Halaman

24 Mac 2010

Usah Tinggalkan Aku

Betapa awan masih sudi menaungi,
kala mentari perit membara,
apakah masih ada yang sudi menyapa,
kala maya dihurung jelaga,
menyendiri dalam sepi,
menatapi denai berliku,
dicakari onak duri,
luka tangis tak bermelodi.
Semakin jauh di lembah,
bukan laku yang tak berubah,
cuma mimpi berpaling arah,
ke mana?
timur barat selatan utara?
semakin sesatkah kembara?
Masya Allah,
dalam lena tersedar jeda,
mengadulah setulus rasa,
kerana doa hamba,
seharum kembang kemboja,
dinanti tiadalah alpa,
mendengar Maha Sempurna.
Usah tinggalkan aku,
saat imanku menderita,
walau sekejap cuma,
agamaku mungkin binasa,
usah tinggalkan aku,
saat akalku terbelenggu,
walau sedetik waktu,
warasku mungkin keliru.
Demi kerana Dia...
mentari pudar cerah seketika,
desir hububan mula menyapa,
menyeka keringat beban nestapa,
santun bicara menyejuk rasa,
senyum semangat menyala semula,
fikir semakin saksama,
menyelimuti hiba hamba.
Walau sekali tidak 'kan pernah..
Dia meninggalkan dirimu,
Dia adalah Tuhanmu Tuhanku jua,
selalu di sampingmu di sampingku juga,
walau apa ketika,
walau di mana berada,
tiada kecewa...
bila hasrat terpaut kukuh pada-Nya.
Pesanku,
doa itu kekuatan kita..
Nukilan nurani:
'Haikal Nawwarah'
8 Rabi' al-tsani 1430

Tiada ulasan: