Halaman

26 November 2008

Pelangi Hati (Episod Ketujuh)


Keutamaan Sabar


"Aku bukan sengaja. Tetapi aku tak punya kuasa untuk menentukan segala-galanya. Hanya Dia Rabbku yang Maha Mengetahui. Salahkah aku? Oh Tuhan, berikan aku sedikit kekuatan untuk menghadapi mehnah-Mu kali ini. Berikan aku keutamaan sabar, ya Allah. Emosiku mencabar keteguhan akalku saat ini. Aku bimbang kalau-kalau aku tertewas. Benar, ini bukanlah ujian pertama yang aku alami. Tetapi sebelum ini, hati gadisku belum pernah menempuhi ujian sebegini. Bagaimana harus aku meneruskannya? Tahukah aku untuk menanganinya? Kuharap pertolongan-Mu, Tuhan!!! Benar-benar mengharap!"


Demikian Efi Nafeesa bermonolog sendirian. Dia ditimpa kekalutan akal fikiran. Memang sudah biasa dia menempuh pelbagai ujian. Tetapi ujian kali ini yang pertama dalam diari hidupnya. Sepanjang jasadnya bertapak dan ruh kudusnya mendiami bumi Tuhan ini, tidak pernah dia berhadapan dengan ujian perasaan ini. Benar-benar dia masih terlalu mentah untuk menghadapinya. Kalau ada kuasa untuk dia mengembalikan masa yang berlalu sudah tentu itu yang pertama dia lakukan. Tetapi Efi Nafeesa sedar itu hanya angan yang tak bermakna. Mana mungkin itu mampu dia lakukan. Efi Nafeesa masih sedar realitinya hidup. Kini dia cuba mengumpul sebanyak mungkin kekuatan untuk meneruskan kehidupannya yang tentunya masih bersisa. Cuma yang Efi Nafeesa tidak tahu ialah sisa kehidupan itu sebanyak mana untuknya.


Bangkit daripada sujudnya yang panjang itu, Efi Nafeesa kembali bersimpuh sambil menundukkan wajah ayunya yang kini dihiasi titisan air mata nan hangat. Terasa begitu sunyi Masjid BaiturRahman pada saat itu. Seolah-olah, hanya Efi Nafeesa seorang berada di dalam rumah Allah itu. Satu-satunya masjid yang ada di kampus tempat Efi Nafeesa belajar. Tetapi sememangnya hanya dia seorang ketika itu di bahagian musolla muslimat. Di bahagian musolla muslimin juga sunyi tanpa kedengaran apa-apa derapan bunyi. Kesunyian itu membawa bersama ketenangan ke hati Efi Nafeesa. Memang dia ingin cari sebanyak mungkin ketenangan. Ketenangan untuk dia kembali bersemangat dalam menghadapi hari-hari mendatang.


Dalam keluhan nada doa seorang hamba, Efi Nafeesa khusyuk mengadu kasih. Tangisannya juga sudah beransur reda. Dia tahu dia mesti menjadi seorang yang kuat. Ujian perasaan ini hanyalah ujian picisan. Tuntas sahaja untuk ditangani jika dia benar-benar yakin pada Rabbnya Yang Maha Berkuasa.


"Assalamu’alaikum."


"Wa’alaikum salam warahmatullah...." Jawab Efi Nafeesa seraya menoleh ke sebelah kirinya, arah di mana datangnya suara yang menyapanya.


"Maafkan saya. Terpaksa ganggu Efi. Sebenarnya saya nak sampaikan pesan orang je ni," ujar gadis manis yang entah bila tibanya ke Masjid BaiturRahman itu. Anak matanya masih tidak lepas menatap wajah sembam Efi Nafeesa. Ternyata senyuman paksa yang cuba diukir oleh Efi Nafeesa tidak menjadi. Biarpun begitu pembawa pesan itu tidak mahu bertanya lanjut.


"Err, pesan dari siapa?" soal Efi Nafeesa perlahan.
"Kak Nur Laila..., dan dia suruh saya sampaikan ni jugak kat Efi....," jawab Shatilla ringkas. Dia junior tahun satu merangkap teman sebilik Nur Laila. Satu ‘batch’ dengan Efi Nafeesa. Tetapi berlainan kursus walaupun masih di bawah fakulti yang sama. Perlahan-lahan, Shatilla mengeluar sepucuk envelop dari celah fail ‘hard-cover’ yang dibawanya. Envelop warna ungu itu dihulurkan kepada Efi Nafeesa.


Efi Nafeesa menyambut huluran itu sambil mengucapkan terima kasih.


"So, saya hanya menyampaikan. Kalau Efi nak pesan apa-apa beritahulah."


"Err.., takpelah. Just sampaikan salam saya kat Kak Nur, ye..."


"Insya Allah, saya minta diri dulu, ada ‘group-discussion’ kat Asramapuri Satu. Assalamualaikum."


"'Alaikumsalam warahmatullah."


Shatilla bingkas bangun meninggalkan Efi Nafeesa kembali bersendirian. Begitu Efi Nafeesa kembali tunduk menatap envelop ungu pemberian Kak Nur Laila kepadanya itu. Ah, hati! Mengapa terlalu kau liat untuk memahami dan mengerti akan situasi ini? Perlahan-lahan setiap rangkaian jari-jemarinya yang halus bekerja-sama untuk mengeluarkan lembaran warkah yang terkandung di dalam envelop ungu itu.


Dalam debaran yang seakannya menyesakkan pernafasannya, Efi Nafeesa menancapkan deria penglihatannya pada setiap bait-bait kata yang terpamer di dada warkah. Masya Allah! Betapa luhurnya hatimu. Alangkah baiknya andai aku sepertimu, getus hati Efi Nafeesa. Sebaik selesai meghabiskan ayat terakhir bicara warkah itu, Efi Nafeesa terus sahaja melipat dan menyimpan semula warkah itu ke dalam envelop ungunya.


Dia tersenyum sendiri. Betapa kekuatan itu bukan daripada dirinya, tetapi kekuatan yang sebenar datangnya dari Zat yang Maha Kuat. Hanya kekuatan iman yang dapat melahirkan individu yang kuat. Tidak dengan kekuatan semangat, tidak dengan kekuatan akal, dan tidak dengan kekuatan fizikal. Efi Nafeesa semakin faham. Betapa bersyukurnya dia kerana Tuhan masih sudi memberi petunjuk kepada dirinya yang sering lalai.


"Soal hati dan perasan bukan ketetapan kita tetapi ketetapan Tuhan. Kita hanya mampu merencanakan sesuatu tetapi dalam menentukan perencanaan kita itu, Allah-lah yang lebih berhak."


Demikian cebisan bicara yang terkandung dalam warkah yang dikarang oleh Kak Nur kepadanya. Efi Nafeesa tidak ingat sudah berapa kali dia membaca warkah itu. Entahlah, dia sendiri kurang periksa. Apa yang dia tahu, warkah itu sangat menarik. Kata-kata yang terkandung di dalamnya mengkiaskan kematangan si penulis. Langsung tiada tergambarkan sebarang cetusan emosi yang bersifat negatif.

Ingatan Khairina...


Memandang pada indahnya alam...
terdetik bicara secebis ingatan
takut-takut khayalnya terpesona....
kelak leka menguja jiwa
lalu akalnya dirosak rakus
pada nafsu yang sering bergelora
Serentak alam berhias indah...
memakai segala perhiasannya
di mana cahaya
di mana mekarnya bunga
hanya sekelumit kisah duka
Teruji dengan wahana di penghujung
lalu apa lagi yang tinggal
di sebalik awan yang berarak ceria
desiran angin yang khusyuk dalam kembaranya
lalu jasadnya kering-kontang
pada nafsu yang semakin bermaharajalela....
Lekalah dalam keterasyikan itu...
alam yang hiasannya harta, wanita dan takhta
sering diperalat untuk nikmat sementara
akhirnya kecewa jua melanda...
kecewanya tiada guna....
Merenung pada indahnya rembulan....
terdetik bicara secebis harapan
bimbang kalau-kalau taubatnya terhijab
kelak nahas menguja jiwa
lalu imannya dirosak rakus
pada nafsu yang sering menggoda...
Di sini ada pesannya...
di sini ada ingatannya...
ingatan Khairina untuk semua...

17 November 2008

DUHAI HATI

Duhai hati....
pandanglah pada keindahan,
hati ingat kepada ALLAH yang menjadikan...
makanlah yang enak-enak,
hati ingat kepada ALLAH yang memberi rezeki...
bersabarlah ketika sakit,
hati ingat kepada ALLAH yang ingin menuji kesabaran hambaNya...
bersyukurlah ketika berjaya,
hati ingat kepada ALLAH kerana setiap kejayaan itu milikNya..
tabah jika menghadapi kegagalan,
hati ingat kepada ALLAH yang mengetahui hikmah di sebaliknya...

Pelangi Hati (Episod Keenam)


Tawakkal


Akhi Fairul Ikmal mengetuai bacaan doa selamat dalam majlis ringkas yang diatur khusus untuk program itu. Sebentar tadi juga mereka telah bersama-sama menunaikan solat sunat hajat dengan penuh harapan agar program yang mereka rancang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Paling penting adalah segala objektif dapat dipenuhi. Apatah lagi perancangan rapi telah dibuat awal-awal lagi. Sekarang tibalah masa mereka kembali bertawakkal kepada yang empunya kekuasaan dalam menentukan segalanya. Semoga usaha mereka mendapat keberkatan yang mencurah-curah daripada-Nya. Majlis ringkas turut dihadiri oleh para penasihat dan pensyarah yang bakal mengisi beberapa siri modul dalam program itu. Menjelang pukul sepuluh malam, majlis itupun tamat.


Langkahnya meninggalkan Masjid BaiturRahman itu agak tersekat-sekat. Sehinggakan terasa bagaikan ada beban berat yang ditanggung di atas bahunya. Tidak selalu Efi Nafeesa rasa begitu. Tetapi Efi Nafeesa cuba untuk tidak ambil peduli. Apa sahaja yang membebani dirinya saat itu. Fikirannya seperti diselubungi kegusaran. Walaupun dia faham yang gusarnya itu jauh dari sifat yang munasabah. Apalagi yang merisaukannya, segala tugas yang diamanah sudah dapat dilaksanakan dengan baik setakat ini. Lalu mengapa dia perlu rasa gusar begini? Sekali lagi Efi Nafeesa tertanya-tanya sendiri. Dalam langkahan kaki menuju blok asramanya itu, fikiran Efi Nafeesa tetap ligat berpusing. Dia cuba menyedapkan hati dengan mengajak akal dan perasaan memikirkan hal lain, tetapi payah juga yang dirasainya.


"Efi! Efi!"


Efi Nafeesa menoleh ke belakang. Merenung setiap sudut. Mencari-cari di manakah arah suara yang memanggilnya sebentar tadi. Tetapi tiada sesiapapun. Efi Nafeesa menyambung kembali langkan kakinya yang terhenti.


"Efi! Sinilah....!" Kembali suara yang sama memanggilnya.


Efi Nafeesa mula pasti akan arahnya. Di pondok bersebelahan asrama itu rupa-rupanya arah suara itu datang. Kelihatan kelibat Nurun Najah dan seorang rakannya di bangku yang terletak di pondok berteduh berbentuk cendawan itu. Sementara itu Nurun Najah terkial-kial berlari ke arahnya.


"Lambatnya awak balik....! Makan angin ke?" usik Nurun Najah. Diperhatikannya ke seluruh wajah Efi Nafeesa. “Eh? Kenapa ni? Nampak lain je awak ni.. Tak sihat ke?"


Efi Nafeesa menggelengkan kepala.


"Betul ni, awak tak apa-apa? Jom ikut kita. Ada orang nak jumpa awak...."


Efi Nafeesa hanya menurut langkahan kaki Nurun Najah yang menuntunnya ke pondok berteduh itu. Semakin dekat, semakin jelas kelibat rakannya si Nurun Najah yang tadinya masih samar-samar.


Kak Nur!!!

