Halaman

01 Februari 2009

Si Penunggang Kuda Dan Ular


Ada sebuah pepatah yang mengatakan, ‘sangkalan’ orang berilmu lebih berharga daripada dukungan’ si bodoh.
Hal ini terwujud dalam kisah Si Penunggang Kuda dan Ular.
Seorang penunggang kuda, dari suatu tempat yang aman, melihat ada seekor ular menyusup masuk ke dalam tenggorokan seorang Botak yang sedang tidur. Penunggang kuda itu menyedari bahawa apabila orang itu dibiarkannya terus tidur, tentulah racun ular tersebut akan mematikannya.
Oleh kerana itu si Penunggang Kuda mencambuk orang yang sedang tidur sampai dia terbangun. Kerana terdesaknya waktu itu, si Penunggang Kuda itupun memaksa si Botak itu pergi ke tempat yang terdapat banyak buah epal yang busuk, dan memaksanya memakan buah-buah busuk itu. Setelah itu, si Penunggang Kuda, memaksanya meminum air sungai sebanyak-banyaknya.
Dalam pada itu itu, si Botak yang ketakutan itu terus berusaha melepaskan diri, tangisnya, "Apa dosaku, wahai manusia, sehingga aku kau seksa begini kejam?"
Akhirnya, ketika ia hampir lemas, dan petang mulai tiba, si Botak itu jatuh tersungkur ke tanah dan memuntahkan buah epal, air, dan ular tadi.
Ketika dilihat olehnya apa yang telah dimuntahkan, si Botak memahami apa yang telah terjadi, dan memohon maaf kepada si Penunggang Kuda.
Ini syaratnya. Dalam membaca kisah ini, jangan dikelirukan sejarah untuk ibarat, atau ibarat untuk sejarah. Mereka yang dianugerahi ilmu pengetahuan memiliki kewajipan (tanggungjawab/peranan). Mereka yang tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apapun di sebalik apa yang dapat mereka agak-agak sahaja (meneka-neka).
Si Botak yang ditolong itu mengatakan, "Kalau dari awal kamu mengatakan hal itu, tentu saya terima tindakanmu itu dengan rasa terima kasih."
Si Penunggang Kuda menjawab, "Kalau tadi kukatakan hal yang sebenar, tentu kamu tidak percaya atau kamu menjadi kejang ketakutan. Atau kamu lari lintang-pukang. Atau malah tidur semula."
Sambil memacu kudanya, orang yang diliputi ‘misteri nusantara’ itu segera berlalu.

Catatan:
Sahabat; dalam membantu orang lain kita tak lepas daripada dipandang serong oleh orang yang tidak faham. Adakala kita menyatakan sesuatu yang benar namun, kebenaran itu sering disalahertikan. Adakala kita berniat ikhlas, namun keikhlasan itu dipijak orang.
Kepada siapa tempat mengadu? Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui sedia menanti pengaduan kita.
Sahabat; banyak orang yang bersalah tidak nampak kesalahannya. Banyak juga yang ingin memperbetulkan orang lain tetapi lupa memperbetulkan diri sendiri. Ada yang memberi nasihat tetapi dia sendiri tidak makan nasihat. Ada yang suka dinasihati tetapi dia sendiri tidak mahu memberi nasihat.
Biar apapun, nasihatilah orang lain dan mintalah nasihat!!!
"ad-Dinun-Nashihah"  "Agama itu nasihat-menasihati"

31 Januari 2009

Ukhwah nan Murni

Salamku untukmu
dari liang-liang hati nurani
terukir arca ukhwah yang murni
lantas cahaya Ilahi menyinari
menyuluh haluan kasih abadi
Dalam masa kebuntuan
resah dilanda ujian
lalu berjuang akal dan iman
menepis hasutan..
nafsu dan syaitan
kalau ada yang menang...
tentu ada yang kalah
M
erenung ke luar jendela
ada sinar mentari menerangi
memandang pula ke hati
masih mengharap petunjuk Ilahi
bukan mudah, itu sudah pasti
tetaplah mencari pasrah
agar hati nan redha ini
ada sabar menemani.........
Andai esok masih ada
tetaplah iman di hati...
menyuluhi lorong hidup ini
bersama pepohon taqwa
bersemadi dalam diri
Salamku untukmu
mengakhiri bicara ini
agar ukhwah nan murni
warnanya beralun mawaddah
dalam redha Ilahi
mekar mewangi kasih abadi....
Ilham bicara;
'Haikal Nawwarah'
20/12/2004 = 8 Zulqa’edah 1425H
-{-Johor Bahru-}-

30 Januari 2009

Teman, Harapan & Impian


Andai dirimu punya harapan
mampukah dirimu menggapai...
andai dirimu punya impian
mampukah dirimu mengejar
Teman,
harapan tak semudah anggapan
adakala di luar jangkaan
hingga menerbitkan persoalan
tanpa noktah jawapan
kerana harapan itu berpautan
antara yang mencipta harapan
dengan apa atau siapa yang diharapkan.
Teman,
impian jua tak sekadar mimpi
andai dirimu perhalusi setiap aksi
sehingga membina prasarana saksi
yang tidak lagi dicanang ilusi
kerana impian itu sendirian
milik hati yang mengimpikan
dan pemilik jiwa yang bertautan.
Antara harapan dan impian...
yang manakah menjadi pilihan...
dirimu jua yang menentukan...
kerana dirimu seorang teman.


nukilan hati:
'Haikal Nawwarah'
8 Rejab 1427
-Alor Setar-

Jawapan Sebuah Penantian (Episod 01)


Seketika lagi, menjelang tiba saat yang sentiasa dinanti-nanti. Saat untuk Ain meleraikan kerinduan yang lama bersarang di hati. Semakin lama semakin kukuh kerinduan itu. Ain seolah-olah tidak sabar-sabar lagi. Entah bagaimana keadaan insan yang amat dirindui oleh dirinya itu. Hati yang sentiasa tertanya-tanya dalam kerinduan tanpa jawapan. Seboleh-bolehnya Ain tidak mahu menunggu lebih lama lagi untuk pertemuan itu. Pertemuan yang pertama sejak sekian lama terpisah.
Apakah ikatan yang mengikat hatinya dengan insan itu? Sedangkan mereka tiada langsung apa-apa pertalian darah umpamanya adik-beradik atau saudara-mara. Entahlah, jalinan hati antara Ain dan insan itu sangat bermakna. Bunga ukhwah itu mekar selepas disemai suatu waktu dulu. Ada sesuatu yang simbolik dalam perhubungan itu. Biarlah apa kata orang, Ain sudah tidak ambil pusing lagi. Memang setiap orang ada hak untuk berbicara. Bicara apa pun. Tetapi terpulanglah kepada dirinya untuk menilai atau menerima kata-kata orang itu. Selagi ada keyakinan dengan apa yang dilakukan itu betul, selagi itu tiada apa yang perlu digusarkan.
Andainya semalam dia bermimpi. Selalu Ain berharap insan yang dirindui itu hadir sekali. Tak kisahlah walaupun sekadar dalam mimpi. Itu lebih baik, kata Ain. Sekurang-kurangnya figura insan itu masih segar dalam memorinya. Biarpun mungkin akan ada perbezaannya nanti, figura asal tentu akan dapat membantu untuk mengenalpasti insan itu.
"Mana ni wak? Tak sampai-sampai pun. Betul ke dia janji nak jumpa kita kat sini?" Ain mula resah bila orang yang dinanti tak kunjung tiba.
"Betullah kat sini. Sabarlah, wak... Kejap lagi sampai la tu."
"Mana? Tak ada pun. Janji pukul 10. Sekarang tengok dah lebih 15 minit ni..."
"Sabo..., doa-doalah sikit biar dia selamat. Mana tahu ada aral kat tengah jalan." Iman cuba menenangkan suasana.
Tempoh lima belas minit telah pun berlalu. Masih tiada lagi bayangan Fairul. Entah akan muncul atau tidak. Dua orang gadis yang menantinya sudah diselubungi kebimbangan. Mereka sedar bukanlah mudah untuk ke tempat itu. Perlu meredah lautan luas. Ya, lautan luas. Lautan yang kini terbentang di hadapan mereka. Lautan itu yang memisahkan mereka dengan insan yang sedang dinanti itu. Nur Ain dan Nurul Iman masih lagi menanti. Di dalam hati mereka tidak putus-putus doa sepenuh harapan. Semoga insan yang dinanti oleh mereka itu akan selamat sampai. Lama sudah pulau itu menanti hadirnya.
Merujuk kepada surat yang dikirimnya, benarlah hari ini, Fairul akan ke pulau itu. Fairul benar-benar disua dengan kerinduan yang hebat. Puncanya hanya kerana perpisahan yang hadir lima tahun yang lalu. Ketika itu Fairul perlu pulang ke tanah besar. Ada keperluan, kata majikannya. Dalam berat hati, Fairul tinggalkan jua pulau itu. Bukan sahaja meninggalkan pulau bersejarah itu tetapi turut meninggalkan kenangan bersama insan-insan yang disayanginya. Perasaan sayang yang hadir sejak perkenalan mereka bermula.
"Karang ini bukan selalu ada. Cantik ‘kan?"
"Hmm, cantik. Secantik orang yang memegangnya..."
Fairul tersenyum selepas mengusik Ain. Tersipu-sipu Ain dibuatnya.
"Err, jadi ke abang nak balik ke seberang?"
"Mana tak jadinya. Encik Azmil dah call abang pagi tadi. Dia ingatkan lagi tentang tarikh abang kena lapor diri."
"Bila?"
"Hujung bulan ni."
"Jadi, dah tak lama lagi? Mmm, tinggallah kami kat sini...."
"Hmm.., apa nak dikisahkan, abang pun bukan orang pulau ni. Adatlah kalau jadi anak dagang. Sampai masa kena kembali juga."
"Bila abang akan datang ke pulau ni lagi?" soal Ain. Ada riak gharib di wajahnya.
"Hei, apa ni? Janganlah sedih. Abang belum pergi lagi..."
"Eh?! Siapa sedih? Mana ada? Tak sedih pun." Balas Ain sambil memalingkan wajahnya.
Perbualan itu terhenti sebaik sahaja Iman datang mencelah. Terserlah riang di wajahnya. Iman tidak datang seorang. Di kiri dan kanannya, Aliya dan Izzah.
"Hah! Buat apa ni? Dari jauh kami nampak macam ada yang menarik je. Tak nak kongsi dengan kami ke?" kata Izzah. Sempat dia menyiku Ain.
"Tak ada apa-apa. Korang ni..., jangan pandai-pandai fikir yang bukan-bukan eh?" balas Ain bersahaja.

23 Januari 2009

Rehal Waktu Kian Tertutup (II)


Menarik diri dari meminta-minta
Menolak hati dari dinoda
Menahan jiwa di dalam duga
Perlukah merayu pada yang lemah?
Merintih-rintih pada yang terbatas dalam memberi?
Sedangkan Tuhan itu Maha Kaya..
Mengurnia tanpa hadnya..
Menetapkan dalam setiap rencana
Aduhai..
Menangislah hati
Meratapi dosa mencari redha.

Nukilan hati:
'Haikal Nawwarah'
27 Disember 2008
-Johor Bahru-

22 Januari 2009

dIARI bIRU (Episod 9:Akhir)


"Saat ini saya tidak tahu saya di mana. Saya hanya tahu yang saya tidak akan kembali lagi ke dunia nyata. Alam yang saya bakal tempuhi pastinya terlalu asing buat saya. Namun, itu hanya sebahagian daripada perjalanan yang telah ditetapkan susur-galurnya. Saya pasrah dengan ketentuan ini.
Maafkan saya. Saya tiada niat untuk merahsiakannya. Saya sekadar tidak mahu menyusahkan sesiapa. Saya mengaku, saya tidak tahu sama ada tindakan saya ini betul atau tidak. Saya cuma melakukannya mengikut gerak hati saya. Sudah lama saya menanggung beban sakit yang sukar dirawat ini. Sudah lama juga hidup saya berterusan dengan bergantung pada ubat yang diberi doktor. Lebih pasti, sudah sekian lama saya meneruskan hidup dengan rahmat Tuhan. Saya bersyukur kerana saya sempat mengenali awak, Eliya. Di sebalik saya menerima awak, saya juga mengharapkan awak menerima saya seadanya saya ini. Saya sedar siapa diri saya. Saya hanya mampu melakar harapan untuk awak. Malah saya tahu, saya sukar mengukir harapan yang saya beri pada awak untuk diatur menjadi arca sebenar. Harapan itu terlalu sukar untuk menjadi kenyataan. Saya tahu semua itu. Tetapi saya tiada niat untuk mempermainkan hati dan perasaan awak.


Apalagi yang boleh saya ajukan pada awak sekarang selain lafaz kemaafan tanpa suara ini. Jika diizinkan Tuhan kita pasti akan bertemu lagi di alam lain. Saya harap pertemuan kita di alam dunia tidak berakhir begitu sahaja. Saya akan terus menanti awak. Itulah doa saya saban waktu. Mungkin di sana nanti pertemuan kita akan lebih bermakna biar dalam apa jua keadaan sekalipun. Maafkan saya. Saya dengan setulusnya memohon maaf dan maaf jua saya hulurkan pada awak dan pada sesiapa jua yang pernah mengenali saya.


Eliya, pelayaran ini tidak mudah. Kita tidak tahu di mana akan berlabuh. Saban detik ombak memukul dan menggoncang bahtera dalam pelayaran ini. Ombak itu terus menguji kekuatan kita. Jangan terjun ke lautan. Jangan tinggalkan bahtera itu. Jaga bahtera itu. Lindungi ia sepertimana ia melindungi awak. Suatu masa nanti jika ada daratan untuk berlabuh, pilihlah pelabuhan yang pernah mempertemukan kita dahulu. Mana tahu jika di situ Tuhan mengizinkan saya menanti awak. Seperti mana Adam menanti Hawa. Seperti mana Tuhan mempertemukan mereka di Arafah. Mungkin seperti itu kita akan bertemu kelak. Di suatu padang yang pasti.
Simpanlah Diari Biru ini baik-baik. Jagalah ia seperti awak menjaga diri awak sendiri. Inilah azimat cinta kita. Semoga Tuhan merestuinya........ amin!"


Eliya menutup Diari Biru itu. Dipegangnya erat-erat. Dipeluknya sekuat hati. Sekuat itulah dia mengolah rindu yang hadir. Sekuat itu juga dia harus berjuang untuk meneruskan hidup.


Dalam menahan kesakitan itu Eliya terus-terusan memegang Diari Biru itu. Sofea Natasha yang menyampaikan kepadanya tadi. Saat itu Eliya sangat mengharapkan Sofea Natasha ada di situ, di sisinya, tetapi Sofea Natasha terpaksa pulang ke kampus untuk menduduki peperiksaan akhir semester. Sedangkan Eliya terlantar tidak bermaya di katil hospital besar itu. Ibunya dikatakan dalam perjalanan. Entah berkesempatan atau tidak Eliya menatap wajah ibunya untuk kali yang terakhir. Mungkin.


Eliya membuka semula Diari Biru itu dan cuba menulis sesuatu di halaman terakhir diari itu. Halaman itu masih kosong. Sepenuh sisa tenaga yang masih tinggal, Eliya cuba menamatkan tulisannya. Semuanya menjadi kelam saat Eliya menandakan noktah terakhir. Serentak dengan itu pena di jarinya rebah.


'Ibu, angah mohon kemaafan dari ibu. Angah banyak buat salah pada ibu. Maafkan angah, ibu. Angah rindu nak lihat wajah ibu. Tapi masa angah makin suntuk. Angah takut tak sempat. Angah mohon ibu maafkan angah. Halalkan segala pengorbanan ibu pada angah. Angah tak mampu balas jasa dan pengorbanan ibu. Angah harap ibu tabah menghadapi semua ini. Doakan angah, ibu.
Ibu, angah ada satu permintaan. Angah harap ibu tak keberatan untuk menunaikan permintaan angah ini. Ibu ingat lagi Imran Khairi yang angah pernah ceritakan kat ibu dulu? Dia dah pergi dulu, ibu. Angah sedih tak dapat jumpa dia. Saat dia pergi, angah sendiri terlantar di sini. Tolong angah, ibu. Tolong kebumikan jenazah angah di sebelah pusaranya. Ibu, angah rasa masa angah dah sampai. Sakitnya, ibu.... !'


"Ya Allah!!!"


Berjurai-jurai air mata Puan Azimah. Dia tidak mampu menahan kesedihan saat melihat jenazah anak kesayangannya itu dimasukkan ke liang lahad. Kau pergi dulu, anakku, bisik hati kecil Puan Azimah.


Di satu sudut dalam kamar tidur itu, Diari Biru diam tidak terusik. Puan Azimah meletakkannya di situ. Di kamar allahyarhamah Eliya Ameera, anak kesayangannya. Itulah pengubat rindunya pada Eliya. Itu jugalah tanda kasih arwah anaknya dan Imran Khairi. Biarpun sudah lebih sebelas tahun berlalu, Puan Azimah masih menjaga diari itu dengan baik.


Bicara Akhir


"Dia masih berlayar di lautan itu......!" Sapa suatu suara di belakangku.


"Siapa?" soalku.


"Imran Khairi...."


"Belum bertemu daratan lagi?"


"Belum, tapi dia tidak seorang lagi."


"Dia dengan siapa?"


"Bersama kekasihnya... Eliya Ameera...!"


Diari Biru kututup baik-baik. Walaupun sudah agak usang, tetapi tulisan di dalamnya masih boleh dibaca dan difahami. Tali pengikat helaian pun sudah tidak cukup kuat. Hampir-hampir sahaja terburai.


Terharu aku dengan kisah cinta dua insan itu. Arwah nenek yang menghadiahkan aku Diari Biru itu kepadaku semasa aku menyambut hari lahir ke- 21 tahun. Kini, akulah penjaga Diari Biru itu.


Seandainya aku adalah Imran Khairi dan dia adalah Eliya Ameera.......

