ramadhan membuka gerbangan syurga
isyarat amalan berganda pahala
dihiasi redha Tuhan nan Esa
namun sayang sekali..........
setahun sekali Ramadhan menjelma
seraya ditutup rapat pintu-pintu neraka
masih ada yang tega mengetuk pintunya
Ramadhan bukan sahaja dipersia
malahan diselaputi kotoran dosa
lantaran gerbang syurga yang terbuka
sedetik pun tidak menarik sukma.
Wahai insan,
Ramadhan ini jalan kembali
sedarlah kita selama ini.......
insan yang senang dan kaya
ramai yang lupa kepada Allah,
insan yang susah dan miskin
menjauhkan diri dari Allah,
yang sihat dan kuat pula
lari daripada Allah.....
dan antara yang lemah dan sakit
tega meninggalkan Allah.
Wahai insan,
Ramadhan yang hadir pasti berlalu
belum pasti pula akan kembali
sekiranya ada sisa hayat
bertemulah kita dengannya lagi.....
namun,
jika sudah tiba saat akhir riwayat
inilah Ramadhan terakhir kita......
apakah rela kita mensia-siakannya
dibiar berlalu begitu sahaja.
Wahai insan,
semoga Ramadhan ini
terserlah maknanya.....
menghiasi peribadi murni
menyusuri titian hari yang mengiringi.
Ilham nubari;
'Haikal Nawwarah KM'
13 Ramadhan 1426H
-Johor Bahru-

Tiada ulasan: