Halaman

20 September 2008

Kisah Kasih, Cinta dan Rindu

Dari kejauhan kelihatan seorang pemuda sedang duduk di sebuah bangku menghadap ke lautan yang terbentang luas. Matanya tertumpu pada skrin komputer riba yang sedang di pangkuannya. Sesekali ekor mata melirik ke arah anak-anak kecil yang asyik bermain di persisiran pantai. Ceria. Meriah. Comel. Kecoh. Begitulah suasana hidup anak-anak kecil yang masih terlalu mentah pengalaman hidupnya. Kecomelan mereka kadangkala menyentuh hati mata-mata yang memandang. Lebih-lebih lagi di wajah mereka terpancar cahaya suci Ilahi yang masih belum tercemar dek noda dosa dunia ini. Ilham kian menjelma.

Haikal melihat sekilas pada rona laut yang terpisah dek garis horizon di hujung sana. Biru. Sedikit bergelora. Bias mentari menjadikan pemandangan laut satu panorama indah untuk ditatap sepenuh hati. Kelihatan juga sebuah keluarga sedang bermain kejar-kejar di gigi air. Bahagian bawah pakaian dibasahi air dek ombak yang tak pernah jemu mengusik pantai. Ilham semakin menjelma.

Skrin memaparkan emel kiriman dari Annur Amira. Pantas saja anak matanya membaca setiap bait kata dalam kiriman yang memang selalu dinantinya itu.

Haikal tersenyum kala bertemu ayat-ayat jenaka adik kesayangannya itu. Memang Annur Amira bijak berjenaka. Kala hati dirundung hiba pasti terubah ceria bila mendengar jenakanya.

Namun, senyum Haikal bertukar serius serta-merta. Jenaka sudah berakhir. Seperti biasa, Annur Amira membangkitkan segala pertanyaan tentang soal-soal semasa. Bertanya itu dan ini. Itu sifat semula jadinya. Katanya dulu kepada Haikal, lebih baik bertanya kalau tak tahu daripada berlagak tahu tapi sebenarnya tak tahu. Memang ada betulnya kata-kata itu. Sekurang-kurangnya kejahilan yang sementara lupus diganti dengan ilmu yang berguna.

Haikal mula menulis. Membalas emel kiriman Annur Amira itu.

Assalamu'alaikum adikku, Amira yang diingati selalu..

Alhamdulillah abang di sini, baik-baik sahaja. Masih dikurniai keafiatan dan ketenangan melalui hari-hari menjelma.

Abang harap Mira di sana begitu juga. Dah hampir sepertiga Ramadhan berlalu, baru kini Mira menghantar berita ye... Bagaimana berpuasa di sana? Tentu ada bezanya dengan puasa di tempat kita ni 'kan? Hm... abang tak dapat nak menulis panjang-panjang kat sini. Tapi bagi persoalan yang Mira bangkitkan tu abang ada satu makalah yang mungkin Mira boleh ambil manfaat daripadanya. Insya-Allah...

Kisah Kasih, Cinta dan Rindu....

Masa yang berlalu janganlah kau tangisi. Biarlah ia menjadi lipatan sejarah. Masa yang akan datang jangan terasa kita yang punya. Bukankah ketetapan itu ketentuan Allah? DIA yang menjadikanmu dan DIA jugalah yang berhak mengatur hidupmu. Usahlah kau meminta sesuatu yang belum dirancang untukmu.

Ketetapan itu pasti berlaku, tidak ke depan dan tidak ke belakang walau satu detik sekalipun. Mengapa perlu meminta sesuatu yang belum terjadi? Apakah sudah lupa pada janji?

"Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian alam." (al-An'am, 162)

Sesuatu yang terlintas di akal fikiranmu, gerak hati pertama itu ilham Tuhanmu. Ia mungkin berlaku dan mungkin juga tidak akan berlaku. Bukan semestinya setiap lintasan di fikiran itu kau layan. Timbanglah dengan rasionalmu. Kau akan diuji.

Ujian itu ada bermacam-macam; ada yang zahir dan ada yang batin. Dalam menghadapi ujian zahir, ramai yang mampu bertahan, pun begitu bila berdepan ujian batin, ramai yang tergelincir dan kecundang.

Ingatlah, jalan menuju kewalian punya 1001 ranjau yang menghalang. Jalan yang kau tempuh ini terlalu sukar, sulit, payah, susah dan menakutkan. Jalan ini jalan kepapaan, kemiskinan dan keperitan hidup tetapi di hujung sana Allah menantimu dengan 'tangan terbuka'.

Dengarkah kau, namamu dipanggil lagi dan suara itu menusuk qalbu menikam jantung hatimu. bertubi-tubi berulang-ulang:

"Ayuh ke mari wahai hamba-Ku, ke marilah dalam dakapan-Ku, ke marilah dalam ribaan-Ku. Aku rindu padamu. Sudah lama kau Ku tunggu. Kashan hamba-Ku. Sudah hampir terbakar hangus jantungmu, remuk berkecai hatimu. Siang dan malam bagai tak hirau lagi. Badai cintamu yang menggila bila akan reda?

