Halaman

27 Oktober 2008

Cerpen: Pelangi Hati (Episod Pertama)


Masakan dia tidak mahu tahu apa yang sedang berlaku. Tetapi bukankah sejak siang tadi dia telah dimaklumi? Mungkin dia terlupa. Terlupakah dia?
Matanya terasa seperti berpinar-pinar. Lalu, dia cuba melegakannya dengan memejamkan mata. Cuba sehingga pandangannya jadi gelap, segelap-gelapnya. Perlahan-lahan dia menggerakkan kelopak mata agar terbuka semula. Masih mampu iris matanya memandang ke arah skrin komputer peribadinya itu. Dia bersyukur. Pandangannya semakin lega. Kini, bolehlah dia menyambung kembali kerja yang sedang asyik melarik mimpi kenangannya semalam. Jari-jemarinya semakin ligat berlaga dengan huruf-huruf yang terpapar di papan kekunci. Tidaklah sebising mesin taip saat hujung-hujung jari itu mematuk-matuk setiap huruf. Tetapi masih lagi boleh didengari oleh sahabatnya yang sedang menelaah subjek pengurusan di atas katilnya.

"Hmm...., mulalah tu melayan perasaan..." ujar Nurun Najah sambil tersengih sinis. Sempat juga dia menjeling penuh makna.

"Cik Najah ooi, concentrate study tu..., awak tu ada kuiz pagi esok." Dia membalas sindiran Nurun Najah.

"Kisah apa pula kali ni?" soal Nurun Najah. Tetapi mata masih menatap buku pengurusan yang berwarna merah.

"Ada laa...., mana boleh tahu..." jawabnya sambil menggeliat, meregangkan segala sendi-sendi yang terasa lenguh.

"Ye la cik Efi Nafeesa....., selamat melayan perasaan......" Selamba sahaja Nurun Najah melontarkan sindirannya itu.

Hmm, malas dia nak menjawab sindiran itu. Lagipun dia faham yang Nurun Najah sekadar bergurau. Baik dia tumpukan semula kepada perkara yang sedang dikerjakan itu. Dia tidak mahu kisah itu hanya menjadi kenangan di hujung bibir. Sekurang-kurangnya kisah itu tertulis untuk tatapannya suatu masa nanti. Mungkin saat itu dia akan tersenyum bila membacanya. Bukan menangis seperti sekarang setiap kali mengenangkannya.

Ah! Dia hanya wanita biasa. Lantas mudah baginya untuk menitiskan air mata. Kata orang, air mata itu permainan wanita, adakala menjadi benteng pertahanan dan adakala juga menjadi senjata. Entahlah, dia tidak pedulikan kata-kata sebegitu. Baginya, air mata hanyalah luahan rasa tanpa bicara untuk seorang hamba-Nya. Baik untuk urusan duniawi mahupun ukhrawi. Siapa sahaja boleh menangis. Asalkan tangisan itu bertempat dan kena dengan situasinya. Dia juga begitu, selalunya air mata itulah teman setia. Dia bukan meratapi nasib tetapi sebagai manusia, dia tahu air mata itu membantu melegakan gejolak rasa. Maha Suci Allah, diciptakan air mata untuk manusia dengan multi-tujuannya.

Tiada ulasan: