Halaman

14 Januari 2009

dIARI bIRU (Episod 8)


Aku gagahi langkah kakiku meniti jalan-jalan yang semakin berliku ini. Aku tidak pasti ke mana arahku. Entahlah, sekarang hanya aku yang berada di sini. Langit yang membiru diserikan dengan cahaya purnamanya rembulan. Cuaca sangat baik malam ini. Cuma aku yang kurang baik. Tiba-tiba sahaja tadi dadaku sakit. Aku tahu kenapa tetapi aku seperti biasa kurang menghiraukannya. Sememangnya selalu aku begitu. Aku dah terbiasa dengan kesakitan itu tetapi kali ini lain sedikit. Sakitnya terlalu kuat. Seolah-olah menolak keupayaanku untuk menahannya. Langkah kaki yang kuhayun semakin payah. Batuan jalan seakan ada pelekat yang melambatkan pergerakanku. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Melihat kalau-kalau ada sesiapa yang berhampiran. Boleh juga aku memohon pertolongan. Aku benar-benar tidak mampu. Tiada sesiapa. Aku jadi hampa. Ya Tuhan, usah biarkan aku begini...! Syukur pada Tuhan, sebuah kereta melalui jalan yang kususuri itu. Segera aku menahannya. Semoga aku belum terlambat.


"Keadaan awak terlalu kritikal."


Seorang doktor yang siap beruniform dengan stetoskop tergantung di leher memberitahuku. Aku kenal doktor itu. Dia Doktor Iza yang sering aku temui di hospital ini.


"Akak dah beritahu Doktor Badrul, jika ujian darah Imran selesai, mungkin kita akan buat satu ‘operation’." Jelas Doktor Iza yang lebih senang membahasakan dirinya ‘akak’ denganku.


Aku masih diam. Aku tidak mampu bersuara. Apatah lagi berbicara. Mulutku diserkup dengan alat bantuan pernafasan. Dadaku masih lagi berombak kuat. Hakikatnya, pandanganku kabur tetapi aku masih boleh mendengar bicara Doktor Iza.


"Awak berehat dulu ye, Imran. Akak datang lagi nanti." Ujar Doktor Iza sambil mengusap kepalaku. Aku dapat mendengar hentakan kakinya meninggalkan aku di dalam bilik itu. Seakan aku dapat merasakan masaku semakin hampir. Satu demi satu keresahan menjengah ke sudut hatiku.

12 Januari 2009

Bila Diri Disayangi

Terdengar bisikan mesra
kalimah keramat bermentara
bermulanya siang berakhir malam ku
tak akan ku jemu menyebut nama Mu
Tiada batasan waktu
tiada tempat Mu tertentu
di gunung di lembah
di darat di air
siapa pun hamba
keikhlasan doa
keagungan kasih
merubah takdir...
Bila ku sedari diri disayangi
langkah kaki ini semakin berani
bila terkeliru ku ucap nama Mu
terasa diriku kembali dipandu
Engkau yang pertama, tiada akhirnya
aku dalam kegelapan Engkaulah cahaya
izinkahlah aku menumpang di sini
di bawah naungan kasih dan sayang Mu
ku berserah diri

10 Januari 2009

Warkah Seorang Sahabat...


Assalamualaikum
Citer ana ni pelik sikitlah.
Tapi ana nak share juga, sesiapa yang niat nak couple atau baru saja start nak couple atau bercadang nak cari2 couple tu ikutilah citer ana ni...
Ana ada seorang kawan muslim. Kami sama-sama saling suka.. dia dah bagi tahu perasaan dia kat ana dan hasrat dia nak ambil ana sebagai zaujah (teman hidup) dia. Anapun dah cakap harapan dan hasrat ana pada masa depan. Kiranya kami ni masing2 dah bagi harapan.
Tapi, kami dah berjanji tak kan bercinta sebelum kawin. Ana sangat terharu, sebab yang mula2 menyatakan 'nak bercinta lepas berkawin' tu muslim tu sendiri. Sebabnya ana cukup risau kalau ada antara kami yang tak sefahaman sebab ana betul2 nak jaga.
Kalau boleh, nak hindarkan berkawan terlalu rapat. Ana rasa doa ana dimakbulkan Allah... kerana setiapkali lepas solat ana doa kalau betul dia jodoh yang terbaik untuk ana, Allah mudahkan jodoh kami dan jauhkan kami dari melakukan dosa maksiat.
Terasa sangat Allah letakkan persefahaman tu dalam hati kami. Sama-sama tak nak couple.. sama-sama nak jaga. Alhamdulillah....
Then... sekarang ana jarang contact dia, dia pun jarang contact ana. Tapi ana rasa ada sesuatu yang menghubungkan hati kami iaitu pergantungan sepenuhnya pada Allah.
Ana betul2 serah pada Allah. Doa dan tawakkal buat ana rasa yakin.
Ni doa yang ana selalu amalkan, "Ya Allah, cukuplah Engkau sebagai pemantau kami, penjaga kami, pelindung kami, pengawas kami, pemelihara kami, pengingat kami. Peliharalah hati kami dari terpaling daripada-Mu. Pelihara hati kami dari rasa kecewa, rasa sedih, rasa lemah dan rasa gelisah".
So far, alhamdulillah setakat ni tak rasa resah tak dapat message dari dia, tak gelisah dia tak call, tak risau takut2 dia berubah hati. Ana tak nafikan kadang-kadang teringat juga tapi apa yang ana buat, ana doa dan sedekahkan fatihah untuk roh dia untuk kemaslahatan dia dalam menjalani apa jua urusan hidup (sedekah fatihah bukan untuk orang mati saja tau).
Yakinlah pada Allah. Letakkan sepenuhnya pergantungan pada Dia. Kita tak dapat nak kawal dan jaga hati orang supaya terus suka kat kita. Allah yang berkuasa jaga hati hamba2Nya. Biar Allah tentukan.Kalau betul dia jodoh baik untuk kita, Allah akan permudahkan jalan tu hingga kita selamat jadi isteri dia. Kalau dia tak baik untuk jadi jodoh kita.. redhalah. Kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
Allah sebaik-sebaik pengurus, sebaik2 penolong dan sebaik2 tempat mengadu.
Sama-sama kita cari dan kejar cinta Allah... kerana cinta Allah la sebaik2 cinta, dan se'agung'2 cinta.
Wallahu 'aalam mungkin pelik cara ana ni, tapi itu yang ana rasa cara terbaik sebagai penghubung ana dengan muslim tu.

-Sahabiah-

05 Januari 2009

dIARI bIRU (Episod 7)


Sang rembulan yang sedang purnama itu bercahaya terang. Pantulan cahaya pinjaman sang suria menyimbahi bumi. Suasana kelam malam sedikit terusik dengan simbahan cahaya sang rembulan itu. Sesekali lembut bayu malam menyapa ke setiap anggota tubuh yang tidak tertutup. Sedikit menggigil kerana terasa juga kedinginannya. Aku menghirup nyamannya udara malam itu. Aku dirasuk dengan keasyikan yang tiada kosa kata dapat menggambarkannya. Asyik dengan nikmat Tuhan yang tidak berbayar. Percuma sahaja untuk umat manusia yang mendiami bumi. Terima kasih Tuhan. Sungguh aku cuba untuk tidak melupakan nikmat udara kurniaanMu yang Maha Hebat ini. Tiada sebarang nilaian di dunia ini yang mampu membayarnya. Malah, Engkau wahai Tuhan tidak pernah meminta apa-apa balasan daripada manusia. Malah, saban waktu nikmat itu dinikmati sehingga hujung nyawa. Selagi ajal belum tiba. Maha Pemurahnya Engkau wahai Tuhan. Syukur ini tidak senilai kurniaan dan anugerah yang telah Kau berikan padaku. Satu daripadanya dengan nikmat kasih sayang sesama insan ini, memberi aku peluang untuk merasainya. Aku jadi makin takjub dengan kekuasaanMu. Melalui nikmat kasih sayang ini, dan dengan keizinanMu, aku telah bertemu dengannya. Mengenalinya, kemudian dalam tidak sedar aku mula menyayanginya. Indahnya perasaan ini, wahai Tuhan. Kau terlalu memahami fitrah hambaMu. Aku mengerti kini. Perlunya Kau menjadikan Hawa sebagai teman kesunyian Adam. Aku mula semakin mengerti.




Semakin hari, aku semakin mengerti dan akan terus cuba mencari erti. Erti sebenar sebuah kasih sayang yang sejati. Kasih sayang yang bukan nilaiannya wang emas atau perak. Tetapi terletak pada hati yang ikhlas dan tingkah yang dicorak.



Aku bersyukur kerana mengenalinya. Hari demi hari aku akan terus menanti hikmah atas pertemuan aku dan dia ini. Entahlah, kadangkala pengertianku terhenti. Lalu, aku selusuri jalan-jalan harapan. Membuatkan timbul satu persoalan dalam benak fikiran. Adakah mungkin impianku akan tercapai? Atau aku hanya menukilkan sebongkah angan-angan? Oh Tuhan, jika ini hanya anganku, Kau izinkanlah anganku itu menjadi kenyataan.

DUHAI HATI


Duhai hati....
pandanglah pada keindahan,
hati ingat kepada ALLAH yang menjadikan.
makanlah yang enak-enak,
hati ingat kepada ALLAH yang memberi rezeki.
bersabarlah ketika sakit,
hati ingat kepada ALLAH yang ingin menguji kesabaran hambaNya.
bersyukurlah ketika berjaya,
hati ingat kepada ALLAH kerana setiap kejayaan itu milikNya.
tabah jika menghadapi kegagalan,
hati ingat kepada ALLAH yang mengetahui hikmah di sebaliknya.

01 Januari 2009

dIARI bIRU (Episod 6)


Sofea Natasha memandang sayu sahabatnya yang semakin pucat itu.


"OK, sekarang awak bagitau saya, apa sebab awak pengsan semalam?" Sofea Natasha cuba menjebak Eliya. Entahlah, seolah-olah dia merasakan yang Eliya cuba menyembunyikan sesuatu daripadanya.


"Mungkin penat sangat kot.... Lagipun awak pun tahu saya tak minum pagi hari tu." Eliya cuba memberi alasan. Minta-minta Sofea Natasha akan mempercayainya. "Saya dah OK sikit ni, tak payahlah pergi klinik, kay?"


"Suka hati awaklah, cik Eliya. Dah pakai tudung tu cepat, kita turun sekarang. Tentu Imran dan Afzan dah tunggu kat bawah," kata Sofea Natasha yang melegakan sedikit perasaan Eliya.


"Nak buat apa turun? Awak jelah jumpa diorang. Saya nak study sikit ni. Cakapkan yang saya minta maaf sebab susahkan diorang,” sekali lagi Eliya memberi alasan, cuba mengelak daripada bersoal jawab dengan Imran pula selepas itu.


Ya Salam! Pelik sungguh Eliya ni, getus hati Sofea Natasha. Selalunya dia jarang mengelak untuk bertemu Imran. Terpulanglah, bisik hati Sofea Natasha. Perlahan-lahan Sofea Natasha menuruni tangga asrama.
Di bawah Asrama Tun Teja.....


"Kenapa dengan dia?" soalku kepada Sofea Natasha. "Awak tak pujuk dia ke Tasha?"


"Hmm, puas dah saya memujuk, Imran... Dia kata dia dah OK. Tapi wajahnya masih pucat lagi." Sofea Natasha menjawab sambil menggelengkan kepalanya, menyerlahkan air muka kerisauannya.


Aku turut menggelengkan kepala. Degil betul Eliya. Langsung tidak memikirkan kebimbangan yang terbit dalam hati kecilku ini. Aku memandang Afzan. Dia mengangkat bahu. Tiada reaksi positif dari renungan mata Sofea Natasha. Dia juga diam membatu. aku meminjam telefon bimbit Afzan untuk menghubungi Eliya kerana kredit pra-bayarku telah habis digunakan.


"Eliya, boleh turun bawah kejap tak?" soalku selepas Eliya menjawab salamku. Tiada jawapan. Sunyi seketika. 'Eliya, please...., saya tunggu kat bawah ni... Turun ye.." aku cuba memujuk Eliya. Aku tahu selama aku kenal dia permintaanku tak pernah dikecewakan.


Masih tiada jawapan. "Saya tahu awak dengar, kami kat bawah ni tunggu sampai awak turun..." Itulah kata-kata terakhirku sebelum memutuskan panggilan itu.


Tepat jangkaanku, tidak sampai sepuluh minit kemudian, Eliya turun juga ke bawah Asrama Tun Teja.


"Jom, kita pergi..." ujar Eliya. Kata-kata itu tidak diduga sama sekali.


"Tadi..., awak...." Sofea Natasha memandang serius ke arah Eliya.