Ah! Kasihannya engkau... gila dalam siuman. Kerana cintakah kau jadi begini? Ini Aku datang wahai hamba-Ku. Bukankah Aku yang kau cari? Terpadam sudahkah api rindumu? Cair sudahkah lilin cintamu? Aku juga kasih padamu. Aku juga rindu padamu. Aku juga cinta padamu.

Sehasta engkau hampiri Aku, sedepa Aku merapati dirimu. Engkau berjalan kepada-Ku, Aku berlari menerpa kepadamu. Sambutlah wahai kekasih cinta-Ku. Jangan kau putuskan ikatan kasih ini. Jangan kau leraikan tali cinta ini... Jika kau lakukan jua, nescaya kau akan binasa.

Andai antara kita terpisah, terasing, terlerai tiada ikatan lagi - Aku adalah Aku, engkau adalah engkau - maka Aku tetap Aku yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Gagah, tidak rosak dan binasa; manakala engkau tetap engkau yang lemah, yang jahil, yang hina, yang akan hancur, yang rosak dan yang akan binasa. Sekali ikatan tersimpul antara kita, jengan berani-berani kau buka dan leraikan.

Aku tidak pernah khianat dalam cinta-Ku. Cinta-Ku agung, suci dan mulia. Jangnan sia-siakan cinta-Ku. Cinta-Ku kekal abadi dan sejati. Tidak akan kau jumpa cinta se-agung cinta-Ku. Jangan khianat, jangan curang, dan jangan main kayu tiga. Kelak kau akan Ku hukum. Dan ingatlah! Murka-Ku setara dengan cinta-Ku. Tiada bumi yang sanggup menanggung. Kelak kau Ku campakkan ke kerak api Neraka yang tidak Ku pandang engkau buat selama-lamanya.

Oleh itu awasilah... jika inginkan cinta-Ku, bersiaplah; engkau akan Ku uji. Benarkah cinta-Ku yang kau cari, atau kau hanya memburu Syurga-Ku dan ingin lari dari Neraka-Ku? Atau engkau idamkan bidadari dan mahligai indah? Kalau hanya itu yang kau cari, engkau menipu, wahai hamba-Ku. Aku-kah yang hendak kau tipu?

Aku masih mencari cinta agung sesuci kasih Muhammad kepada-Ku. Tapi Ku tahu, Aku tidak akan dapat temui lagi kasih se-agung itu. Muhammad-lah kekasih-Ku. Dia seorang saja buah hati-Ku. Ku-abadikan namanya di sisi-Ku. Tidak Ku-ciptakan alam ini kalau tidak kerana dia. Tanpa Muhammad, semua yang ada ini, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi tiada makna. Semua inin ada kerana adanya Muhammad. Tanpa Muhammad, makhluk-Ku yang lain tak bererti apa-apa.

Letakkanlah cinta Muhammad sebagai neraca cintamu pada-Ku. Cinta Muhammad adalah kayu ukur cinta makhluk kepada Tuhannya. Dia mencintai Aku segenap jiwa dan raganya. Semuanya telah diserahkan. Semuanya telah dikorbankan. Dirinya menjadi tebusan menebus cinta. Muhammad membeli cinta dengan nyawanya. Nah! Kau pula menagih cinta-Ku dengan apa???"

Sudah diceritakan secara terperinci kisah kasih, cinta dan rindu. Usahlah lagi kau dibuai hanyut dalam cinta nafsu yang melulu. Carilah cinta suci, cinta agung, cinta yang kekal abadi; tak luntur dek zaman, tak lekang dek masa.

Datanglah ombak badai yang menggila setara manapun, namun cinta yang agung tetap kukuh tersimpan bagai mutiara di dasar lautan. Sekarang, engkau pilihlah, cinta dunia yang murahan atau cinta Khaliq-mu yang agung lagi abadi.

Alhamdulillah... demikianlah Mira sebuah makalah yang pernah abang baca. Kini abang kongsikan bersama Mira di sana. Semoga ia dapat memberi jawapan terhadap persoalan Mira tu.

Ayuwah... abang sudah kesuntukan masa ni... mentari Dhuha sudah semakin jauh meninggalkan abang. Ada sesuatu yang perlu abang kejar.

Semoga bertemu lagi ye adikku sayang. Diharap Mira tetap teguh dengan cinta-Nya di sana.

Jaga diri elok-elok..

Sampaikan salam kat mama dan ayah ye...

Jumpa lagi.

Wassalam 'alaik..

Komputer riba ditutup. Haikal bingkas bangun meninggalkan bangku yang terasa sudah terlalu hangat itu. Kaki dihayun melangkah ke arah sebuah musolla di sudut timur pantai. Kira-kira 300 meter dari pesisir pantai. Lokasi yang pasti nyaman untuk menghadap Tuhan. Memeterai kisah kasih, cinta dan rindu sebenar seorang hamba kepada Khaliq-nya.

Tiada ulasan: