Halaman

03 November 2008

Sufi - Sinopsis Kehidupan Cinta

Sufi selangkah tirai kasihmu ku buka
Engkau serahkan cinta hingga dirimu tiada
Kasih sufi kau rela pilih derita di dunia
Biar rebah di hina kau tak berubah
Kau menguasai selautan
Yang tersembunyi di genggaman
Nafi dan isbat kau sandingkan
Sebagai tali pegangan
c/o:
Sufi kau hilang di pandangan
Ada di dalam kenikmatan
Engkau dan dia pasti tidak akan terpisah
Andai tertutup tirai sufi
Yang terang tidak nampak terang
Inilah siksa menyakitkan sepanjang jalan
Inginku tempuh titianmu
Dari kekasih ke kekasih
Pengabdianku bersamamu kasih
Biar rebah di hina kau tak berubah

Pelangi Hati (Episod Kedua)


Menanti hadirnya

"Efi, Abang Ikhwan nak jumpa kat library petang ni. Jangan lupa ye." Ringkas sahaja mesej pesanan ringkas yang tertulis pada skrin telefon bimbitnya. Tidak langsung dinyatakan masanya.


Namun, Efi Nafeesa dapat membuat perhitungan sendiri. Dia seakan tahu masanya. Gerak hati? Bukan. Biasanya selepas Abang Ikhwan habis kelas terakhir, itulah masanya. Kebetulan sahaja Efi Nafeesa juga tidak ada kelas atau kuliah sesi petang. Entah apa agaknya yang ingin dikatakan oleh Abang Ikhwan kepadanya. Dia langsung tidak dapat mengagak dengan tepat. Mungkinkah ada kaitan dengan khabar angin yang sering didengarnya sejak akhir-akhir ini? Ah! Malas dia hendak memikirkannya.

Efi Nafeesa sampai awal. Biasanya memang begitu, dia yang akan menanti hadirnya Abang Ikhwan. Tetapi entah mengapa tidak seperti selalu, hatinya kurang ceria. Bagaikan terasa ada sesuatu yang akan menyentuh hatinya petang itu. Dia cuba melegakan rasa resah itu dengan membaca akhbar hari itu. Namun, berita-berita yang terkandung di dada akhbar tidak sedikitpun menarik minatnya.


Lantas, dia beralih kepada majalah Dewan Siswa edisi terbaru. Selakannya tepat ke halaman cerpen. Cerpen bertajuk “Jawapan” itu menjadi santapan mindanya sementara menanti kehadiran Abang Ikhwan. Hmm, menarik juga kisah yang terkandung di dalam cerpen itu. Bagaimana seorang lelaki yang kecundang dalam mengejar cinta seorang gadis. Namun, yang menariknya lelaki itu cepat bangkit dari ketewasannya, dan akhirnya dia bertemu juga dengan pengganti gadis idamannya. Mungkin itu jawapan cinta yang dicarinya untuk mengisi kekosongan hati. Hmm, mungkin saja.

Efi Nafeesa mengimbau kenangan. Sejenak imbasan kenangan mengenali Abang Ikhwan berputar legar di layar minda. Sejak kehadiran Abang Ikhwan, hidupnya terasa kembali bersinar. Abang Ikhwan banyak membantunya dan sering memberi tunjuk ajar. Saat pertama kali terpandang Abang Ikhwan dalam satu aktiviti persatuan di IPT itu, hatinya sudah mula terasa ingin mengenali pemuda itu. Tetapi, cetusan di hati tersimpan sepi. Benar, dia tidak berani. Dia tidak mahu bertindak sendiri. Lagipun, dia sedar siapa dirinya. Baginya, biarlah detikan hati itu hanya menjadi rahsia hatinya dengan Tuhan yang Maha Mengetahui. Namun, takdir Tuhan mengatasi segala-galanya, entah bagaimana pada suatu hari, Abang Ikhwan sendiri yang mula menegurnya. Teguran yang diimpikan sejak pertemuan pertama dulu.

Sekalipun bicara pertama Abang Ikhwan hanya untuk mengingatkannya dengan khabar angin yang mengaitkan namanya, ia tetap bermakna untuk Efi Nafeesa. Itulah titik mula yang membuka lembaran baru dalam hidupnya. Sebelum itu dia hanya memerhati dan mendengar cerita tentang insan bernama Ikhwan Hanafi itu. Hampir setiap rinci maklumat tentang Abang Ikhwan menjadi koleksi rahsianya. Bukan dia sibuk untuk ambil tahu tetapi populariti Abang Ikhwan yang membuatkan segala hal tentangnya menjadi bual bicara orang.


Efi Nafeesa juga tahu tentang ‘gossip’ yang mengaitkan Abang Ikhwan dengan seorang seniornya dulu. Tetapi dilihatnya Abang Ikhwan tenang menghadapi ‘gossip’ sebegitu. Abang Ikhwan tidak cepat melatah. Dia kagum dengan cara Abang Ikhwan menghadapi fitnah dan umpatan orang tentang dirinya. Semakin hari semakin kuat perasaannya untuk mengenali dengan lebih rapat Abang Ikhwan. Ternyata harapannya tidak sia-sia. Abang Ikhwan bukan sahaja tahu menangani masalahnya tetapi prihatin dengan masalah orang lain juga. Abang Ikhwan cukup berani melawan setiap ancaman fitnah yang menjejaskan imej persatuan Islam yang disertainya. Maka, bertambahlah lagi kekaguman Efi Nafeesa terhadap Abang Ikhwan.

Sejak perkenalannya dengan Abang Ikhwan itu juga, Efi Nafeesa mula menyemai benih-benih kasih di hatinya. Tetapi dia tidak pernah tahu apa yang ada di dalam hati Abang Ikhwan. Dia benar-benar tidak tahu. Mana mungkin dia boleh membaca hati orang lain. Mengagak sahaja bolehlah. Entahlah. Saban hari perasaan kasihnya semakin mekar. Abang Ikhwan betul-betul sudah berjaya membuka semula pintu hatinya yang pernah tertutup.

Dahulu, dia pernah menyayangi seseorang, tetapi harapan kasihnya itu hanya tinggal harapan yang semakin hari, cuba dia lupakan. Masa telah merawat hatinya yang terluka itu. Sejak itu juga, hatinya seakan tertutup untuk menerima cinta daripada kaum Adam. Kekecewaannya dahulu sudah cukup untuk mengeraskan hatinya. Cuma kini, dengan Abang Ikhwan, hatinya menjadi lembut. Bagaikan ada sesuatu dalam diri Abang Ikhwan yang berjaya melentur kekerasan hatinya.

Nazam Durrani


Sejenak debar hatiku bertanya
andai akan ada pertemuan,
di sebalik rimbunan awan
berhiaskan sulaman kata dan kiasan
ku tetap menanti hadirnya.....
di limbungan mahabbah ini.
Ya Durrani,
semaian kasih demi Ilahi
moga dapat dituai nanti...
di episod yang lain...
walau tak mungkin kujanjikan.....
Kiranya tulus harapan ini,
waktu berlalu tanpa sekatan
biasan murni sekuntum mawaddah
berdiri kukuh di persada hati
terletak hemat di arena naluri
persis layaknya khalikah manusiawi.
Sejenak debar hatiku berkata
andai ada pertemuan,
di susunan bait-bait ungkapan
nan terbit setulusnya sanubari
di ufuk satah kasih Ilahi
ku tetap menanti hadirnya.....
berteman lentera mahabbah ini.
Ya Durrani,
lambaian kasih untuk Ilahi
moga dapat digapai nanti....
dalam wadah yang lain...
walau tak mungkin kupastikan.....
kiranya nirmala impian ini,
detik beredar tanpa waham
biasan mulus sekuntum mawaddah
qiam tegar di gugusan rasa
mengungkai rawan di dawwar nurani
persis layaknya ciptaan Ilahi.
Dengan izin-Nya....
dengan restu-Nya....
dengan rahmat-Nya....
segalanya mungkin......
Mawaddah ini...
usah sandarkan pada kenangan,
kerana kenangan itu rapuh...
usah sandarkan pada harapan,
kerana harapan itu sifatnya lemah....
nan pasti...
usah sandarkan pada makhluk,
kerana sandaran paling tuntas...
tanpa cela tanpa ragu...
hanya pada Yang Satu.
Sandaran yang hakiki...
hanya di sisi Ilahi....
di situ ada ketenangan,
di situ ada kedamaian,
di situ ada kepastian....
di situ ada....
kesempurnaan abadi.

27 Oktober 2008

Cerpen: Pelangi Hati (Episod Pertama)


Masakan dia tidak mahu tahu apa yang sedang berlaku. Tetapi bukankah sejak siang tadi dia telah dimaklumi? Mungkin dia terlupa. Terlupakah dia?
Matanya terasa seperti berpinar-pinar. Lalu, dia cuba melegakannya dengan memejamkan mata. Cuba sehingga pandangannya jadi gelap, segelap-gelapnya. Perlahan-lahan dia menggerakkan kelopak mata agar terbuka semula. Masih mampu iris matanya memandang ke arah skrin komputer peribadinya itu. Dia bersyukur. Pandangannya semakin lega. Kini, bolehlah dia menyambung kembali kerja yang sedang asyik melarik mimpi kenangannya semalam. Jari-jemarinya semakin ligat berlaga dengan huruf-huruf yang terpapar di papan kekunci. Tidaklah sebising mesin taip saat hujung-hujung jari itu mematuk-matuk setiap huruf. Tetapi masih lagi boleh didengari oleh sahabatnya yang sedang menelaah subjek pengurusan di atas katilnya.

"Hmm...., mulalah tu melayan perasaan..." ujar Nurun Najah sambil tersengih sinis. Sempat juga dia menjeling penuh makna.

"Cik Najah ooi, concentrate study tu..., awak tu ada kuiz pagi esok." Dia membalas sindiran Nurun Najah.

"Kisah apa pula kali ni?" soal Nurun Najah. Tetapi mata masih menatap buku pengurusan yang berwarna merah.

"Ada laa...., mana boleh tahu..." jawabnya sambil menggeliat, meregangkan segala sendi-sendi yang terasa lenguh.

"Ye la cik Efi Nafeesa....., selamat melayan perasaan......" Selamba sahaja Nurun Najah melontarkan sindirannya itu.

Hmm, malas dia nak menjawab sindiran itu. Lagipun dia faham yang Nurun Najah sekadar bergurau. Baik dia tumpukan semula kepada perkara yang sedang dikerjakan itu. Dia tidak mahu kisah itu hanya menjadi kenangan di hujung bibir. Sekurang-kurangnya kisah itu tertulis untuk tatapannya suatu masa nanti. Mungkin saat itu dia akan tersenyum bila membacanya. Bukan menangis seperti sekarang setiap kali mengenangkannya.

Ah! Dia hanya wanita biasa. Lantas mudah baginya untuk menitiskan air mata. Kata orang, air mata itu permainan wanita, adakala menjadi benteng pertahanan dan adakala juga menjadi senjata. Entahlah, dia tidak pedulikan kata-kata sebegitu. Baginya, air mata hanyalah luahan rasa tanpa bicara untuk seorang hamba-Nya. Baik untuk urusan duniawi mahupun ukhrawi. Siapa sahaja boleh menangis. Asalkan tangisan itu bertempat dan kena dengan situasinya. Dia juga begitu, selalunya air mata itulah teman setia. Dia bukan meratapi nasib tetapi sebagai manusia, dia tahu air mata itu membantu melegakan gejolak rasa. Maha Suci Allah, diciptakan air mata untuk manusia dengan multi-tujuannya.

Tetamu Qalbuku

Tetamu Qalbuku itu,
adalah dirinya yang mulia,
yang tenang mendengar madahnya,
yang salju memandang wajahnya.
Tetamu Qalbuku itu,
adalah dia yang pernah hadir,
yang mampir tak pernah dipinta,
yang bertamu tak pernah dipaksa.
Sahabatku,
kuredhai dia…
sebagai Tetamu Qalbuku yang utama,
yang indah watak dirinya,
yang kukuh peribadinya.
Biarlah dia sebagai Tetamu Qalbuku,
yang datang dan pergi tak berganti,
kerana istimewanya diri,
belum ada yang mengatasi.
Tetamu Qalbuku itu,
membuat ku tertawa kala dihimpit hiba,
menghapus segala duka di dada,
walau tangis aku kala merinduinya…
Namun sahabat,
dia hanyalah Tetamu Qalbuku,
mampir seketika cuma,
berlalu kala tiba masa,
tak siapa dapat menghalangnya.
Adat orang bertamu…
diam sebentar saja.
TQ
23 Jun 2007

19 Oktober 2008

SERUAN SOLEHAH

Andai kau berilmu....
sebarkanlah...
andai kau tahu....
sampaikanlah...
andai kau mengerti.....
amalkanlah....
andai kau belajar....
syukurilah....
andai kau pasti....
lakukanlah....
andai kau faham....
jelaskanlah....
andai kau memiliki.....
bersedekahlah.....
Namun,
andai kau kurang ilmu....
segera mencari....
andai kau kurang tahu...
segera bertanya.....
andai kau kurang mengerti....
segera difahami...
andai kau diajar.....
segera bersyukur....
andai kau kurang pasti...
tinggalkanlah....
andai kau kurang faham....
segera mengaji.....
andai kau kurang memiliki.....
segera bersedekah......
Tiada kejahilan dalam agama ini....
kerana kejahilan hanya untuk kesesatan.....
segera kau selusuri......
sirah Nabi sebagai bukti.......
keilmuan tinggi....
amal disepakati......
penyampaiannya terpuji...
kekal dalam perjuangan da'ie.....
mencontohi......
menuruti.....
meredhai.....
dan akan kembali....
segalanya ke ribaan Ilahi.....
Moga kau tahu.....
moga kau mengerti....