"Dah, dah. Jom. Nanti lambat pula kita nanti ," pintasku selepas melihat air muka Eliya mula berubah.


Dalam perjalanan itu suasana yang sepi pada mulanya dikejutkan dengan soalan pertama dari Afzan.


"Awak kenapa semalam?" soal Afzan kepada Eliya. Aku segera menyiku Afzan.


"Saya rasa saya penat sangat semalam. Tapi tak tahulah kalau ada sebab lain. Ni pun saya rasa dah OK jek. Tapi nak buat macam mana dah orang paksa." Berdentum sahaja bunyinya di telingaku. Sempat juga dia menempelak aku.


"Saya tak paksa. Tapi keadaan awak tu yang merisaukan semua orang," jawabku dengan tenang. Cuba setenang mungkin.


"Tapi saya OK apa? Apa yang teruknya? Saya rasa macam biasa saja hari ni," balas Eliya. Sofea Natasha hanya mengukir senyum. Ada makna di sebalik senyuman itu.


Sebaik tiba di klinik, Sofea Natasha menemani Eliya ke bilik doktor. Sementara aku dan Afzan menanti di luar sahaja.


Lama juga aku dan Afzan menanti di ruang tamu klinik itu. Aku lihat Afzan sedang asyik membaca majalah yang diambilnya dari sebuah meja kopi di sebelahnya. Aku pun jadi malas hendak menegurnya. Biarkan sahaja dia dengan keasyikannya itu. Aku mula rasa sedikit bosan dengan suasana yang sepi itu. Tiada pesakit lain di klinik itu. Lantaran itu, hanya aku dan Afzan di luar masih menanti. Aku mengambil keputusan membaca artikel-artikel dan poster-poster yang ditampal di beberapa papan kenyataan di klinik itu. Aku rasa tiada yang menarik. Biasalah, namapun klinik, tentu sahaja apa yang ditonjolkan adalah tentang kesihatan, penyakit, rawatan dan bermacam-macam lagi yang ada kaitan dengan dunia perubatan.


Tetapi ternyata itu tidak dapat menghilangkan rasa bosan yang mula aktif dalam diri. Lama pula masa yang diambil untuk pemeriksaan doktor itu. Serius sangatkah Eliya? Sekali lagi aku diselubungi kebimbangan. Mudah-mudahan hanya sakit biasa sahaja. Mudah-mudahan. Hawa aircon yang diprogramkan agak perlahan itu sedikit sebanyak menambahkan kedinginan pagi. Tidak tahulah sama ada memang suhunya dingin atau aku yang kedinginan kerana proses fisiologi dalam tubuhku sendiri. Ah! Itu semua tidak penting, aku lebih bimbangkan kondisi Eliya sekarang. Aku memang berdoa tiada apa-apa yang serius berlaku.


Pintu bilik doktor dikuak, kelihatan Sofea Natasha dan Eliya keluar dengan wajah yang tenang. Tiada sedikitpun ada terpapar dari riak wajah comel kedua-dua sahabat baik itu rona kebimbangan.


"Macam mana?"


"Tak ada apa-apa. Janganlah risau sangat." Eliya cepat sahaja menjawab soalanku.


"Doktor kata, Eliya Cuma penat sangat semalam. dia tak cukup rehat sejak beberapa hari ni," Sofea Natasha pula menyambung bicara Eliya. Matanya merenung Eliya.


"Alhamdulillah. Nak ke mana kita lepas ni?" soalku. Menarik nafas kelegaan. Afzan tersengih sahaja sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.


"Pulang saja." Ringkas jawapan yang terpacul dari mulut Sofea Natasha.


"Ya, kita pulang sekarang. Saya nak bersiap. Rasanya petang ni saya nak balik rumah."


Eliya menyambung bicaranya sambil kakinya melangkah masuk ke dalam kereta Afzan. "Esok tak ada kelas ke?' Afzan menyoal Eliya. Dia sudahpun menghidupkan enjin kereta.


"Dapat MC. Doktor bagi. Lagipun nak rehat sikit kat rumah."


Afzan menganggukkan kepalanya tanda memahami. Kami memulakan perjalanan pulang. Dalam perjalanan itu Sofea Natasha tidak banyak berbicara. Terlalu mendiamkan diri. Eliya pula rancak berbicara. Memang begitu sikapnya. Sangat petah berbicara. Tiba-tiba cerahnya pagi itu diselubungi kesuraman. Awan mendung menghiasi dada langit. Hebat sungguh kekuasaan Ilahi. Mudah sahaja bagiNya mengatur perjalanan makhluk-makhlukNya di alam ini. Syukur pada Tuhan, kami sempat tiba di kampus sebelum hujan membasahi bumi.

27 Disember 2008

dIARI bIRU (Episod 5)


Keringat mula membasahi wajah yang sedari tadi asyik tersenyum. Entah apa yang menggembirakan, aku sendiri kurang mengerti. Hanya boleh meneka. Andaikan sahaja itu yang benar. Tanganku masih ligat membersihkan kotoran pada periuk belanga yang kelihatan masih baru itu. Sesekali aku tersenyum lagi. Tersenyum sendiri. Kawan-kawanku yang lain sibuk dengan tugas masing-masing. Ada yang mengemas di khemah, ada yang sedang menyusun bunga-bunga hiasan dan ada juga yang sedang sibuk menyusun-atur peralatan-peralatan wajib untuk majlis itu. Dan aku? Aku di sinilah, sedang sibuk membasuh pinggan-mangkuk, serta gelas yang baru diangkut keluar dari stor. Tiada siapa yang menemaniku. Lagipun aku memang suka bekerja di bahagian tersebut. Sudah kebiasaan kata orang. Memang jenis orang yang suka main air agaknya. Jari-jemari pun dah mula kecut.


Cuaca pagi itu agak baik, cuma dingin sedikit. Harus sahaja sesuai untuk kami bekerja. Sebelum petang, semuanya perlu selesai. Agar program yang akan dijalankan terlaksana dengan lancar tanpa sebarang masalah. Tetapi biasanya masalah-masalah kecil itu suatu yang normal, sudah adat kata orang. Mana ada benda yang dilakukan oleh manusia biasa di dalam dunia ini sempurna seratus peratus. Hanya Allah yang Maha Sempurna.


"Imran, cepat ikut aku.." Afzan cepat-cepat menarik tanganku.


"Eh, kenapa ni? Apahal? Kerja aku tak abis lagi ni," aku kebingungan kerana tidak semena-mena Afzan datang kepadaku dalam keadaan kelam-kabut begitu.


"Eliya. Dia..., dia... pengsan!"


Berderau darah yang mengalir dalam batang tubuhku ketika itu. Terlepas gelas kaca yang ku pegang. Mujur sahaja tidak pecah. Benar-benar terkejut dengan berita yang baru aku dengar itu. Jantungku langsung sahaja berdegup kencang. Timbul pula pelbagai persoalan dalam fikiran kalutku. Langkah kaki kuhayun menurut haluan yang dituju oleh Afzan. Aku hampir tahu ke mana lokasi yang kami tujui. Afzan masih belum mahu berbicara, begitu juga aku, masih lagi kelu untuk mengusulkan pertanyaan. Kelihatan di hadapan aku dan Afzan kelompok manusia sedang mengurumuni sesuatu. Ada juga yang tertinjau-tinjau untuk melihat. Aku pula cuba menyusup masuk dan akhirnya berjaya. Eliya pula baru tersedar dari pengsan. Dia masih dipangku Sofea Natasha, teman karibnya. Wajahnya yang comel itu masih kelihatan tidak bermaya. Aku hanya melihat. Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan. Lantas, selain daripada melihat, itu sahaja yang aku tahu. Tetapi lidahku tergerak untuk berbicara dan bertanya.


"Tasha, kenapa dengan Eliya ni?" soalku kepada Sofea Natasha tetapi mataku memandang dengan penuh rasa simpati kepada Eliya.


"Tak taulah, tadi Eliya ok je, sama-sama buat kerja dengan saya. Tiba-tiba je dia jatuh." Sofea Natasha lekas memberi penjelasan ringkas.


"Eliya, awak dah Ok ke?" soal Sofea Natasha.


"Tasha, saya nak balik ke ‘dome’ sekarang. Tolong hantar saya...," kata Eliya sambil berusaha untuk bangun dengan dibantu oleh Sofea Natasha.


"Err, Tasha, nanti saya hubungi awak ye?" ujarku seraya memberi isyarat yang aku akan menelefonnya. Sofea Natasha hanya mengangguk dan kemudiannya terus menuntun Eliya menuju ke blok asramanya.