CEMERLANG



Cemerlang itu bukan sekadar kejayaan
tetapi kejayaan itu apabila dapat merendah diri kepada ALLAH
kejayaan itu juga dapat diagih-agihkan sesama insan
ukhwah pun terjalin...
kasih sayang pun datang

Cemerlang itu bukan sekadar membangunkan material
bukan setakat maju di dalam semua bidang
tetapi dalam kejayaan itu ada rasa kebesaran ALLAH
bertambah pula bersyukur kepada ALLAH
dan bertambah cinta kepada Rabbul insan

Kecemerlangan bukan setakat maju di bidang ilmu
banyak orang pandai...
ramai pula orang yang mendapat kejayaan
tetapi kejayaan itu bukan untuk cari makan
bukan untuk glamour dan nama
lebih-lebih lagi bukan untuk bermegah dan sombong diri
tetapi dengan ilmu itu rasa rendah diri kepada ALLAH
bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara
ALLAH semakin dibesarkan, dipuji dan dipuja
dengan kemajuan dan kejayaan...
kasih sayang tambah berbunga
rasa bekerjasama menjadi budaya
bukan dengan kejayaan mendabik dada
minta dikenang pula jasanya.

16 November 2008

Kuasa Tuhan kepada diri manusia


Menjelang Zuhur


Kalau seseorang itu rasa sedikit pun tidak ada kuasa, hatinya tawadhuk dengan Tuhan.....
Kepada Tuhanlah harapannya untuk menjaga dan memberi keselamatan pada dirinya.....
Tuhan adalah Maha Berkuasa, hamba sebesar habuk pun tidak ada kuasa.....
Kuasa yang ada sedikit pada dirinya itupun kuasa yang Tuhan berikan kepadanya.....
Rasa takut pun datang terhadap Tuhannya.....
Kalau sesuatu yang baik dianugerahkan, dia sangat malunya kepada Tuhannya.....
Dia terasa bahawa dia tidak sedikit pun campurtangan menghasilkannya.....
Kalau dia dibala dia sabar bahkan makin takut kepada Tuhannya.....
Dia harap ujian itu biarlah panghapusan dosanya terhadap Tuhan.....
Bahkan ujian itu kerana kutukan Tuhannya.....
Setiap yang dia lihat, semakin melihat kebesaran dan kekuasaan Tuhan.....
Jika terlihat orang membuat mungkar dia rasa kasihan, ingin menasihatkan.....
Kalau tidak mampu menasihatkan, dia doakan kebaikan.....
Dia baik sangka dengan orang itu, mungkin..... tidak ada pelajaran.....
Dia rasa bersyukur kepada Tuhan dia tidak sama melakukan.....
Setiap kebaikan yang dia lihat pada seseorang, dia turut gembira.....
Gembira dengan kegembiraan orang yang mendapat kebaikan.....
Kerana dia tidak ada kuasa, bimbang sahaja dengan Tuhan akan nasibnya dia tidak tahu.....
Segala-galanya di tangan Tuhan, Tuhanlah yang menentukan.....
Aduh! Bimbangnya semakin mendalam....... nasibnya..... masa depannya.....
harapan kepada Tuhan semakin mendalam.....
Mengharap kepada Tuhan agar dia disudahi umurnya dengan kebaikan.....
Kuasa Tuhan sangat dirasakan ke atas dirinya, apalagilah yang Tuhan akan lakukan.....
Dari semasa ke semasa dia rasa apa pun boleh berlaku ke atas dirinya bila Tuhan jadikan.....
Aduh! Takutnya kepada Tuhan semakin mencengkam.....!

Karya Asal:
'Team Mawaddah'
Olahan Semula;
"Nasiim Suhail"

Pelangi Hati (Episod Kelima)


Cetusan ilham


Masih lagi dia asyik menatap layar skrin komputer peribadinya. Entah apa pula yang akan mengisi ceritanya kali ini. Masih lagi belum jelas puncanya. Tetapi sudah ada bayangan kisahnya. Efi Nafeesa terus mencetus ilham. Sesekali dia melihat ke arah sahabatnya, yang juga rakan sebiliknya; Nurun Najah. Tidak seperti dia yang leka dengan komputernya, Nurun Najah lebih senang dengan pembacaan novel tulisan Syarifah Abu Salem. Kurang pasti pula Efi Nafeesa akan judulnya. Lagipun novel itu baru sahaja dibeli Wardah semalam. Belumpun sempat lagi Efi Nafeesa menjengah atau menyentuhnya. Apatah lagi, Nurun Najah memang kalau dah dapat novel karya penulis yang diminatinya itu memang kurang peduli hal lain. Selagi dia belum menghabiskan pembacaannya jangan haraplah orang lain nak sentuh novel itu.


Seakan ada batas yang menghalang cetusan ilham baru kali ini. Cukup sekadar itu untuk menghentikan bayangan ilham yang muncul tadi di dalam minda Efi Nafeesa. Lalu, Efi Nafeesa cuba menyemak buku ‘Planner’nya yang berkulit biru gelap. Dia menyelak halaman demi halaman sehinggalah ke halaman yang membentangkan laporan dan catatan untuk bulan Ogos.


Hmm, lebih kurang seminggu sahaja lagi program Rehlah dan Riadah akan dianjurkan oleh Persatuan Nur Hikmah. Kebanyakan kerja yang tinggal adalah di peringkat penyemakan dan pemastian. Baru pagi tadi dia menghubungi Abang Badri. Kondisi tapak program adalah positif, hanya kerja untuk membuat laporan sahaja yang tinggal. Lantas, Efi Nafeesa mula kembali menumpukan perhatian kepada komputer peribadi di hadapannya. Ligat tangannya menekan setiap huruf yang wujud di papan kekunci, seligat larian ayat yang terhasil di benak fikirannya. Satu demi satu perkataan beriringan keluar di layar skrin monitor membentuk ayat yang mempunyai makna.


Tidak sampai lima belas minit, Efi Nafeesa sudahpun siap menghasilkan laporan terbaru untuk tugasan yang telah dipertanggungjawab kepadanya. Mesyuarat terakhir akan diadakan beberapa hari lagi, dan pada masa itulah dia akan menyerahkan laporannya itu.


"Efi, kita terserempak dengan Abang Ikhwan tadi, dia tanya pasal awak," kata Nurun Najah yang tiba-tiba sahaja menegurnya.


"Hah, kat mana awak jumpa dia?"


"Depan ‘library’. Masa tu kita nak masuk, dia pula baru keluar dari 'library'."


"Mmm, apa yang dia tanya?"


"Tak adalah, dia ‘just’ tanya awak sihat ke, ok ke... tu je la... Heh....., ada apa-apa ke?" sempat juga Nurun Najah mengusiknya.


"Hish, awak ni....! Biasalah tu, setakat tanya khabar je..." Efi Nafeesa menjawab selamba.


"Betul ke, tak ada apa-apa? Amik berat semacam je...."


"Abang Ikhwan memang macam tu apa? Amik berat dengan semua orang. Apa yang peliknya? Dahlah jangan nak buat spekulasi yang bukan-bukan, kay!"


Nurun Najah tidak lagi membalas, sekadar melemparkan senyum penuh makna. Senyum yang ada tanda sindiran di dalamnya.


Hmm, Abang Ikhwan. Tiba-tiba sahaja nama itu memenuhi ruang minda Efi Nafeesa. Seketika sahaja Efi Nafeesa khusyuk dengan menungannya. Entahlah, pada dirinya, Abang Ikhwan sangat berbeza dalam banyak lelaki lain yang pernah dikenalinya. Dia sendiri kurang meneliti apakah istimewanya Abang Ikhwan. Cuma yang dia tahu, setiap kali terkenangkan Abang Ikhwan, hatinya rasa bagaikan diruntun rindu. Kalau bertemu pula, terasa bahagia sekali. Seolah-olah, Abang Ikhwan sering sahaja hadir di sisinya. hadir yang membawa bahagia. Perasaan apakah ini, Tuhan? Berat benar untuk insan sepertinya menghadapi. Saban waktu, hanya impian itu subur dalam sanubarinya. Tidak pernah terlontar keluar menjadi ucapan. Apatah lagi untuk membayangkan melalui tindakan. Sering sahaja, kala berhadapan dengan Abang Ikhwan, dia sebagaimana biasa. Walaupun, jauh di lubuk hatinya ada rasa yang sekian lama terpendam.


"Ya Tuhan, permudahkan untukku segala urusan. Ringankanlah segala bebanan. Luruskanlah hatiku menempuh kehidupan. Hanya kepadaMu, Tuhan, kembali segala harapan."


