Halaman

07 Mac 2010

Sepasang Sayap

Aku dan kamu..
ibarat sepasang sayap,
terasa seperti
menanggung beban di belakang,
tetapi tanpa kita sedar,
beban itulah
yang membantu kita terbang.
Ad
akala badai mendatang,
kita rempuh sekuat daya menahan,
sesekali sayap patah jua,
lalu ke bumi berjatuhan.
Terkadang lupa pada bumi,
tapak asal kita berdiri,
akibat terlalu lama di awangan,
terbang menjejak makna kehidupan.
Bila kita sedar,
terbit kerinduan,
suka duka yang ditinggalkan,
bersilih zaman seindah ingatan.

Kemaafan..

Bila kemaafan yang dipinta,

maka maaflah jua diterima,

bila kemaafan yang diberi,

maka maaflah jua dimiliki,

kemaafan bukan arca hiasan,

bukan komoditi dagangan,

bukan nota taruhan,

bukan jua senda gurauan,

kerana kemaafan itu..

cerminan hati insani

yang punya erti,

peneraju jalan keamanan

duniawi ukhrawi.

Suara Rindu

Demi yang sebenarnya,
tiada rindu yang bersuara,
walau sudah sekian masa,
rindu itu ada.
Tiada yang lebih tahu,
selain zat nan Satu,
rindu sering bertamu,
di ubun-ubun waktu.
Demi sesungguhnya,
awanan rindu kian kelabu,
berarak di langit sayu,
gugur tiada nan tahu.
Tiada yang lebih mengerti,
saat perlu difahami,
cinta bukan sekadar mimpi,
terkubur di lembah hati.
Kerana yang sebenarnya,
bukan rindu taruhannya,
bukan cinta sandarannya,
tetapi syurga sebenar syurga...
11 Safar 1430H
-Johor Bahru-

Impian Mimpi.. Satu

dan mimpi itu,
punya erti lagi,
atau sekadar penyejuk hati,
selami naluri,
kedamaian abadi...
dan impian ini,
tidak seindah dulu,
mekarnya kian layu,
mungkin terkubur di dalam sendu...
dan kisah kasihnya,
cahaya berlapis cahaya,
rekahan nafas sentosa,
semoga kekal bahagia...
dan kembara kasihku,
tidak terhenti di situ,
sungguh aku tahu,
sejak dulu selamanya,
ada cintaku untuknya...
dan yang abadi,
hanya kasih Ilahi,
itulah nyawa hatiku,
hidupnya iman nan satu.
'Haikal Nawwarah'
-5 Dis 2009-
-Johor Bahru-

Cinta Milik Tuhan

Hadirnya...
bawa damai di jiwa,
perginya...
bibit memori bermakna,
kala bersua...
menjelma segala rasa,
bila terpisah...
terpendam tak terluah,
bila dicari...
tak ditemui,
bila dilupa...
teringat semula.
Cinta milik Tuhan,
untuk insan...
bukan hanya perasaan,
tetapi suatu kenyataan...
Tuhan telah menentukan.

Madah..

Adakala cinta hadir tanpa disedari,
lalu berterusanlah pencarian,
atau hanya sekadar menanti,
sedang cinta wujud impian,
mainan perasaankah atau realiti?

DOA

Teruskanlah berdoa,
usah goyah,
bila hasrat disapa mehnah,
usah lelah,
saat impian tersungkur rebah.
Bukankah Dia telah berjanji,
setiap doa pasti dikabuli,
adakalanya tanpa disedari,
nikmat dan hikmah yang jarang disyukuri.
Teruskanlah berdoa,
usah putus asa,
kala parut terluka semula,
usah hampa,
ketika takdir hiba derita.
Fahamilah,
Dia punya rencana...
yang melangkaui doa hamba.
Mengertilah,
Dia penentu segala...
yang mengatasi batasan usaha hamba.

Dia... Kekal Bahagia

Dia...
pernah mencintai lalu dikecewakan,
kelukaan cuba dirawat dengan hijab,
ditutup hatinya tiada lagi cinta.
Dia...
pertemuan tanpa permintaan,
katanya aku miliki kunci,
pintu hati terbuka semula,
mesra indah nuansa cinta.
Tapi itu cerita dulu...
kini dia ada pengganti,
yang pasti lebih baik,
ku kekal bahagia.
-30 Nov 2009-

BIARKANLAH....

Biarkanlah kenangan itu berlalu,
jadi hiasan di taman hati,
jadi bingkisan seantero hidup,
kerana nyawa bukan milikan,
sampai masa akan kembali.
Biarkanlah kisah itu pergi,
haluan insan tak semua sama,
adakala di puncak bahagia,
ada masa di lembah hiba,
demikian isinya hidup,
di dunia hanya sementara.
Nukilan naluri:
Haikal Nawwarah
17 Zulhijjah 1430H
-Johor Bahru-