Orang soleh dengan sepatu


Kisahnya, ada dua orang soleh dan terhormat pergi ke masjid bersama-sama. Yang pertama membuka sepatunya, lalu meletakkannya baik-baik di luar pintu masjid. Yang kedua membuka sepatunya, menangkupkan di kedua-dua muka sepatunya, kemudian membawa sepatunya itu masuk ke dalam masjid.
Sekelompok orang soleh lain, sedang duduk berhampiran pintu masjid. Kedengaran pembicaraan tentang kedua-dua orang soleh yang baru masuk ke masjid tadi; yang mana di antara kedua-duanya yang benar.
"Jika orang masuk masjid berkaki ayam, bukankah sebaiknya ditinggalkan saja sepatunya di luar?" tanya seorang di antara mereka.
Seorang yang lain menyambung, "Tetapi tidakkah kita harus mempertimbang bahawa orang yang membawa sepatunya ke dalam masjid itu selalu ingat akan dirinya?"
Ketika dua orang soleh itu selesai solat, mereka ditanyakan secara terpisah tentang masalah itu oleh kedua-dua kelompok yang tadi berbeza pendapat.
Orang pertama menjawab, "Saya meninggalkan sepatu di luar masjid atas alasan biasa. Jika seandainya ada orang yang ingin mencurinya, ia akan berusaha untuk menahan dirinya agar tidak melakukan tindakan haram itu, dengan demikian iapun telah mendapatkan kebaikan untuk dirinya sendiri."
Para pendengar jawapannya sangat terkesan oleh ucapan orang yang soleh itu, yang menganggap harta miliknya tidak begitu berharga, sehingga diserahkan begitu sahaja kepada nasib yang mungkin menimpanya.
Pada saat yang sama, orang soleh kedua berkata, "Saya membawa sepatu saya ke dalam masjid kerana apabila saya tinggalkan di luar, mungkin akan menimbulkan rangsangan orang untuk mencurinya. Sesiapapun yang tak dapat menahan dorongan mencuri itu tentunya melibatkan aku dalam dosanya."
Para pendengar hujahnya juga sangat terkesan oleh kenyataan yang baik itu dan memuji kedalaman akal fikirannya.
Namun, ada orang lain, yang juga bijaksana, yang berada di antara kerumunan orang-orang itu, berteriak, "Sementara kalian berdua dan para pengikutmu terbuai dalam perasaan kecilmu, saling bicara tentang hal-hal yang diandaikan, ada hal-hal yang sungguh-sungguh nyata baru sahaja terjadi."
"Apa dia yang berlaku?" tanya kerumunan orang-orang itu.
"Tiada seorangpun yang tergoda oleh sepatu itu. Tiada juga orang yang tak tergoda oleh sepatu itu. Si pendosa yang diandaikan itu tidak pernah lewat. Namun, seorang yang sama sekali lain daripada kalian telah memasuki masjid, seorang yang tidak memiliki sepatu - yang tidak memikirkan akan meninggalkannya di luar pintu atau membawanya ke dalam. Tiada seorangpun yang memperhatikan perilakunya itu. Dia juga tidak menyedari akibat yang ditimbulkannya terhadap orang-orang yang melihatnya atau yang tidak melihatnya. Namun, kerana ketulusannya yang mendalam, doa-doanya di dalam masjid hari ini secara langsung membantu meringankan orang-orang yang mungkin sungguh-sungguh mahu mencuri atau tidak jadi mencuri atau memperbaiki diri sendiri kerana kesedaran menghadapi godaan. Apakah belum juga kalian ketahui bahawa sekadar perilaku yang sepenuhnya disedari, betapa berhargapun dalam pengertiannya sendiri, merupakan hal yang tak bererti, apabila diketahui bahawa sesungguhnya ada orang-orang yang sungguh-sungguh, BIJAKSANA?"

Catatan:
Sahabat; kita hanya memerhatikan kebaikan yang kita lakukan yang boleh memberi kesan di sudut pandangan orang lain. Namun, semua itu hilang ertinya tanpa ketulusan dan keikhlasan hati yang hakiki.
Ketahuilah, ada insan lain yang melakukan sesuatu kebaikan tanpa memikirkan sama ada orang memandang apapun terhadapnya. Insan itu melakukannya dengan niat yang tulus ikhlas. Tetapi, kerananya banyak kebaikan melimpahi orang lain yang merasa seolah-olah kebaikan dirinya menyebabkan ia mendapat itu dan ini.
Sahabat; sedarkah kita? Jika dosa-dosa kita menjadi ukuran, setitis air hujan pun tidak akan menimpa bumi. Tetapi hujan turun jua kerana limpahan rahmat Tuhan kepada makhluk-makhluknya yang lain yang melata di muka bumi ini. Mungkin hujan itu turun kerana ada sekumpulan semut yang sedang kehausan. Atau ada rumput semalu yang sedang layu kekeringan. Dan bukan kerana kita... Fikirkanlah...!!!
Semoga kita menjadi manusia yang punya erti......! Berbakti menuju alam abadi....!