Demikian bisik hati Efi Nafeesa.

15 November 2008

Pelangi Hati (Episod Keempat)


Terima kasih, Abang Ikhwan

"Saya rasa prestasi awak sekarang lebih baik daripada dahulu. Lihat keputusan ujian kedua ini, agak memberangsangkan. Bagus!," ujar Puan Syarifah sambil memandang tepat ke wajah Efi Nafeesa.


"Terima kasih, puan." Efi Nafeesa menjawab dengan ringkas. Ada riak senyum di wajahnya.


"Saya harap awak dapat kekalkannya. Saya tahu awak ada kemampuan untuk melakukannya. Jika ada apa-apa masalah lagi jangan segan untuk jumpa saya."


"Baik puan. Boleh saya minta diri, puan... err, saya ada kelas MGT lepas ni.." ujar Efi Nafeesa.


Efi Nafeesa melangkah keluar dari bilik Puan Syarifah Hayati dengan rasa gembira yang berbunga-bunga. Akhirnya dia dapat buktikan yang dia juga boleh melakukan yang terbaik seperti orang lain. Saat kakinya melangkah ke bilik kuliah, mindanya tiba-tiba teringatkan Abang Ikhwan.


Hmmm, Abang Ikhwan turut menjadi salah satu watak yang telah merubah dirinya. Terima kasih, Abang Ikhwan.



Rehlah dan Riadah

"Kita buka sesi mesyuarat kita kali ini dengan Ummul Quran...., al-Fatihah..."


Itulah kata arahan yang pertama keluar dari mulut Akhi Fairul Ikmal, pengerusi mesyuarat merangkap Pemangku Amir Persatuan Nur Hikmah. Sesi mesyuarat kali itu dihadiri oleh semua anggota majlis tertinggi dan juga Pengerusi serta Naib Pengerusi biro-biro dalam persatuan tersebut. Efi Nafeesa turut hadir kerana dia memegang jawatan Naib Pengerusi Biro Perhubungan Luar. Sementara Abang Ikhwan pula adalah Pengerusi Biro Rehlah dan Riadah.


Agenda utama mesyuarat itu adalah tentang program Rehlah dan Riadah yang akan diadakan pada hujung bulan itu. Abang Ikhwan merupakan Ketua Projeknya dan dibantu oleh Kak Nur Laila yang juga Naib Pengerusi biro yang sama dengannya. Maka, dalam mesyuarat kali itu, Abang Ikhwan yang banyak berbicara. Terutama dalam bab menjelaskan tentang perancangan dan persiapan akhir sebelum program itu dapat dilaksanakan. Abang Ikhwan bukan sahaja memberi penerangan tetapi turut dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang kebanyakannya datang daripada Akhi Fairul Ikmal.


Memang program Rehlah dan Riadah kali itu agak berbeza daripada program yang sama yang pernah dijalankan oleh persatuan tersebut. Maka, perancangan dan persiapan yang rapi perlu dilakukan agar dapat mengelakkan berlakunya masalah ketika program itu dilaksanakan nanti. Sekurang-kurangnya dengan adanya mesyuarat seperti itu, setiap sudut persiapan dapat dilihat dan berbagai-bagai kelemahan yang timbul boleh ditangani dengnan bijaksana.


Hampir sejam berlalu, mesyuarat Program Rehlah dan Riadah sudah sampai ke penghujungnya. Akhi Fairul Ikmal yang mempengerusikan mesyuarat mengambil tanggungjawab untuk melakukan penggulungan dan membuat ‘final order’ untuk kesemua ahli jawatankuasanya.