Pandanganku mengiringi perjalanan mereka berdua. Sementara mereka yang mengerumuni tadi sudahpun bersurai. Masing-masing menyambung tugasan yang belum selesai. Cuma ada segelintir yang masih berdiri di sudut dewan sambil berbicara. Mungkin isi bicara mereka tentang peristiwa tadi. Aku dan Afzan pula kembali ke bahagian belakang dewan. Melangsaikan kerjaku tadi yang tergendala. Di benak fikiranku masih lagi sarat dengan seribu satu persoalan. Semuanya berkaitan dengan apa yang berlaku ke atas Eliya tadi. Sempat juga aku bertanya kepada Afzan kalau-kalau dia tahu sebabnya. Mustahil pengsannya tanpa sebab. Tetapi jawapan Afzan mudah sahaja. Dia tidak tahu kerana dia tidak begitu rapat dengan Eliya. Lagipun dia mengenali Eliya melalui aku.


Seperti yang dirancang, program perasmian Kelab Wacana Budaya telah berlangsung dengan lancar. Hanya ada sedikit masalah teknikal yang tak dapat dielakkan berlaku juga. Tetapi itu cuma hal kecil jika hendak dibandingkan dengan kerisauanku terhadap Eliya sejak peristiwa tadi siang. Lewat malam barulah aku dan rakan-rakanku yang lain selesai mengemas kawasan dewan yang digunakan untuk majlis perasmian kelab baru itu. Cuma ada sedikit lagi yang belum selesai. Tetapi yang mudah-mudah sahaja. Budin, Ahmad dan Maarof telah dipertanggungjawab untuk melangsaikannya esok pagi. Setelah mengunci pintu stor, aku dan Afzan berangkat pulang. Sempat juga kami berborak tentang perjalanan majlis perasmian tadi. Sesekali diselangi dengan gelak tawa kecil. Ya, kami tertawa apabila membicarakan hal-hal yang lucu dan menarik tetapi hakikatnya ada kegusaran berselerak di dalam hati kecilku. Tiba-tiba Afzan menyebut tentang Eliya.


"Sebenarnya Af, aku tengah risaukan dia ni..., setahu aku dia takde sakit yang serius...," aku mengutarakan apa yang aku rasa kepada Afzan.


"Mungkin dia penat sangat kot?" Afzan cuba memberi pendapat.


"Hmm..., mungkin saja..," aku mengiakan saja pendapat Afzan. Cuba untuk menenangkan kerisauanku.


"Dahlah, Imran.... Janganlah kau risau sangat. Hah! Tadi aku ada dengar kau nak contact Tasha, dah call dia ke belum....?"


"Belum lagi, tak sempat tadi nak call. Hmm, tak kan nak call Tasha sekarang, dah lewat malam ni. Mesti dia dah tidur," aku menyatakan pendapatku kepada Afzan.


Serentak dengan itu aku melihat jam tanganku. Sudah pukul satu pagi. Tentu sahaja Sofea Natasha sudah tidur. Tambahan pula dia dan Eliya tidak hadir majlis perasmian tadi. Bertambah risau hatiku, tentu sahaja keadaan Eliya sangat tidak stabil. Jika Eliya sudah stabil tentu dia dapat hadir tadi. Mataku tertumpu kepada telefon bimbitku yang ada di atas meja belajar. Hatiku mula mendesak agar segera menghubungi Sofea Natasha. Lalu aku bangun dari katilku dan mengambil telefon bimbit itu untuk menghubungi Sofea Natasha.


Panggilanku segera dijawab oleh Sofea Natasha. Mujur sahaja dia belum tidur lagi.


"Eliya tengah tidur tu. Hmm, saya pun tak tahu, tapi esok saya nak bawa dia pergi klinik."


"Esok pergi naik apa?" soalku dengan niat untuk membantu.


"Tak tau lagi. Tengoklah... saya kesian sangat tengok dia, lemah sangat," kata Sofea Natasha yang semakin menambah lagi kebimbanganku.


"Ya Allah, serius sangat ke? Tak apa Tasha, esok saya dengan Afzan akan temankan kay? Kita naik kereta Afzan. Nanti saya cakap dengan dia."