18 Januari 2009

SIFAT MURID


Diceritakan bahawa Ibrahim Khawwas, ketika ia masih muda, ingin mengikuti seorang guru. Iapun mencari seorang bijak pandai, dan mohon agar dibenarkan menjadi pengikutnya.
Si Tuan Guru berkata, "Kau belum lagi bersedia."
Tetap Ibarahim Khawwas berkeras juga, lalu guru itu berkata, "Baiklah, aku akan mengajarimu sesuatu. Aku akan berziarah ke Makkah. Kau ikut."
Ibrahim Khawwas teramatlah gembira.
"Kerana kita mengadakan perjalanan berdua, salah seorang harus menjadi pemimpin, " kata Tuan Guru. "Kau pilih jadi apa?"
"Saya ikut saja, Tuan Guru yang memimpin," kata Ibrahim.
"Tentu aku akan memimpin, asalkan kau tahu bagaimana menjadi pengikut," kata Tuan Guru.
Perjalananpun dimulai. Sementara mereka beristirehat pada suatu malam di padang pasir Hijaz, hujan pun turun. Tuan Guru bangkit dan memegang kain penutup, seraya melindungi muridnya dari kebasahan.
"Seharusnya sayalah yang melakukan itu kepada Tuan Guru," kata Ibrahim yang mula bersa serba-salah.
"Aku perintahkan agar kau membenarkan aku melindungimu," kata Tuan Guru.
Pada siang harinya, Ibrahim Khawwas berkata, "Lihatlah ini hari yang baru. Sekarang, perkenankan saya menjadi pemimpin, dan Tuan Guru mengikut saya."
Tuan Guru pun setuju.
"Saya akan mengumpulkan kayu, untuk membuat api," kata Ibrahim Khawwas.
"Kau tak boleh melakukan itu; aku yang akan melakukannya," kata Tuan Guru.
"Saya memerintahkan agar Tuan Guru duduk saja sementara saya mengumpulkan kayu!" kata Ibrahim Khawwas.
"Kau tak boleh melakukan hal itu, sebab hal itu tidak sesuai dengan syarat menjadi murid; pengikut tidak boleh membiarkan dirinya dilayani oleh pemimpinnya," kata Tuan Guru yang bijaksana itu.
Demikianlah, setiap kali Tuan Guru menunjukkan kepada murid apa yang sebenarnya makna menjadi murid dengan contoh-contoh.
Mereka berpisah di gerbang Kota Suci. Sewaktu kemudian bertemu lagi dengan Tuan Guru yang bijaksana itu, Ibrahim Khawwas tidak berani menatap matanya.
"Yang kau pelajari itu, adalah sesuatu yang berkaitan dengan sedikit menjadi murid," kata Tuan Guru.

Catatan:
"Biarkan saja apa yang dilakukan untukmu dikerjakan orang untukmu. Kerjakan sendiri apa yang harus kamu kerjakan bagi dirimu sendiri."

Muhasabah….. (epilog seorang hamba dhaif)


Dia mula menyedari
siapakah dirinya itu
selayaknya dia menilai diri
ingin menggapai sinar permata
sedang diri masih kesuraman
ibadahnya seikhlasnya untuk apa…..
kala meniti landasan hidup
adakalanya sering tergelincir
mujur kasih Ilahi tidak bertabir
biar diri bersalut dosa
hadir diri dalam arus maksiat
selayaknya dia menilai diri
menanam impian melangit
sedang diri diselimuti kasa hitam
hanya dibayangi sutera bersulam emas
namun, dia tetap begitu
di sana kemuliaan
di sini kehinaan
kalut dalam ketewasan
cedera dalam perjuangan
dia kerap memikirkan
selayak manakah dirinya
memiliki mawar seharum kasturi
sedang diri sering terleka
bernanahkan riak dalam diri
bertemankan nafsu mazmumah
alangkah rendahnya nilai diri
di tabir waktu jua
dia sering memohon pada Yang Esa
agar dirinya akan berubah
tidak lagi lemas di daratan
tidak lagi tewas dalam perjuanga
semoga hatinya tulus dan suci
semoga dirinya mendapat mulia
di sisi Tuhan
itulah yang utama
semuanya terlaksana
hanyalah dengan keizinan……