"Baiklah... Ikhwan, sebagai KP program, saya harap awak sentiasa pantau setiap gerak kerja anak-anak buah awak. Kemudian, sila pastikan ada kesinambungan kerja antara jawatankuasa-jawatankuasa kecil yang telah dibentuk. Dan awak Efi Nafeesa, sila hubungi segera pihak pentadbir lokasi program ini. Sentiasa dapatkan makluman terkini tentang situasi dan kondisi di tapak program untuk memastikan segala persiapannya berjalan lancar. Err...., kalau boleh awak dan Nur Laila dapat selaraskan tarikh untuk AJK persiapan tempat memulakan tugas mereka. Baiklah, akhir sekali , saya harap program kita kali ini akan berjalan dengan lancar dan mendapat keberkatan Allah Subhanawata’ala... insya Allah. Kepada semua ahli jawatankuasa terlibat, lakukanlah setiap tugas dengan penuh amanah, mudah-mudahan kita semua beroleh hikmah dan rahmah. Kita tangguhi sesi mesyuarat kali ini dengan tasbih kifarah dan surah al-‘Asr....."


Sebaik sesi mesyuarat itu berakhir, hampir semua yang terlibat mula bersurai kecuali Efi Nafeesa dan beberapa orang lagi yang tinggal.

"Err.., Nur, saya nak tengok laporan untuk jawatankuasa awak boleh tak?" ujar Abang Ikhwan kepada Nur Laila.

"Aaa..... ini dia. Saya dah jumpa dengan Encik Syukur. Insya Allah dia kata tak ada masalah. Cuma dalam sehari dua ni dia akan ‘confirm’kan dengan kita." Jawab Nur Laila sambil menyerahkan sehelai kertas yang tertulis laporan kerja terkini jawatankuasanya.


"Abang Ikhwan, semalam Efi dah ‘contact’ Abang Badri, kalau boleh dia nak kita ‘confirm’kan jumlah peserta dan fasilitator yang terlibat. Bila boleh kita ‘confirm’ ‘kan? Tadi masa ‘meeting’ Anuar kata kita ada masalah sikit dalam hal itu. Macam mana ni?"

"OK, macam ni, abang akan ‘try take-over’ hal itu. Masalahnya kita masih ada beberapa orang yang belum ‘submit’ jawapan diorang. So, insya Allah abang dan Kak Nur akan cuba cari mereka ni esok. Itupun kalau sempat," jawab Ikhwan Hanafi seraya memandang ke arah Nur Laila.


Mata Efi Nafeesa turut memandang ke arah Nur Laila. Lantas Nur Laila memberi reaksi positif - menganggukkan kepala.


Sebentar kemudian mereka turut menyertai yang lain; bersurai. Bilik mesyuarat yang tadinya penuh ditinggalkan kosong. .

Allah Suka Hamba Yang Bertaubat


Menjelang Subuh


Allah Taala suka apabila seseorang membuat dosa,
menyesal dan memohon ampun.....
Kemudian dosa-dosa ini tidak pernah digunakannya seumur hidup.....
Dia terasa terseksa dengan dosa-dosa yang telah berlaku.....
Adakalanya mengenangkan dosa, air matanya menitis berguguran.....
Begitu juga Tuhan sangat suka pada seseorang apabila membuat kebaikan dilupakannya.....
Dia merasakan tidak pernah berbuat dan melakukan.....
Yang dia anggap belum berbuat.....
Yang dia rasa adalah hamba yang berdosa.....
Tuhan juga suka apabila orang membuat baik kepadanya tidak dilupa.....
Ingin membalas jasanya atau mendoakan.....
Juga kesalahannya kepada orang tidak pernah dilupakan.....
Dia teringat sepanjang masa.....
Bahkan dengan kesalahannya itu jiwanya terseksa dan menderita.....
Dia memohon maaf kepada orang ini.....
Kalau orang itu sudah tidak mungkin ditemuinya.....
Dia doakan selalu, kalau dia membuat kebaikan pahalanya dihadiahkan kepadanya.....
Begitu juga Tuhan sangat suka kepada seseorang hamba yang merasa dirinya hina.....
Hina dengan kejadian, hina dengan kelemahan, hina dengan kecuaian, hina dengan dosa-dosanya.....
Hinggakan kebaikannya sudah tidak lagi dilihatnya.....
Yang dilihat adalah dosa-dosanya dan kesalahan-kesalahannya.....
Yang dia lihat adalah kelemahan dan kelalaiannya.....
Hingga tidak ada lagi ruang hatinya untuk bergembira.....
Kerana hatinya telah dipenuhi dengan dukacita....

Ciptaan Asal:
'Team Mawaddah'
Olahan Semula:
"Nasiim Suhail"