Aku terus memberi cadangan. Sememangnya aku mahu menolong dan aku pasti Afzan juga tidak keberatan untuk menggunakan keretanya kerana sebelum inipun sudah banyak kali keretanya digunakan untuk hal-hal lain. Terutamanya bila ada program atau aktiviti persatuan.


"Okay, terima kasihlah Imran. Saya pun tak sabar nak tahu apa sebenarnya penyakit si Eliya tu. Saya rasa macam serius. Tapi dalam hati ni harap sangat tidak,” kata Sofea Natasha yang terdengar nada seriusnya.


"Okay, Tasha. Esok pukul lapan setengah saya dan Afzan ambil kamu berdua kat bawah Asrama Tun Teja."


"Baiklah, ‘deal’...."


"Kay, tolong jaga Eliya baik-baik..... Assalamualaikum..."


Sebaik menamatkan perbualan di telefon itu, aku terus keluar menuju ke bilik Afzan yang terletak selang dua pintu dari bilikku. Tujuaanku hanya untuk memakluminya tentang cadanganku untuk menghantar Eliya ke hospital pagi esok. Afzan bersetuju. Lagipun dia memang tiada sebarang aktiviti esok. Kemudian, aku kembali ke bilikku. Sebelum terlena aku sempat berdoa kepada Allah agar memudahkan segala hal yang akan berlaku.


"Ya Allah, semoga kau tidak menduga aku dengan sesuatu yang terlalu berat untuk aku hadapi."


Pagi itu cuaca agak cerah. Sang suria masih sudi menyinari dunia ini. Segar dan nyaman udara pagi itu benar-benar memberi harapan kepada sesiapa sahaja yang mengharapkan sesuatu. Seawal mungkin aku bersiap, hampir tidak sabar untuk mengetahui keadaan Eliya pagi itu. Jarum pendek jam di tangan mencecah angka lapan. Sementara itu di Asrama Tun Teja......


"Saya tak apa-apalah..., tak payahlah menyusahkan orang lain pula." Eliya cuba mengelak dari mendapatkan rawatan di klinik. Naik bengang juga Sofea Natasha dengai sikap sahabatnya itu. Semalam bukan main teruk lagi keadaannya. Tetapi hari ini bila sudah boleh bangun, mula buat perangai lamanya itu.


"Awak! Awak kena buat check-up dulu, kalau tak macam mana kita nak tahu awak sakit apa. Saya risaukan awak..." Sofea Natasha cuba memujuk Eliya.


Sebenarnya bermacam-macam perasaan bermain dalam fikiran Eliya. Dia tahu dia sakit, tetapi dia tidak mahu orang lain turut sama tahu apa sakitnya. Biarlah sakit itu ditanggung seorang.


Dahulu sebelum memasuki institusi pengajian tinggi ini, sudah banyak kali dia berkunjung ke hospital. Ah! Sedangkan keluarganya sendiri tidak tahu keadaannya. Bijaknya Eliya menyembunyikan penyakitnya itu. Tetapi selama mana dia mampu bertahan. Betul-betul di luar jangkaan bila dia jatuh pengsan semalam. Hakikatnya, Eliya memang tidak mahu Sofea Natasha tahu. Imran apatah lagi. Biarlah apa yang ditanggungnya menjadi rahsia untuk dirinya sahaja.


Barangkali sukar untuk menghadapi tetapi bagi Eliya, itulah yang terbaik. Selagi dia dapat mengecapi keindahan hidup ini, itu sudah memadai. Biarpun Eliya sedar itu semua tidak kekal. Kerana untuknya itu semua tidak lama. Apa yang perlu ditakutinya, semua manusia juga akan mati. Malah semua makhluk itu ada jangka hayatnya. Tiada sesuatupun yang kekal melainkan Allah. Apa yang bakal dilaluinya hanya menurut sunnatullah. Semuanya yang berlaku ada sebab-musababnya.