07 Oktober 2008

Puisi ‘Aidilfitri


Setahun berlalu kembali lagi..
saat mulia sering dinanti..
di ‘Aidilfitri.....

Ya Tuhan dengan kemuliaanMu...
demi keagunganMu,
limpahi hati-hati ini..
dengan siraman nur hidayahMu
dan setiap amal itu...
kau sinari dengan nur keikhlasan...
agar impian merindu redhaMu..
nyata menjadi realiti dalam hidupku

Adikku,
jika semalam aku menyakitimu..,
ku memohon kemaafanmu...
jika semalam ku lupa padamu..,
hari ini aku mengingatimu...

Ibarat hujan yang turun petang ini..
seakan mensucikan kekotoran sepanjang hari
begitulah jua huluran kemaafan ini
agar kemuliaan ‘Aidilfitri ini
mensucikan diri...
membersihkan hati.

Wahai adikku..,
lupakan sengketa tautkan mesra
kerana perlukah aku ulangi...
kata-kata ini...
yang aku akan terus menyayangi mu...
biar esok kau mula membenciku...,
kerana aku hanya tahu...
yang dirimu adalah adikku...
kini dan selamanya...

Salam lebaran,
salam kemaafan,
salam mesra,
salam kemuliaan...
Maafkanlah diriku..
....zahir dan batin...

For Someone Special..


Antara cinta dan persahabatan
andainya ku diberi pilihan
untuk memilih di antara kedua-duanya
akan kupilih kedua-duanya
kerana bagiku
ia sama beerti dan bernilai
dalam hidupku...

Cinta,
suatu ungkapan
yang belum pasti akan keindahannya
kerana di sebalik keindahan cinta itu
tersirat seribu kepahitan
pastinya akan merentap kedamaian jiwa
seorang pecinta setia
tatkala ikatan diundang kekecewaan...

Namun,
ia tetap betah menjemput setiap jiwa
yang punya hati dan perasaan
hakikat yang tersimpan di balik anugerah ini
tak terungkai dengan bicara di bibir
tak tergambar dengan lakonan
begitu syahdunya kurniaan Ilahi
lahirnya dari hati seorang insan
berakal, beremosi,
penyayang dan berperasaan...
Persahabatan,
suatu ikatan yang lahir dari hati
keinginan yang ikhlas
bagi berkongsi tangis, tawa, kasih sayang dan keakraban
sesungguhnya,
sahabat adalah tempat berbicara setulusnya
tentang impian dan pengertian hidup ini...

Persahabatan yang murni dan suci
adalah sebuah perhubungan
yang disulami benang kejujuran
diwarnai dengan keikhlasan
dicurahi dengan kasih sejati
sekiranya menjadi gunting dalam lipatan
robohlah tembok keluhuran sebuah persahabatan...

Teman yang budiman...
mengertilah maksudku ini
sesungguhnya apa yang tersimpul di hati kecilku
sejak perkenalan kita...

Kita bina tugu persahabatan
yang dipagari besi kedewasaan
yang teguh berdiri di laman hati kita
tak tumbang dek rintangan
hanya satu pintaku
agar dikau sentiasa mengingati diriku….

Ya Hayyu Ya Qayyum


Ya Hayyu Ya Qayyum

Terimalah subuhku dalam hidayah-Mu

Berkatilah Zuhurku dalam rahmat-Mu

Ampunkan lalaiku dalam Asarku

Peliharalah imanku dalam Maghribku

Redhai Isyakku dalam kasih-Mu

Jumaatku basah dalam as-sajadah

Fajarku syahdu doa akasyah

Pagiku hening restu Haiqal

Dhuhaku nyamanSelawat An-nur Muhammad Rasullullah

Tahajudku indah al-mulk kebesaran-Mu Ya Allah

Ar-Rahman Ar-Raheem-Mu

Kekal bahagiaku

Sunat isyrakku mohon rezeki-Mu

Sunat Tasbihku mohon ampunan-Mu

Sunat hajatku mohon makbul-Mu

Terimalah ya Allah

Sujud SyukurkuTuhan

Limpahkan aku rahmat ikhlas

Hindarkanlah aku riak bias

Dalam Rahman-Mu Ya Allah

Nikmat syukur yang indah.


"Kerana sesungguhnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada." (al-hajj:46)


"Jadilah seperti sepohon pokok, kamu lontarkan batu ke arahnya tetapi ia melontarkan kepadamu buahnya." (As-Syahid Imam Hassan al-Banna)