21 Disember 2008

dIARI bIRU (Episod 4)


Sekali lagi aku cuba mengadaptasikan hidupku dengan pelayaran yang semakin sunyi ini. Tiada yang boleh menghiburkan aku pada ketika ini. Cuma yang ada desiran bayu laut yang tidak henti-henti menyapa pipi. Menghanyutkan bahteraku dalam menjejak daratan persinggahan. Haluannya entah ke mana. Tetapi bahtera ini masih utuh dan kukuh. Ternyata bahtera ini masih tabah melawan ombak. Tidak gentar menyusur badai. Masih belum ada tanda-tanda untuk karam. Ringkasnya, bahtera ini masih berupaya menampung beban yang kubawa. Belum lagi aku dengar keluhan sang bahtera. Andaikan bahtera ini mampu berkata-kata, tentu asyik aku mendengar bicaranya. Mungkin ada masanya aku tidak akan sunyi lagi. Ah! Aku cuba mengintai harapan. Harapan yang pada orang lain sudah terlalu kelam laluannya. Namun bagiku masih ada sedikit sinar. Mungkin tidak begitu terang tetapi masih ada. Aku tahu masih ada laluan untuk menunaikan harapan itu. Lantas, pelayaran ini harus aku segerakan. Arus yang deras harus aku gagahi seperti gahnya bahtera ini membelah lautan.


Sejenak mataku memandang ke arah awanan putih di dada langit. Cerah cuaca hari ini. Tiada sedikitpun awan mendung penanda hujan. Subhanallah, indah sungguh alam ciptaan Tuhan ini. Bertuahnya aku kerana terpilih untuk mendiaminya. Tambah bertuah kerana aku diciptakan sebagai manusia. Bukan haiwan atau tumbuhan. Aku punya akal yang waras. Ya, masih lagi waras. Kewarasan yang amat menuntut pembelaan. Agar kewarasan ini tidak diganti dengan kecelaruan. Aku sangat bersyukur pada Tuhan yang menciptakan. Semoga syukurku ini berpanjangan dan tidak bertemu penghujungnya. Sungguh! Aku tidak sanggup menjadi hamba yang kufur, yang harus sahaja buat aku jatuh tersungkur. Bila kufur pasti lebur. Segala-galanya akan terkubur. Jadinya nanti impian dan harapanku menjadi kabur.


Gemersik alunan melodi tiupan seruling ‘Kitaro’ mengisi ketenangan naluri. Muzik berjudul ‘Silk Road’ itu membuatkan benak fikiranku mula berkhayal. Bukan mengkhayalkan sesuatu yang ilusi tetapi khayalanku pada sesuatu yang pasti. Pasti kerana itulah kenangan yang pernah terukir. Kenangan yang langsung tiada upaya untuk dialami lagi. Hanya boleh dikenang dan diingati. Melewati awan putih itu, pita memoriku mula berputar. Perlahan-lahan dan kemudiannya semakin laju. Menginjak detik-detik yang pernah aku dan dia lalui bersama. Tentunya yang indah. Ada juga yang gundah hati kerananya.

20 Disember 2008

dIARI bIRU (Episod 3)


Sementara itu, di pihaknya.......


"Tolonglah saya, Tasha. Saya dah buntu ni. Saya betul-betul tak tahu apa nak buat."


Air muka Sofea Natasha berubah. Terkejut dengan permintaan sahabatnya yang seorang itu. Pelik tetapi benar. Bagaimana insan selembutnya perlu berhadapan dengan semua ini. Sahabatnya ini sedang menuntut satu pengorbanan besar daripadanya. Mampukah dia berkorban untuk satu-satunya sahabat baiknya ini? Ah! Adakah dia terperangkap? Atau dia yang sedang memerangkap dirinya sendiri?


Dipandangnya lagi wajah sahabatnya itu. Kemudian Eliya bersuara, "Saya harap awak boleh hormati keputusan saya sepertimana saya menghormati keputusan awak."


"Insya-Allah, saya cuba. Tetapi bagaimana dengan dia?" Sofea Natasha pantas menyoal balas.


Ya, bagaimana dengan dia? Eliya sekali lagi terlupa akan perasaan Imran nanti. Eliya tidak boleh terlalu mementingkan diri sendiri. Eliya mungkin tidak sesempurna orang lain tetapi Eliya juga ingin merasakan kebahagiaan yang sering dimiliki oleh orang lain. Sebaliknya apa yang sering berlaku, Eliya melihat bahagia itu umpama pelangi indah di atas kepala orang lain. Bagaimana pula Eliya dapat menghadapi semua ini? Sofea Natasha sahaja yang boleh Eliya percayai. Dia sahabat baik Eliya. Keakraban mereka umpama bersaudara sedarah dan sedaging. Eliya percaya Sofea Natasha mampu untuk melakukannya. Eliya tidak mahu Sofea Natasha rasa terpaksa kerana Eliya tidak pernah berniat untuk memaksa.